Bab 1

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Abang Mizi tak habis-habis lagi. Dari aku sampai sehinggalah sekarang, mulut Abang Mizi tak berhenti hamburkan rasa tidak puas hatinya. Asal ada kesempatan saja, habis segala kemarahannya terluah. Semua dia ungkit. Nampak sangat nak halau aku. Dengan mak sekali dia marah. Inilah contoh anak kurang ajar. Tak tahu langsung nak hormat orang tua. Suka hati dia saja nak cakap apa. Mana dia dapat perangai macam tu, aku pun tak tahu. Nak kata mak tak ajar, mustahil sangat. Dari kecil mak didik kami dengan baik.

"Dah bercerai balik rumah mak. Ingat rumah mak rumah kebajikan ke apa? Nama saja rumah mak, tapi orang bayar semua tau tak? Api, air. Ingat free?"

Aku dengarkan saja Abang Mizi membebel pada mak. Kenapa tak cakap dengan aku saja? Kenapa harus marah mak? Tak berani sebab aku akan lawan balik? Dan satu lagi, aku belum pun bercerai. Memandai kata aku dah bercerai. Suka agaknya kalau adik kandung jadi janda. Dasar abang tak ada hati perut. Entah apalah yang dia dengki sangat dengan aku. Aku tak pernah usik dia pun. Jauh sekali nak kacau rumah tangga dia. Hobi agaknya cari fasal dengan adik kandung.

"Tu berapa lama pulak nak menumpang kat sini? Menyusahkan betul!"

Menumpang? Yang dia dari dulu sampai sekarang menumpang rumah mak tak sedar pulak. Dasar anak tak sedar diri!

"Biarlah dia tinggal di sini. Dia pun anak mak. Apa salahnya dia tinggal di rumah mak? Rumah mak ni luas. Kita bukannya ramai." Perlahan suara mak memujuk. Aku tahu sebolehnya mak tak nak bersuara, tapi rasanya kali ini Abang Mizi dah melampau sangat.

"Mak cakap senanglah. Orang pun ada keluarga juga. Takkan orang nak tanggung dia? Tu yang dalam perut tu, kalau beranak nak kena bagi makan. Takkan nak telan pasir!"

Baru dua hari aku menumpang rumah mak. Aku tak cakap aku nak tinggal lama di sini. Aku menumpang pun sementara nak dapat rumah sewa atau bilik. Selama ni aku tak pernah minta makan daripada Abang Mizi. Aku masih bekerja. Ada duit aku sendiri untuk menampung kehidupan aku. Abang Mizi nak bagi aku makan? Memang tidaklah. Sekupang duit dia pun berkira, lagi nak sara aku anak-beranak. Cakap bukan main lagi. Aku pun tak hadap duit dia.

"Entahnya. Nanti you jugak yang kena tanggung semua." Kak Fina pula bersuara.

Abang Mizi dulu bukan macam sekarang. Dia baik aje. Sejak naik pangkat ni lain macam perangai dia. Dapat pulak kakak ipar kaki hasut, memang menjadilah perangai dia. Semakin kurang ajar. Itu baru naik pangkat sikit. Kalau pangkat lagi tinggi, aku rasa lagi teruk perangai dia.

"I tak nak you bela biawak hidup. Hidup kita pun bukannya senang sangat." Lagi kata Kak Fina yang sangat menyakitkan hati. Belum apa-apa sudah panggil aku biawak hidup. Melampau betul.

"Mak ni yang bodoh. Ikutkan saja apa kata anak kesayangan dia. Makin lemaklah jadinya."

Tak tahan mendengar mak terus kena marah, aku keluar menghampiri mereka. Kali ni aku tak peduli. Nak bergaduh pun aku boleh saja. Sudah hilang rasa hormat terhadap Abang Mizi.

"Abang kalau tak suka, cakap aje dengan Miza. Kenapa nak marah mak? Miza tumpang sekejap pun tak boleh ke? Bukannya Miza nak tinggal lama kat sini."

Ikutkan hati memang tak ingin aku tinggal di sini tapi pilihan apa yang aku ada? Aku memang dah tak boleh tinggal sebumbung dengan Wafi. Pandang muka dia pun tak boleh. Semakin benci.

Abang Mizi yang sudah pun berumur tiga puluh enam tahun pandang aku. Umur saja tiga puluh lebih, tapi perangai tak matang langsung. Ikut apa saja cakap isteri.

"Eleh, cakap aje sementara tapi dah rancang nak tinggal selamanya." Kak Fina yang sebaya Abang Mizi mencebik.

Ada jugak yang nak kena dengan aku. Selagi aku boleh sabar, kau selamat. Kalau sudah habis kesabaran aku, aku memang tak peduli. Aku tak kira kakak ipar ke, siapa ke...

"Akak jangan sibuk urusan Miza. Ini rumah mak Miza. Miza pun ada hak. Miza boleh tinggal di sini bila-bila Miza suka. Jangan nak jadi batu api sangat." Aku marah Kak Fina. Mencuka terus muka dia.

"Baik, sekarang aku cakap dengan kau. Aku takkan tolong kau satu sen pun. Kau nak beranak, kau nak mampus, itu kau punya pasal. Kau jangan menyusahkan aku. Kau dengar tu!"

Memang kurang ajar betul. Kenapalah aku ada abang kandung seperti ini? Serupa aku ini bukan adik dia.

"Abang jangan bimbang pasal tu. Miza pun tak ingin duit abang. Abang simpanlah bawa mati sekali!" Macam aku lapar sangat duit dia.

Adik-beradik bukan ramai pun. Kami berdua saja, tapi tak tahulah kenapa abang busuk sangat hati dia. Dengki tak habis-habis.

"Dah susah pun masih lagi tak sedar diri. Kalau nak menumpang buat cara menumpang."

"Miza bukan nak menumpang seumur hidup. Eh, setakat duit api, duit air, memanglah mampu. Duit lain berkira." Aku menyindir. Macamlah aku tak tahu Abang Mizi yang pegang duit pencen arwah ayah.

"Mulut kau jangan kurang ajar sangat. Tak pasal aku lempang karang."

"Tak betul ke apa yang Miza cakap ni? Sekarang ni siapa yang menumpang? Siapa yang pulun bagi perabis duit pencen arwah ayah? Malulah sikit!" Ingat aku tak berani nak menjawab? Nak lempang, lempanglah. Aku lempang balik. Abang tak abang. Peduli apa aku.

Abang Mizi berjalan keluar. Tanda dia kalah dan pastinya malu sama. Masuk bab duit pencen arwah ayah, memang Abang Mizi akan kalah. Dah dia makan sorang-sorang, mestilah tak boleh nak cakap apa.

Kak Fina pun ikut dari belakang.

"Mama, nak ikut." Yuhanna yang baru berusia enam tahun merengek.

"Jangan nak mengada-ada. Tinggal aje kat rumah!"

Kak Fina yang hanya memakai seluar pendek dan T-shirt juga berlengan pendek menjawab dengan kasar. Dia terus menuju ke kereta. Abang Mizi sudah hidupkan enjin kereta.

"Ke mana tu, mak?"

"Nak pergi makan," jawab mak.

Tak tahu nak cakap apa. Pergi makan berdua, sementara anak tinggal di rumah. Kalau Balqis dengan Furqan aku tak ralat sangat sebab masing-masing baru berumur tiga tahun dan setahun lebih. Tak tahu apa-apa lagi. Aku kasihan Yuhanna. Yuhanna tu dah pandai berfikir. Tambahan pula Yuhanna seorang anak yang bijak.

"Nak ikut mama..." Yuhanna mula menangis.

"Tak apalah. Mama Miza kan ada." Aku peluk Yuhanna.

"Yanna benci mama." Yuhanna menangis dalam pelukanku.

"Eh, jangan cakap macam tu. Tak baik tau. Yanna kena sayang mama." Nak saja aku meracuni fikiran Yuhanna tapi tak sanggup. Rasa benci tak payah ajar. Nanti akan datang dengan sendiri. Sekarang ini juga aku sudah nampak Yuhanna mula membenci orang tuanya.

"Mama dengan papa tak sayang Yanna dengan adik-adik. Yanna nak pergi mati."

Allah. Anak kecil seusia enam tahun sudah pandai sebut mati.

"Yanna, tak baik cakap macam tu." Mak pula memujuk.

Betapa dalamnya luka hati anak saudaraku ini sehingga terlafaz kata-kata begitu.

"Mama dengan papa tak sayang kita orang."

"Sayang aje, siapa cakap tak sayang?" Aku usap rambut Yuhanna.

"Kalau sayang kenapa selalu marah Yanna?"

"Yanna nakal kut." Aku sapu air mata yang membasahi pipi Yanna.

"Mana ada Yanna nakal. Mama dengan papa selalu marah Yanna. Itu tandanya mama dan papa tak sayang Yanna."

Mustahil Yuhanna tak terasa bila selalu dimarah.

"Dah, dah. Yanna pergi mandi. Nanti Mama Miza masak spageti."

"Betul?" Yanna sapu air matanya.

"Ya, Yanna boleh makan banyak-banyak."

Yuhanna peluk aku dengan erat.

"Yanna sayang Mama Miza."

"Mama Miza pun sayang Yanna."

Yuhanna berlari-lari anak tinggalkan aku. Aku toleh ke arah mak. Nampak mak kesat air mata. Sayu perasaan melihat mak. Aku tak tahu kenapa mak mengalirkan air mata. Kalau mak menangis sebab perangai abang, aku percaya lambat-laun abang bakal mendapat balasan. Tengoklah nanti.

"Miza nak keluar kejap, mak. Nak beli bahan nak masak spageti." Aku berjalan menuju ke pintu. Tak jauh dari rumah mak ada mini market tempat membeli barang keperluan dapur.

"Hati-hati..." pesan mak.

"Baik," balasku lambat. Aku terus melangkah dengan rasa sakit hati. Terbeban dengan perangai abang dan suami sendiri. Semoga aku terus tabah mengharungi semua ini.

KAMI makan bersama-sama sebaik sahaja aku selesai masak spageti. Yuhanna nampak gembira. Berkali-kali dia memuji. Dia suka betul makan spageti. Kasihan sungguh aku melihat Yuhanna. Anak yang terabai. Nasib dia mendapat ibu bapa yang tak berhati perut.

Sedang kami sedap makan, Abang Mizi dengan Kak Fina sampai. Terus kedua-duanya masuk ke bilik. Langsung tak peduli dengan anak-anak. Bukan tak fikir sekarang ni dah masuk maghrib. Sudahlah masing-masing tak solat. Lagi nak bebankan mak dengan anak-anak mereka. Memang dasar anak menantu tak berhati perut. Macam manalah mak boleh sesabar ini? Diperlakukan seperti hamba pun masih boleh diamkan. Tak bersuara langsung. Bukan setahun dua, hampir enam tahun diperlakukan begitu.

"Mak pergilah mandi dulu. Biar Miza tengokkan budak-budak."

"Yalah." Mak melangkah perlahan. Lesu dan nampak letih. Kasihan mak. Entah sampai bila penderitaan mak akan berakhir.

"Sedaplah Mama Miza masak," puji Yuhanna.

"Ya? Mama Miza memang pandai masak. Nanti Yanna pun kena belajar masak. Kita kena pandai masak sebab kita ada perut. Bila kita lapar, kita boleh masak sendiri tanpa harap orang lain masak untuk kita." Sebenarnya aku mahu meluah rasa tidak puas hati terhadap Kak Fina yang memang malas masak. Selama menjadi menantu mak, bertuahlah kalau dia masak. Memang taklah.

"Baik..." Jujur Yuhanna menjawab tanpa mengerti makna kata-kataku.

Aku bimbang apa yang bakal Abang Mizi semai, itulah yang bakal dia tuai kelak. Masa tu memang aku akan tepuk tangan.

Aku usap rambut Yuhanna yang melepasi bahu. Comel budaknya. Mewarisi kecantikan Kak Fina. Alisnya lentik, pipinya gebu dan putih melepak.

Yuhanna senyum. Senyuman yang mampu sejukkan perasaan. Cuma Abang Mizi dengan Kak Fina yang bodoh. Tak tahu menghargai anak.

Abang tunggulah. Lambat-laun akan mendapat juga. Sudahlah derhaka dengan mak, lepas tu buat jahat dengan anak sendiri pula. Aku akan tunggu dan lihat. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro