Bab 8

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Masuk hari ketiga, kesihatan mak makin okey. Mungkin sebab aku dan kakak bergilir-gilir menemani dia di wad. Selera makan pun besar. Manja nak itu dan ini. Aku layankan aje asalkan mak rasa seronok. Tebus balik rasa bersalah aku terhadap mak.

Hazie pun kerap bertandang bawa makanan. Mak pun nampak seronok kalau anak murid kesayangan dia melawat. Siap kupaskan buah oren dan potong buah epal. Melayan mak aku bercerita. Kejap-kejap mereka berdua terkekek-kekek ketawa. Aku tak faham apa yang mereka bualkan. Apapun Hazie ni memang pandai ambil hati mak aku. Hati aku aje dia buat tak kesah.

Mak aku siap puji melangit betapa bertuahnya mak-mak di dunia ni kalau dapat menantu macam Hazie. Ada rupa dan pandai mengurus bab rumah tangga. Sejauh mana kebenaran aku belum pasti tapi dia ni memang manis bila dipandang lama-lama.

Aku tilik jam di dinding. Sudah hampir sejam dia berada di wad. Aku mula panas punggung. Lagi lama dia duduk di sini lagi sakan jenayah cinta aku buat. Curi pandang dia. Ya, tak putus-putus aku tenung dia. Kadang-kadang tanpa sedar, aku ikut sekali ketawa bila mereka bercerita. Haih, tak boleh jadi!

"Kau tak kerja ke?" Aku bertanya. Terus kelat wajah mak saat aku tegur Hazie direct macam tu. Mentang-mentang dia baik dengan mak, sesuka hati curi tulang. Mengelat kerja!

"Hesy, mak yang suruh dia datang." Mak aku beralasan. Terus dirangkulnya lengan Hazie erat-erat. Perangai mak dah serupa macam anak kecil. Entah kenapa mak berkenan sangat dengan Hazie ni. Kalaulah mak tahu yang... Ah, balik-balik aku nak terungkit cerita lama. Move on, Kimi! Move on!

"Mak rehatlah. Tak penat ke sembang dari tadi? Doktor pun suruh mak rehat, kan?" Sengaja aku tekan pasal tu. Biar Hazie berambus awal. Dia bingkas bangun. Berjaya! Aku sembunyikan senyuman.

"Saya balik dulu, cikgu. Esok saya singgah pula, ya?" Lembut tutur kata Hazie.

"Kirim salam dekat mak, ya. Terima kasih na selalu datang jenguk cikgu. Kamu ni memang budak baik sejak dulu." Berbakul-bakul mak aku puji dia. Dia pun tersengih-sengih seronok gitu. Eee, rasa nak cepuk bibir tu.

"Cikgu kena rehat banyak-banyak. Pasal kerja-kerja di kilang tu, pandai-pandailah saya dan Dura uruskan. Apa-apa hal, saya akan maklumkan kepada cikgu. Assalamualaikum," ucap Hazie mendatar.

"Waalaikumusalam," jawab mak dengan senyuman kelegaan. Selepas kelibat Hazie semakin menjauh, aku tarik kerusi dan duduk. Lebihan buat epal yang sudah terhidang di atas piring disambar sepotong. Epal ni yang manis atau orang yang kupas tu yang terlalu manis? Hurm... Sedap. Aku sambar lagi sepotong.

"Dah 28 tahun tapi tak jemu duk panggil mak cikgu, kan? Mesti dekat kilang pun dia panggil mak cikgu, kan?" Sengaja aku buka cerita pasal Hazie. Nanti mak akan buka cerita pasal Hazie dari A sampai Z.

Mak angguk kecil. Aku melepaskan tawa. Kelakarnya bila tekaan aku betul.

"Biarlah. Dulu masa di sekolah, walaupun mak tak ajar dia tapi dia rajin mai tolong mak. Nak harap Kimi tolong angkat beg-beg, hmmm... Kimi sanggup pusing ikut kawasan jauh asalkan tak bertembung dengan mak kat sekolah. Dia tu rajin. Sejak dulu rajin bekerja cari duit." Eh! Sempat lagi mak mengungkit pasal perangai aku dulu-dulu.

"Yalah. Anak jantan mana boleh berkepit celah ketiak mak dua puluh empat jam. Disebabkan dia tu asyik berkepit dengan mak, kawan-kawan semua ingat dia tu..."

Aku tak jadi sambung ayat akhir tu. Nanti jadi panjang pula cerita.

"Sekali dua melawak tak apa juga. Kalau selalu sangat, panas juga telinga ni." Tapi aku menyambung juga cerita.

"Cuba kena kenen dengan Salwa, mesti Kimi seronok, kan?"

Aku tergelak kecil. Dah lama tak dengar nama Salwa. Lawa juga budak perempuan tu dulu-dulu. Paling segaklah masa di sekolah. Berebut budak lelaki hantar surat cinta. Aku terkecuali. Hati aku dah tersangkut pada gadis lain.

Tapi sekarang sejak Salwa dah bernikah dan beranak pinak nampak tua terus. Hilang sudah seri. Tak ada masa nak berdandan sebab anak berderet mungkin. Alahai... Teruk benar lakinya. Dapat isteri lawa pun tak reti nak jaga.

Aku tersenyum-senyum saat mengimbau kisah lama di sekolah. Mahal kenangan-kenangan itu semua. Tak akan berpatah balik. Di situ jugalah terselit kenangan antara aku dan Hazie. Bukan yang manis tapi yang pahit!

"Kimi." Lembut mak memanggil. Panggil ada makna tu gayanya. Macam nak sesuatu. Aku kenal sangat kalau mak tayang riak macam tu.

"Hmmm," balas aku sepatah.

"Kimi tak ada ke kawan-kawan lelaki yang bujang? Umur 30-an pun tak apa asalkan perangai baik dan kerja pun bagus. Kalau orang dekat-dekat sini lagi bagus."

Kening aku bertaut.

"Mak nak kahwin lain ka?" Saja aku bergurau. Gurau kurang ajar namanya tu. Hahaha.

"Haip. Mak dah tualah. Mak nak cari jodoh untuk orang. Ada tak?"

"Ada."

"Sapa?" Mak terus teruja ingin tahu.

"Ni. Handsome. Kerja pun okey. Perangai not bad. Tinggi. Muka nak kata Cina pun bukan... Melayu pun bukan. Limited! Mata sepet sikit tapi senyuman paling manis. Manis bukan gula. Dijamin tak potong kaki. Pendek kata, inilah calon menantu pilihan ibu-ibu mentua. Pakej lengkap dan tip top." Tanpa segan silu aku bangga memperkenalkan diri sendiri. Mak tergelak. Pandaikan aku gula-gulakan mak aku. Masuk bakul angkat sendiri.

"Kalau macam tu, kira jadilah," sahut mak penuh semangat.

"Jadi!" balasku spontan. Eh.. Kejap. Kejap!

"Jadi apa?" soal aku kalut. Hairan bila mak aku dah tersengih lebar.

"Mak ingat nak cari jodoh untuk Hazie. Kalau Kimi dah kata macam tu... Alhamdulillah. Maklah orang paling seronok. Tak payah cari yang lain dah. Kan senang kalau cakap macam ni awal-awal."

Tercekik buah.

Huk. Huk. Huk. Aku lekas mencapai botol air. Merah padam muka aku. Mujur tak arwah. Hakimi dan Hazie memang terukir cantik atas jemputan tapi sayang tak ada kimia gitu.

"Aik, baru usik sikit dah takut."

"Kimi tarik balik kata-kata tadi. Cancel," ujar aku jujur. Pinggan berisi buah tadi diletakkan kembali atas meja. Hilang selera. Terbantut. Mak aku bergurau lagi kasar bunyinya.

"La... Awat pula cancel? Mak tak nampak pun apa yang kurangnya budak Hazie tu."

"Huh, agak-agaklah mak ni pun nak cari menantu. Dia tu nampak macam mak cik-mak cik kalau berdiri di sebelah Kimi. Cuba mak tengok pakaian dia. Ikut suka main sauk warna. Tak pandai bergaya padahal dia muda lagi." Laju bibir mengarang alasan padahal di mata aku apa saja yang dia sarung semuanya tampak lawa. Orang cantik ni pakai apa pun tetap nampak cantiklah.

"Tak baik cakap macam tu. Dia bukan orang senang nak pakai baju lawa-lawa. Kita jangan tengok penampilan yang zahir nampak di mata. Cuba tengok dalaman pula. Dia tu baik budaknya. Ringan tulang menolong. Cakap dengan orang tua-tua pun lembut ja. Pandai masak pun ya. Sejak dari sekolah lagi semua cikgu senang dengan sikap dia. Untung kalau Kimi dapat dia."

"Depan mak manalah dia berani tinggikan suara. Kalau di belakang mak, huh... Macam..."

"Baguslah macam tu. Dia reti hormatkan orang lebih tua. Jaga tutur kata. Beradab." Laju aje mak aku memuji intan payung kesayangan. Masuk bab memuji Hazie, aku terus kunci mulut. Nampak tak permainan mak aku. Mulalah nak cucuk jarum kot-kot aku akan bersetuju. Patutnya mak kena tanya soalan tu dekat Hazie dulu.

"Mana pi boyfriend dia? Bukan dia duk berkawan dengan Hakimi?" Saja aku ungkit cerita lama. Wajah mak terus berubah riak. Dia ingat-ingat lupa tentang Lutfi Hakimi. Satu-satunya pelajar lelaki yang nama sama seperti aku. Sebenarnya tak sama sangat. Bunyi aje lebih kurang. Kadang-kadang guru lain pun keliru. Asal dipanggil mesti dua-dua menyahut serentak.

"Hazie ada boyfriend ke?" soal mak kembali. Dari riak itu aku pasti mak memang tak tau apa-apa cerita. Mujurlah.

"Tak pasti pula. Dia tak pernah cerita pun," lanjut mak lagi.

"Kenapa, dah break ke? Aik, dulu bukan main bercinta sakan?" soal aku lagi. Perasaan ingin tahu makin mendalam. Nak tanya direct dengan Hazie memang taklah. Mungkin mak aku tau cerita penuh. Dia kan kamceng dengan Hazie.

"Mungkin dah break. Hurm... Elok sangatlah. Padan muka!" Laju aku mengata. Geram masih berbekas dalam hati. Lekas mak menoleh memandang ke arah aku.

"Awatlah Kimi tak suka sangat dengan dia? Dia buat apa yang Kimi macam tak puas hati ni?" Mak mula memancing persoalan. Sudah lama nak bertanya mungkin tapi mak tahu aku bukan mudah nak bercerita.

Aku terkedu. Wajah Hazie bermain-main dalam fikiran. Sepatutnya aku dah lupakan tapi susah sebenarnya andai orang itu sentiasa ada dekat. Pusing-pusing akan terjumpa semula. Mungkin keadaan akan lain kalau salah seorang daripada kami berkahwin.

"Mak tau Kimi tak suka dengan dia tapi kalau ada calon yang macam mak cakap tadi, Kimi perkenalkanlah dekat Hazie. Umur macam tu dah molek sangat dah untuk menikah." Mak berterus terang. Aku tidak menjawab. Malas nak tolong carikan jodoh untuk orang. Nanti kalau jodoh tak panjang, balik-balik tukang rekemen tu kena setempek. Banyak kali dah jadi macam tu. Cari jodoh untuk Hazie, hmmm itu bukan cita-cita aku.

"Mak... Mak." Kak Ana berlari-lari anak masuk ke dalam bilik.

"Awatnya?"

"Doktor kata mak dah boleh balik esok. Bestnya!" Kak Ana memeluk mak erat.

"Aik, tadi kalut nak balik sangat sebab esok ada meeting. Pilah balik. Jangan tunggu petang-petang baru nak bertolak," gesa mak.

"Hurm... Susah hati nak tinggalkan mak sorang-sorang lagi. Kimi, kau jaga mak elok-elok tau. Bagi ubat ikut masa. Makanan kena pantang juga. Tidur kena cukup," pesan Kak Ana. Aku mencebik bibir secebik-cebiknya. Dia ingat aku kanak-kanak Ribena. Aku taulah nak jaga mak macam mana.

"Isy... Taulah orang uruskan," balas aku. Selepas Kak Ana balik nanti, tinggallah kami berdua. Dengan cuti yang masih ada itulah aku akan jaga mak. Nanti bila aku mula kembali bekerja, serabut kepala pula nak fikir tentang mak. Tentang kilang padi tu. Argh... Serabutnya!

Aku rasa nak lari ke hujung dunia!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro