Bab 2

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

TIBANYA di Jeti Batu Musang, mereka disambut oleh seorang lelaki. Lelaki itu tersenyum melihat mereka.

"Akhirnya dapat jugak tangkap Abang Aziz," kata lelaki itu. Dia pandang Aziz.

Dahi Aziz berkerut. Siapa lelaki ni? Dahlah dia tengah bad mood sekarang ini. Dia merenung lelaki itu. Macam pernah nampak tapi kat mana? Otak ligat berfikir.

"Abang Aziz tak kenai saya lagi ka? Saya Azhar." Azhar perkenalkan dirinya.

Dengar saja nama Azhar, wajah Aziz berubah.

"Abang Aziz hang ni mana ingat sesiapa dah.Kalau mak dia sendiri dia boleh lupa, inikan pula nak ingat hang..." sindir Datin Ida.

"Mummy ni tak habis-habis nak sindir Aziz. Dari Pulau Aman lagi mummy tak henti pot pet pot pet. Aziz ingat la. Azhar, kan? Anak Pak Atan dan Mak Eton. Betul tak?" Aziz tersenyum melihat Azhar. Dia masih ingat lagi Pak Atan dan Mak Eton yang sudah lama bekerja dengan keluarganya.

Azhar menganggukkan kepala dengan laju.

"Last kita jumpa masa Azhar sekolah menengah, kan? Pak Atan dan Mak Eton sihat?"

"Mak ayah sihat," jawab Azhar. Dia gembira bila Aziz masih ingat dia lagi. Masa kecil dulu, Aziz selalu teman dia bermain. Walaupun Aziz anak majikan kepada mak dan ayahnya, tetapi famili Dato Adam jenis tak sombong.

"Auntie... Saya balik ofis dulu. Ada meeting pukul 11 pagi nanti." Diana bersuara.

"Yalah. Drive elok-elok. Pasal Aziz ni jangan risau, Din dengan Pian ada. Aziz tak dapat nak lari mana-mana," kata Datin Ida.

"Saya gerak dulu." Diana sempat melihat ke arah Aziz sebelum bergerak ke kereta Honda HRV berwarna merah miliknya

"Sombong betul PA mummy tu! Tengok Aziz macam nak cari gaduh." Aziz mengadu.

"Yalah... Sebab nak cari hang punya pasai, Diana tu terpaksa kerja lebih masa," jawab Datin Ida.

"Orang tak suruh cari pun," ucap Aziz dengan nada perlahan supaya Datin Ida tidak mendengar kata-katanya.

"Hang cakap apa, Aziz?" tanya Datin Ida. Dia rasa macam Aziz cakap sesuatu.

"Nothing, mummy! Bunyi angin tadi. Jom balik, nanti lewat pulak." Cepat-cepat Aziz masuk ke dalam kereta. Tak sanggup lagi dengar ibunya sambung berleter.

"Ini baru anak seorang. Kalau ada anak ramai, tak tahulah apa nak jadi," kata Datin Ida seraya mengetap bibir.

Azhar tersengih mendengar kata-kata Datin Ida. Selepas ini rumah Datin Ida tak sunyi lagi.

DIANA melangkah keluar dari bilik selepas sejam mereka bermesyuarat. Tiba-tiba perjalanannya dihalang oleh Adriana. Renungan Diana tepat melihat Adriana yang memakai sut merah.

Apa pulak yang anak Datin Annisa nak lagi? Sengaja cari pasal aje kerjanya.

"Auntie Ida mana? Kenapa Auntie Ida tak datang meeting? Sebelum ni, Auntie Ida tak pernah miss meeting," soal siasat Adriana.

"Rasanya I dah cakap pasal hal ini kat bilik meeting. You tak dengar ke? Aaa... Mesti you tidur masa meeting tadi. Yalah, ini bukan first time you tidur, kan," jawab Diana dengan wajah serius. Dia merenung Adriana yang baru saja beberapa bulan menjadi manager di AB Group.

"Apa you cakap?" Nada suara Adriana terus tinggi.

"Itulah bila malam asyik menari kat kelab aje! Nak berseronok pun kenalah ingat antara hari bekerja dengan hari minggu," tambah Diana lagi.

Wajah Adriana berubah merah. Baru saja nak bersuara, namanya dipanggil.

"Tu, mama you dah panggil. I gerak dulu. Banyak kerja nak kena settle," kata Diana. Dia teruskan langkah. Malas nak layan perangai anak bongsu Datin Annisa.

Adriana genggam erat kedua-dua tangannya.

"Adriana!" panggil Datin Annisa dengan suara sedikit tegas. Dia tak mahu anaknya bergaduh dengan Diana di tempat kerja.

Dengan wajah masam, Adriana berjalan menghampiri Datin Annisa.

"Kamu ni dah kenapa? Kenapa suka sangat cari pasal dengan Diana tu? Dah banyak kali mama pesan kan, jangan gaduh kat ofis. Apa kata orang nanti!" tegur Datin Annisa. Anaknya itu memang degil. Berulang kali nasihat tetapi Adriana buat jugak.

"Mama! Diana tu yang cari pasal dulu. Ada ke dia cakap Adriana tidur masa meeting tadi! Mana Adriana tak bengang."

"Tapi hakikatnya Adriana tidur, kan?" kata Datin Annisa. Dia nampak tadi semasa mesyuarat. Kalau Adriana duduk di sebelahnya tadi, dah lama dia cubit Adriana. Geram jugak melihat Adriana yang duduk bertentangan dengannya begitu nyenyak tidur.

"Bukan tidur, tapi terlelap," jawab Adriana seraya tersengih.

Datin Annisa geleng kepala dan mengeluh kuat. Dia sudah tak tahu nak cakap apa lagi dengan Adriana.

"Jom ikut mama. Kita kena bincang pasal pembukaan showroom kita kat Kuantan," kata Datin Annisa.

SEBAIK saja tiba di pekarangan rumah banglo dua tingkat itu, Aziz keluar dari perut kereta. Dia tersenyum melihat Pak Atan dan Mak Eton sedang menanti kepulangannya di anjung kereta.

"Pak Atan! Mak Eton!" Wajah Aziz ceria melihat Pak Atan dan Mak Eton. Bagi Aziz, mereka berdua seperti ibu bapanya. Tangan dihulur untuk bersalaman dengan mereka berdua.

"Hang sihat?" tanya Pak Atan.

"Awat kurus ni? Hang tak makan ka? Kat luaq negara tu tak ada makanan sedap-sedap ka? Aduh, sedih hati Mak Eton tengok hang kurus macam ni," kata Mak Eton dengan wajah berkerut. Dia pandang atas bawah. Melihat keadaan Aziz yang nampak kurus daripada sebelum ini.

Azhar yang berdiri di sebelah Aziz tersenyum melihat gelagat mak dan ayahnya yang nampak ceria menyambut kepulangan Aziz.

"Aziz sihat, Pak Atan. Ala... Mak Eton, kat luar negara sana tak ada satu pun makanan yang dapat tandingi masakan Mak Eton. Aziz rindu dengan masakan Mak Eton."

"Ya ka? Tak pa, hari ini Mak Eton masak semua lauk kegemaran hang. Lepas ni nak makan apa, hang habaq. Mak Eton masak kat hang," tambah Mak Eton.

"Hang suka makan ikan pekasam kat pasar pagi dekat rumah, kan? Esok Pak Atan pi beli," kata Pak Atan.

Aziz tersenyum lebar dan angguk kepala.

"Hangpa berdua ni kan, laki bini sama saja. Manjakan Aziz ni sangat. Sebab tu perangai Aziz melampau." Datin Ida bersuara. Sejak tadi dia hanya diamkan diri. Sejak kecil lagi Aziz memang rapat dengan Pak Atan dan Mak Eton. Dia dan suaminya begitu sibuk bekerja uruskan syarikat. Aziz banyak habiskan masa dengan Pak Atan dan Mak Eton.

"Pak Atan, Mak Eton... Tengok mummy tu kuat cemburu. Tak kasi kita peluang nak berborak langsung."

"Ala... Kak Ida, kami pun nak lepaskan rindu kat Aziz jugak. Nak dekat 4 tahun kami tak jumpa." Pak Atan tersengih.

"Suka hati hangpa la. Akak lapaq ni. Makanan tengah hari dah siap ka?" tanya Datin Ida.

"Dah siap terhidang pun. Saya masak sambal petai udang kegemaran Kak Ida."

"Petai padi ka?" tanya Datin Ida dengan suara ceria.

"Dah tentu petai padi. Kak Ida kan suka makan petai padi. Pagi tadi saya suruh Abang Atan beli kat market. Fresh lagi," jawab Mak Eton. Dia bersama Datin Ida masuk ke dalam rumah banglo mewah dua tingkat.

"Tahu-tahu ja Mak Eton nak alihkan perhatian mummy. Skill Mak Eton semakin mantap," kata Aziz diakhiri ketawa. Setiap kali ibunya marah, Pak Atan dan Mak Eton yang selalu sebelahkan dia.

Pak Atan turut sama ketawa. Begitu juga dengan Azhar.

"Ayah! Abang Aziz! Jom masuk, dah lapar ni," kata Azhar seraya menggosok perutnya berulang kali.

"Jom! Jom!" kata Aziz. Mereka bertiga masuk ke dalam rumah.

SELESAI saja mandi, Aziz keluar dari bilik air. Dia terkejut apabila ibunya sedang duduk di atas katil menanti dia keluar.

"Mummy ada hal sikit nak cakap ni."

"Cakap apa lagi, mummy? Pasal kompeni lagi ke? Mummy tak penat ke? Dari pagi sampai petang, tak habis-habis cakap benda yang sama." Aziz mengeluh. Tuala yang ada di tangannya disidai di tempat penyangkut tuala.

"Sapa lagi nak ambil alih kompeni tu kalau bukan hang. Hang la satu-satunya anak kami. Hang tak kasihan kat mummy ka? Sejak arwah daddy hang tak ada, mummy seorang bekerja keras majukan kompeni kita. Arwah tok ayah hang yang mula-mula bangunkan kompeni ni. Dari kedai emas kecil-kecilan hinggalah kompeni kita jadi salah satu syarikat barang kemas ternama di Malaysia ni. Hang seorang saja harapan kami. Takkan hang nak biaq Annisa anak-beranak tu take over kompeni kita? Mereka anak-beranak tu memang nak sangat kompeni kita." Wajah Datin Ida sudah merah menyala.

Selepas Dato Adam meninggal sepuluh tahun yang lalu, Datin Annisa dan keluarganya pulang semula ke Malaysia. Yang buat Datin Ida sakit hati apabila Datin Annisa bekerja di AB Group hakikatnya Datin Annisa boleh saja bekerja di syarikat keluarga suaminya sendiri di Kuala Lumpur. Mula-mula Datin Annisa bekerja sebagai branch manager, kini Datin Annisa sudah memegang jawatan sebagai COO AB Group. Pengaruh Datin Annisa semakin kuat malah apa yang membimbangkan beberapa orang ahli lembaga pengarah mula berpihak pada Datin Annisa. Datin Ida mula rasa kedudukannya dalam AB Group mula terancam.

"Mummy, Auntie Annisa tu sepupu daddy. Famili kita jugak, kan. Kenapa mummy anti sangat dengan Auntie Annisa tu?"

"Eee... Hang ni kan, memang tak tahu apa-apa langsung! Itulah tak nak ambil tahu langsung pasal hal kompeni!" marah Datin Ida. Kepalanya dah berasap gara-gara bercakap dengan anaknya. Dia ada sebab kenapa dia tak suka kehadiran Datin Annisa anak-beranak di dalam syarikatnya.

"Memang Aziz tak tahu apa-apa sebab Aziz tak nak ambil tahu. Syarikat tu sesuai untuk orang perempuan. Aziz mana tahu pasal barang kemas ni. Pasal berlian. Pasal emas. Pasal permata. Eee... Memang Aziz tak tahu pun. Awal-awal lagi Aziz dah cakap yang Aziz nak buka syarikat pelancongan sendiri. Itu yang Aziz minat. Susah sangat ke mummy nak faham?" Nada suara Aziz sudah berubah. Dia tak suka dirinya dipaksa buat sesuatu yang dia tak suka.

"Eee... Hang ni kan..." Darah Datin Ida sudah mendidih. Kedua-dua tangan digunakan untuk kipas wajahnya yang terasa bahang ketika ini.

Tiba-tiba pintu bilik Aziz diketuk.

"Auntie... Saya ada hal nak bincang dengan auntie. Saya tunggu auntie kat bilik study." Terdengar suara Diana di sebalik pintu bilik Aziz yang tertutup.

"Baiklah," jawab Datin Ida. Dia terus bangun. Sempat lagi dia cubit lengan Aziz.

"Sakitlah, mummy..." Aziz mengadu. Digosok bekas cubitan ibunya tadi. Tangan tu suka sangat sengat orang.

"Nasib baik Diana datang. Kalau tak hang dah kena dengan mummy," kata Datin Ida sebelum keluar dari bilik.

Aziz menarik nafas lega selepas ibunya keluar. Cepat-cepat dia kunci pintu. Dia sandarkan diri di sebalik pintu bilik. Kemudian dia garu kepala yang tak gatal apabila fikirkan nasib dirinya selepas ini. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro