Bab 2

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

RUANG dewan bergema dengan suara para pelajar Darul Zahra berqasidah. Siap dengan pukulan gendangnya sekali. Terdapat sekumpulan pelajar yang menganggotai kumpulan gendang. Pelbagai jenis qasidah mereka mahir. Dari segi bahasa, qasidah bermaksud syair Arab yang dilagukan atau dinyanyikan.Alunan qasidah mempunyai ciri-ciri tersendiri dari segi muzik dan bait-bait katanya. Bait-bait qasidah berbentuk syair yang bertemakan Islam seperti ucapan puji-pujian kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW.

Pada setiap hari Jumaat, para pelajar Darul Zahra akan berkumpul di dewan seawal pukul 5 pagi. Usai solat subuh, mereka mendendangkan 10 fasal qasidah burdah karangan Imam al-Bushiry. Dari awal pagi sehinggalah naik matahari barulah selesai. Ini bermakna hampir dua jam jugalah para pelajar berqasidah.

Apakah kerana mengingat para kekasih di Dzi Salam sana?Engkau deraikan air mata dengan darah duka.Ataukah kerana hembusan angin terarah lurus berjumpa di Kadhimah.Dan kilatan cahaya gulita malam dari kedalaman jurang IdhamMengapa kedua air matamu tetap meneteskan air mata? Padahal engkau telah berusaha membendungnya.Apa yang terjadi dengan hatimu?

Padahal engkau telah berusaha menghiburnya.

Indah kata-kata yang ditulis oleh Imam al-Bushiry dan sedap suara pelajar yang menyanyikan syair itu. Namun iramanya membosankan pada Khadijah. Daripada sepuluh fasal yang ada, fasal kedua sajalah yang Khadijah boleh terima kerana iramanya sedikit rancak. Khadijah sebenarnya tak minat qasidah. Meskipun bait-bait katanya memuji-muji Allah ataupun Rasul tapi Khadijah tetap tak minat. Ini bukanlah bermakna hatinya hitam sampai qasidah pun tak memberi bekas. Dah dia tak minat genre muzik sebegitu, nak buat macam mana?

Khadijah menekup mulutnya dengan telapak tangan kanan. Masuk kali ini sudah 10 kali dia menguap. Ikutkan hati, mahu saja dia merebahkan tubuhnya di atas karpet dan tidur dengan nyenyak. Namun apakan daya, acara qasidah burdah merupakan acara wajib di Darul Zahra.

'Ya Allah! Bila nak habis ni?' Rungutannya cuma bergema dalam hati.Lehernya yang berbalut tudung digaru. Mata dijegil besar-besar. Konon hendak buang kantuk. Huwargghh!

Khadijah menguap lagi. Bunyi gendang yang dipalu tetap tak mampu mencerahkan dua biji matanya.

Khadijah tampar pula pipinya. Namun usahanya itu berkesan beberapa minit saja. Sudah macam-macam cara dia ikhtiar tapi kelopak mata masih lagi berat.

Pap!

Khadijah terkejut daripada lena apabila bahunya ditepuk orang. Lekas-lekas dia menoleh. Seorang pelajar berbangsa Arab tersenyum kepadanya.

"La takkhudzuhu sinatuw wala naum. (Dia (Allah) tidak mengantuk dan tidak tidur)." Pelajar itu memetik potongan ayat dari Ayatul Qursi yang dijadikan doa apabila berasa mengantuk. Khadijah membatu. Kelopak mata terkebil-kebil, merenung muka pelajar yang bersuara.

"Awak berqasidahlah sama-sama. Insya-Allah, awak tak rasa mengantuk." Pelajar itu bersuara lagi dalam nada suara perlahan. Mungkin kerana dia tak mahu mengganggu acara.

Fasal bertukar.

"Maulaya salli wasallim daaiman abadaa. A'la habibika khoiril khalqi kullihimi."

Kali ini Khadijah menyertai syair yang didendangkan. Bahagian itu sajalah yang dia hafal pun sebenarnya. Bahagian itu umpama korus yang sering diulang-ulang setiap kali masuk ke fasal yang seterusnya.

Pelajar tadi melarik senyum.

KHADIJAH menelusuri ruang koridor. Sebenarnya dia tiada tempat tuju yang khusus. Dia turutkan saja ke mana kakinya menapak. Janji bukan balik ke dorm. Dia belum hendak balik ke dorm sementelah rasa mengantuknya tiba-tiba hilang lepas kena lepuk dengan budak Arab tadi.

Selesai acara qasidah burdah, pelajar bebas melakukan aktiviti sendiri kerana pada hari itu mereka bercuti. Biasanya tamat saja acara, pelajar terus balik ke dorm. Namun ada juga yang ke kedai. Khadijah pula memilih untuk bersiar-siar di pekarangan luar. Mengambil angin segar seraya cuci mata.

Pendek-pendek langkahnya diatur serta perlahan. Pemandangan sekeliling menjadi santapan mata manakala riuh suara pelajar berborak dan ketawa menjadi halwa telinga. Darul Zahra masih baru bagi Khadijah. Ramai pelajar yang dia belum kenal dan banyak lagi kawasan yang dia belum terokai.

"Assalamualaikum." Kedengaran salam diberi saat bertembung dengan seorang pelajar. Khadijah tak cam pun siapa. Apatah lagi bila bertabir muka.

Kepala diangguk tanda salam dibalas. Mulut malas hendak berbunyi. Khadijah jawab dalam hati saja. Sebenarnya dari tangga hingga ke hujung koridor, sudah tujuh salam diterimanya. Ramah-tamah belaka.

Sebaik sahaja terpandangkan bangku, Khadijah segera mendekati. Kemudian tanpa bertangguh, dia melabuh duduk. Nafas dihela pula dalam-dalam bagi menghilangkan lelah berjalan.

Khadijah mengamati bangunan Darul Zahra puas-puas. Cantik dan moden strukturnya. Diperbuat daripada batu, bukanlah papan seperti yang dia bayangkan sebelum ini. Cuma tak beratap sepertimana bangunan di Malaysia. Bumbungnya rata saja macam lantai. Kelas-kelas ditempatkan di bahagian atas sekali iaitu tempat mereka berqasidah sebentar tadi. Kelas-kelas di sini tidak berdinding, seolah-olah menggunakan konsep ruang terbuka.

Setiap kelas disediakan dengan papan putih sebagai alat bantuan mengajar. Para pelajar cuma duduk di atas lantai yang beralaskan karpet. Namun begitu setiap seorang dari mereka dibekalkan dengan satu meja kecil untuk menulis. Jika tenaga pengajarnya lelaki, proses pembelajaran dilakukan di dalam bilik yang berdinding. Mikrofon dan televisyen dijadikan sebagai alat bantuan mengajar. Ini bermakna, si pengajar langsung tak melihat wajah pelajar-pelajarnya. Begitu tertibnya mereka menjaga ikhtilat iaitu adab pergaulan, bagi menghindari fitnah agar ilmu yang disampaikan mendapat keberkahan.

Darul Zahra merupakan cawangan Darul Mustafa, pusat tarbiah yang begitu terkenal di seluruh dunia. Kalau Darul Mustafa untuk pelajar lelaki, Darul Zahra pula untuk perempuan. Sebagaimana Darul Mustafa, Darul Zahra juga didatangi oleh pelajar dari seluruh pelosok dunia. Bahkan permintaan terlalu tinggi sehingga terpaksa masuk senarai menunggu. Apa yang Khadijah difahamkan, pelajar-pelajar yang berada dalam senarai menunggu ditempatkan di madrasah cawangan Darul Zahra selama 2 tahun sebelum dipindahkan ke Darul Zahra. Mujurlah Khadijah tak perlu menunggu. Kata umi, dia patut bersyukur kerana terpilih.

Kelebihan belajar di Darul Zahra ialah lokasinya yang tak jauh dari Darul Mustafa membolehkan mereka menimba ilmu secara langsung dari habib-habib terkenal di situ. Para habib ini mempunyai ilmu agama yang sangat mendalam. Tak hairanlah rata-rata pelajar alim dan alimah di Malaysia yang telah menamatkan pengajian mahu mendalami lagi ilmu mereka di sini. Jujurnya Khadijah langsung tak menduga kawasan Darul Zahra sebegitu besar. Terdapat lima dorm yang dinamakan dengan anak-anak Sayyidah Fatimah Az-Zahra. Setiap dorm ini mengandungi bilik-bilik yang menempatkan pelajar-pelajar. Bilik yang besar menempatkan sehingga 9 orang pelajar. Khadijah difahamkan terdapat lebih kurang 300 orang pelajar kesemuanya. Keutamaan diberikan kepada pelajar dari luar Tarim. Selain dari Asia, ada juga pelajar yang datang dari Amerika, Afrika dan Britain. Pendek kata, pelajar dari seluruh pelosok dunia ada di Darul Zahra. Ahli bilik Khadijah pula kesemuanya berbangsa Arab tapi mereka bukanlah Arab Yaman.

Meskipun Darul Zahra tertutup dan terpencil tapi ia dilengkapi dengan kemudahan moden. Kedai makan, kedai runcit, kedai buku semuanya tersedia. Para pelajar tak perlu keluar dari pekarangan Darul Zahra. Paling Khadijah tak sangka, bukan saja di kelas, bahkan setiap bilik dorm dilengkapi dengan alat pendingin hawa. Pendingin hawa pula sentiasa terpasang. Kata budak dorm, ia hanya ditutup pada musim dingin. Sumpah selesa, walaupun cuma tidur di atas tilam tanpa katil. Mujurlah juga biliknya kecil jadi penghuni dalam biliknya cuma empat orang. Tidaklah menyesakkan kepala sangat. Khadijah memang tak suka ramai-ramai. Lagi ramai, lagi banyak kepala. Kalau sekepala tak apa. Dari pengalaman lepas, bila tak sekepala, mulalah nak bergaduh.

"Assalamualaikum ya, ukhti." Gegendang telinga Khadijah menangkap suara orang memberi salam.

'Adoi! Siapa lagi ni?' Hati kecilnya merungut. Niatnya hendak bersendirian tanpa sebarang gangguan. Kepalanya sudah cukup serabut bersesak di dalam dewan tadi.

Lambat-lambat Khadijah menoleh. "Waalaikumussalam."Khadijah tak kenal siapa kerana pelajar yang menegur itu bertabir muka. Hendak meneka berdasarkan suara, Khadijah tak cam sebab dia orang baru di situ. Lagipun dia bukanlah jenis rajin berborak dengan orang. Dia buat hal sendiri saja. Hendak meneka berdasarkan pakaian, semuanya kelihatan sama saja, serba hitam macam gagak. Cuma tak boleh terbang.

"Boleh saya duduk di sini?" Pelajar itu memohon kebenaran. Tak seronok kalau berborak seraya berdiri. Penat pun ya juga.

"Silakan..." Dalam nada tak ramah, Khadijah menjawab. Seperti terpaksa memberi izin. Lagipun mana boleh dia larang sebab bangku itu hak milik awam. Kemudian Khadijah berganjak sedikit bagi memberi ruang. Terus pelajar itu melabuh duduk.

"Ismi Tasneem. (Nama saya Tasneem)." Pelajar itu memperkenalkan diri. Namun tabir mukanya masih tak dibuka.

'Isy... Nak ajak berborak pula!' Hati Khadijah merungut lagi.

"Ma ismuki (Siapa nama awak?)" Soalan ditanya apabila Khadijah tak memperkenalkan diri.

"Khadijah."

"Oh, sedap nama awak. Nama ummul mukminin." Tasneem memberi pujian.

Hek eleh... Nama dah biasa sangat, kut! Berlambak orang guna nama ni dekat Malaysia. Anak kawan-kawan umi saja sudah 5 orang menggunakan nama yang sama.

"Saya nak minta maaf sebab tadi saya tepuk bahu awak sampai awak terkejut."

Buntang dua biji mata Khadijah.

'Ooo! Budak tadi rupa-rupanya.' Khadijah menggetus dalam hati.

Memang dia terkejut sungguh tadi sampai lari segala bapak setan yang bertenggek di atas kelopak mata. Terus cerah biji matanya. Tapi terasa sakitlah juga bahunya tadi kena tepuk. Mujur di dalam dewan. Kalau dalam dorm, harus dia hempuk balik minah Arab itu.

"Orang Arab ni kasar sikit. Khadijah kena banyak bersabar." Terus Khadijah teringatkan kata-kata umi sebelum dia berangkat ke Yaman.

"Awak pelajar baru di sini?" Tasneem ajukan soalan lagi.Khadijah cuma angguk kepala.

"Awak dari mana?"

"Malaysia."

"Oh, saya tahu di mana walaupun saya belum pernah sampai ke sana. Setahu saya, ramai juga pelajar dari Malaysia di sini." Ternyata Tasneem begitu peramah orangnya.

Khadijah larik senyuman kecil. Buat-buat senyum sebenarnya walhal dia tak berminat hendak berborak pada ketika ini. Karang tanya pula tentang emak, ayah, adik-beradik semua. Sudahlah dia masih lagi dalam mod merajuk.

"Errr... Boleh saya cakap sikit?"

Adoi! Dah cakap banyak dah pun, baru nak minta izin?

"Tapi sebelum tu, saya nak minta maaf kalau kata-kata saya ni nanti menyinggung perasaan awak..."

Kalau tak nak menyinggung, tutup ajelah mulut tu. Tak payah cakap pun tak apa... Namun kata-kata itu tersedik dalam hati Khadijah cuma.

"Awak tahu, kan? Pekerja-pekerja dekat kedai semuanya lelaki. Seeloknya bila berada di pekarangan luar ini, awak turunkan tabir muka. Sebabnya kadang-kadang mereka tiba-tiba saja lalu dekat sini."

Ah! Pasal aurat tak sudah-sudah. Hati Khadijah mula berbulu.

"Ya, saya tahu! Tapi mereka kat dalam kedai. Kalau mereka lalu dekat sini, tahulah saya nak turunkan tabir muka saya ni." Usai pandangannya disuarakan, Khadijah terus bangun dan beredar pergi.

Alamak! Sentap pula dia...

Tasneem terasa bersalah. Namun tidak pula dia menahan Khadijah pergi.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro