Bab 1

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

ERAT tangannya dikepal. Rapat bibirnya dikebam. Sepasang matanya tekal merenung wajah Yahaira. Ditelan liurnya supaya tidak terkeluar jeritnya.

"Zinnirah." Yahaira menyentuh bahu sahabatnya.

Bahu Zinnirah dicengkam sedikit lalu Yahaira menyoal, "Kau dengar tak apa aku cakap ni?"

Dua ulas bibir yang tadinya terkatup rapat mula berpisah. Mata Zinnirah sudah bergenang.

"Kau cakap apa tadi?" soal Zinnirah. Dia mahu mendapatkan pengesahan. Adakah perkara yang dia dengar tadi sama seperti apa yang disampaikan oleh Yahaira atau hanya dia sahaja yang berfikir bukan-bukan?

"Mama dan abah kau..." Yahaira jadi tidak sanggup untuk menyampaikan berita tersebut sekali lagi. Melihat reaksi Zinnirah, jiwanya turut bergetar sama. Bukannya dia tidak tahu bahawa hanya ada dua orang sahaja yang telah Zinnirah serahkan dunianya iaitu ibu dan bapanya. Hilang ibu bapanya seolah-olah bererti Zinnirah telah hilang dunianya.

"Ya, mereka dah tak ada." Zinnirah mengangguk.

"Tapi mereka tak bunuh diri, kan?" soal Zinnirah. Sukar sebenarnya untuk dia mengutarakan soalan itu. Tetapi dia tetap perlu bertanya untuk mendapatkan kepastian.

Yahaira mengetap bibirnya. Tuhan, sukarnya untuk dia menahan air matanya. Sukarnya untuk dia berpura-pura kuat di hadapan Zinnirah apabila Zinnirah sedang bersedih begini.

Zinnirah menggenggam tangan Yahaira. "Tak, kan? Cakaplah Aira, mama dan abah aku tak bunuh diri, kan?" Menitis jua air mata Zinnirah.

"Zinnirah..."

Empat tahun berkawan dengan Yahaira, Zinnirah sudah boleh baca setiap air muka sahabatnya itu. Dia tahu bila masanya Yahaira berbohong, bila masanya Yahaira bergurau dan bila masanya Yahaira bercakap benar. Amat tinggi harapannya agar kali ini, telahannya salah. Dia boleh terima kalau ibu dan bapanya sudah meninggal dunia. Dia tahu dan dia beriman dengan qadak dan qadar.

Tetapi jika benar ibu bapanya meninggal dunia dengan cara membunuh diri, bagaimana dia mahu terima? Bagaimana dia mahu reda? Bukankah membunuh diri itu sama saja seperti melanggar ketentuan Tuhan? Melanggar hukum qadak dan qadar.

Apa yang mendesak ibu dan bapanya untuk membunuh diri, dia tidak mengerti. Apa yang menyeksa ibu dan bapanya sehingga mereka membunuh diri, dia tidak tahu.

Zinnirah menolak lembut tubuh Yahaira. Dia menapak. Langkah yang perlahan pada awalnya bertukar menjadi larian. Basikalnya dicapai. Panggilan Yahaira tidak diendahkan. Segera dia naik dan mengayuh basikal menuju ke rumahnya.

30 minit jarak tempat kerja dengan rumahnya, terasa seperti satu jam. Puas dia mengayuh, bayang rumahnya tetap tidak menyapa pandangan. Sinar matahari tengah hari seperti tidak punya ihsan terhadap Zinnirah. Peluh yang membasahi tubuhnya seperti sudah boleh dikumpul di dalam botol.

Selepas dua puluh lima minit mengayuh, Zinnirah tiba juga akhirnya. Perihal basikalnya sudah tidak dipeduli sebaik sahaja kakinya memijak tanah. Matanya lebih tertarik dengan pita berlabel 'dilarang melintas' di sekeliling rumahnya. Dua buah kereta polis tersidai di hadapan rumahnya. Orang kampung mengerumun berdekatan pita berwarna kuning. Seboleh mungkin mereka merapatkan tubuh mereka menghampiri pita tersebut. Sibuk mata masing-masing meninjau keadaan di dalam rumah yang mustahil boleh dilihat. Mulut pula asyik terjuih-juih dan laju berbisik sesama mereka.

Beberapa orang anggota polis sedang melakukan tugas mereka di dalam rumah. Dua orang pegawai berada di luar untuk mengawal keadaan sekitar. Kalau bukan disebabkan dua orang pegawai yang bertugas berdekatan dengan pita berkenaan, entah-entah orang kampung sudah masuk ke dalam rumah.

Zinnirah menghampiri salah seorang pegawai polis yang bertugas untuk mengawal keadaan. Dia sangat terdesak untuk mengetahui perkembangan situasi terkini.

"Tuan." Zinnirah menegur.

Pegawai polis yang membelakangkan Zinnirah segera berpaling apabila menerima teguran berkenaan.

Zinnirah terkesima sebaik sahaja wajah pegawai polis itu menyapa pandangannya. Tidak berkelip matanya menjamah setiap inci wajah berkenaan.

Mulutnya terbuka lalu perlahan suara menutur, "Abang Talha..."

Reaksi Talha juga tidak jauh berbeza dengan Zinnirah. Dia sudah boleh menjangka bahawa dia akan bertemu dengan Zinnirah pada hari ini. Dia cuma sedikit terpanar melihat figura gadis itu yang sudah dewasa kini. Sudah terlalu lama mereka tidak bertemu, kalau bukan kerana teguran daripada Zinnirah itu, mustahil dia akan mengenali gadis itu.

Talha mengangkat sedikit pita berwarna kuning tersebut untuk memberi laluan kepada Zinnirah supaya gadis itu boleh masuk ke dalam kawasan larangan. Ditarik tangan Zinnirah mendekati kawasan rumah.

"Adik okey tak?" soal Talha bernada prihatin. Hakikat bahawa dia perlu bertemu semula dengan Zinnirah dalam keadaan yang sebegini amat memilukannya. Sepanjang mereka membesar bersama-sama, tidak pernah sekalipun sepasang mata adiknya itu dilihat tidak bersinar. Dan hari ini, mata itu hilang sinarnya.

"Mama dengan abah..." Zinnirah menoleh ke arah rumahnya. Wajah Talha dipandang pula. "Betul ke mama dengan abah bunuh diri?" tanya Zinnirah.

"Adik, jangan assume boleh tak? Pihak polis tengah buat kerja lagi." Talha tidak boleh mengeyakan pertanyaan Zinnirah. Buat masa ini, kedua-dua mangsa disyaki membunuh diri. Maka boleh jadi juga bahawa mereka dibunuh.

"Tapi they are found like that, kan? Mak Cik Yusma jumpa mama dengan abah macam tu, kan?" Suara Zinnirah meninggi. Dia tidak dapat mengawal dirinya daripada dirasuk oleh emosi. Anak mana yang mahu mendengar berita bahawa ibu bapanya membunuh diri? Bukankah dengan membunuh diri, itu ertinya mereka sudah berputus asa dengan hidup mereka? Mereka sudah tidak mahu menjadi ibu bapa dia lagikah?

"They are found like that but we never know the real story behind the scene. Polis tengah siasat. Tolong jangan buat assumption yang bukan-bukan, Zinnirah." Talha bertegas. Dia perlu terus bertenang dalam menghadapi situasi seperti ini.

Zinnirah menundukkan kepala dan pandangannya dipakukan ke atas tanah. Kedua-dua belah tangannya mencekak pinggang. Nafasnya ditarik dalam untuk mengajar dirinya bertenang. Ada ketika, nafasnya tersekat apabila esaknya terkeluar.

Talha melepaskan nafas apabila matanya menangkap kesungguhan Zinnirah untuk menenangkan diri sendiri. Sedari tadi, Talha asyik memujuk dirinya supaya tidak terlalu terkesan apabila melihat wajah dua orang mayat di dalam rumah itu. Namun kini, dia jadi lemah pula apabila melihat Zinnirah dalam keadaan begitu.

"Do you need a hug?" tanya Talha.

Zinnirah mengangkat kepalanya. Sepasang matanya yang berair itu jatuh pada wajah Talha. Setelah hampir tiga puluh saat dia memandang abangnya tanpa sebarang jawapan, akhirnya dia mengangguk jua.

Talha menarik tubuh Zinnirah ke dalam pelukannya. Dilurut lembut belakang kepala adiknya yang bertutup dengan tudung itu. Satu-satunya adik perempuan yang dia ada. Adik susuannya.

"Along rasa Tuhan cukup adil hari ni. Dia beri along berita buruk bila arwah abah dengan mama meninggal dunia. Satu jam selepas itu, Dia datangkan berita yang baik pula. Akhirnya along jumpa pun adik along. Adik along yang dah lama sangat along cari," tutur Talha. Sedikit sebanyak, hatinya terusik dengan tutur sendiri. Ada air mata yang terkumpul di tubir matanya.

Zinnirah memejamkan matanya. Terpujuk juga hatinya. Tuhan tidak begitu kejam. Pada saat seperti ini, Tuhan mengingatkan dia bahawa dia masing punya Abang Talha dan keluarga susuannya. Dia masih punya keluarga walaupun dia sudah hilang dunia.

Tuhan tidak begitu kejam.

YA, Tuhan tidak begitu kejam. Malah, Tuhan tidak pernah kejam.

Ibu dan bapanya yang memilih untuk melanggar ketentuan Tuhan. Ibu dan bapanya yang memilih untuk membunuh diri.

Zinnirah masih berteleku di hadapan kubur ibu bapanya. Dia cuba untuk mencari sebab dan alasan ibu bapanya memilih untuk membunuh diri. Dia cuba untuk memilih alasan yang munasabah supaya dia tidak berfikir yang bukan-bukan tentang ibu bapanya. Dia tidak mahu disebabkan kisah hitam ini, dia jadi terlupa dengan kehangatan kasih sayang ibu bapanya. Dia tidak mahu disebabkan luka ini, dia jadi sangsi dengan senyum mesra ibu bapanya.

Nadim memerhati tingkah Zinnirah dari jauh. Dia tahu gadis itu sedang walang hatinya. Jika dia berada di tempat gadis itu, sudah pasti dia akan teraba-raba mencari sebarang kesalahan yang telah dia lakukan yang mendorong ibu bapanya untuk membunuh diri. Tidak mustahil dia menyalahkan dirinya sebagai asbab ibu bapanya membunuh diri.

Permintaan Zinnirah untuk bersendiri dituruti oleh Nadim tanpa banyak bicara. Meskipun Zinnirah itu saudara susuannya, dia tetap perlu menghormati privasi Zinnirah. Biarlah Zinnirah berfikir. Dia tahu, sesedih mana pun Zinnirah, gadis bijak itu takkan membuat keputusan mengikut nafsu.

"Nadim."

Nadim mengalihkan pandangannya ke sebelah kiri. Wajah Talha ditatap dengan senyuman pudar di bibir. "Along."

"Zinnirah okey?" Talha menapak mendekati adik bongsunya.

"Along bercakap macam tak kenal Nera tu macam mana orangnya. Depan kita memanglah dia tayang senyum dia tu. Isi hati dia tu, Tuhan saja yang tahu."

"Dia tak luah apa-apa ke dengan asu? Dulu bukan ke dia suka bercerita dekat asu?" tanya Talha. Sudah tiga hari berlalu sejak kes kematian ibu bapa Zinnirah. Sebagai seorang inspektor, dia ditugaskan untuk mengendalikan kes tersebut. Dia sempat bertanya khabar Zinnirah ketika dia mengambil kenyataan daripada gadis itu. Namun sebagai seorang abang kepada Zinnirah, dia masih belum berpeluang untuk bertanya khabar adiknya itu.

"Tu dulu, along. Along pun tahu sejak dia pindah ke Muar enam belas tahun lepas, hubungan kita dengan keluarga Nera dah terputus. Tak sangka pula kes pertama yang along dapat selepas along dipindahkan ke IPD Manjung dapat menemukan kita dengan Nera. Entah berapa banyak kali dia berpindah selepas ke Muar dulu. Dari Pahang, ke selatan dan tup-tup, along jumpa dia dekat Lumut ni ha." Nadim diam sebentar. Terbayang-bayang dalam fikirannya wajah Zinnirah semasa kecil dahulu. Zinnirahlah saudara yang paling mudah dihasut untuk mandi sungai, panjat pokok rambutan Pak Ngah Rasid dan mengular ke dalam hutan di bukit belakang sekolah dahulu.

Zinnirah bukan sahaja peneman Nadim, malah penyelamat dia juga. Disebabkan semua kegiatan tersebut telah diharamkan oleh ibu, ibu akan menjadi sangat marah apabila mendapat laporan kegiatannya daripada jiran sekampung. Tetapi disebabkan Zinnirah ada bersama-sama dia dalam setiap aktivitinya, ibu tidak jadi untuk marah. Kata ibu, kasihan Zinnirah tidak ada kawan lain yang mahu bermain dengannya.

"Along pun tak sangka dapat jumpa dia. Masa tengok mayat arwah abah dengan mama, along kenal itu mereka. Kata orang kampung, Zinnirah bekerja di Lumut. Lama juga along tunggu dia sampai. Transport yang dia guna dari tempat kerja basikal aje, asu. Bila Zinnirah tegur along, along tak cam pun itu Zinnirah. Tapi sebab dia panggil along guna nama Talha, along tahulah itu dia. Kita mana ada keluarga lain dekat Perak." Cerita yang disimpan selama ini akhirnya diluahkan kepada Nadim. Talha tidak sempat hendak bercerita kepada keluarganya tentang pertemuan semula dia dengan keluarga Zinnirah. Baru hari ini dia ada masa untuk bersama-sama dengan keluarganya. Kebetulan pula dia mengambil cuti untuk membantu Zinnirah menguruskan pengebumian arwah ibu bapanya.

"Asu pun tak percaya yang dia tu Zinnirah. Bila ibu bertanya tentang mata dia, mujur Zinnirah buka cerita."

"Dia pakai kanta lekap ke?" telah Talha.

Nadim mengangguk. "Kalau dia tak buat macam tu, sampai bila-bila pun tak ada orang nak berkawan dengan dia, along. Along ingat kan dulu dia selalu menangis dan dia tanya kita kenapa mata dia buruk, kenapa mata dia tak sama macam orang lain?"

Talha tersenyum kecil. Memori dahulu terpapar di ruang mata. "Ingat sangat. Pujuk pakai gula-gula kapas kegemaran dia pun tak jalan. Boleh pula dia kata warna gula-gula kapas tu buruk sama macam warna mata dia." Tawa Talha terlepas di hujung bicaranya.

Nadim tersenyum sama, terhibur apabila teringatkan keletah Zinnirah semasa kecil dahulu.

"Long." Bicara Nadim bernada serius.

Talha memandang wajah adiknya. Dia yakin ada sesuatu yang mahu ditanyakan oleh Nadim.

"Along rasa kenapa arwah abah dengan mama buat macam tu?"

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro