Bab 14

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Aku yang baru mengangkat punggung tidak jadi bangun. Aku kembali menghenyakkan punggung di atas kerusi bila mak mendekati meja makan. Ada sesuatu terselit di bawah ketiak mak. Dengan secarik senyuman, aku yakin mak nak beri sesuatu.

"Mujur ada Hazie. Nah, pagi tadi dia singgah sini. Dia suruh mak bagi ni kat Kimi." Fail keras berwarna hitam dihulurkan kepadaku. Sengaja aku sambut lambat-lambat. Aku yakin sangat fail keramat tu ada kaitan dengan kilang. Mungkin dia nak suruh aku hafal nama pekerja-pekerja atau nama klien. Ah, boring! Bab buka dan tutup fail inilah paling aku benci sebenarnya.

Lekas aku membuka fail untuk melihat isi di dalam. Senarai nama pengusaha padi bersama-sama nombor lot tanah masing-masing. Membulat mata aku. Mak tertawa kecil.

"Penting ni. Kalau kita jaga depa... Depa akan jaga kita," kata mak.

Cepat-cepat aku mengangguk. Inilah mereka yang setia bersama arwah abah dan mak. Selepas ni aku kena raih sokongan dan kepercayaan daripada mereka pula supaya mereka tak jual padi kepada orang lain. Inilah cara untuk terus kekal dan bersaing.

"Haaa, macam tulah. Cepat anak mak belajar." Tiba-tiba mak usap rambut aku. Aku sekadar membalas dengan senyuman. Nak memulai sesuatu dari kosong memang perit dan ditambah pula hati tak ikhlas menerima, maka semuanya nampak membebankan dan terbeban. Tak sudah-sudah hati aku merungut dalam diam. Di luar sahaja aku pamer yang tenang-tenang walhal jiwa aku dah berkocak hebat nak protes.

"Mak lega Kimi dah setuju nak jaga kilang tu. Itulah kenangan dan kesenangan yang arwah abah tinggalkan untuk kita. Kimi kena jaga elok-elok. Jaga kebajikan semua pekerja. Jaga kebajikan petani. Belajar daripada Hazie," nasihat mak. Nama Hazie lagi dipetik.

Aku diam. Fikiran aku mulalah teringatkan tentang Hazie. Macam manalah aku nak berdepan dengan dia untuk hari-hari yang mendatang? Aku takut kalau aku gagal kawal perasaan. Macam mana aku nak bekerjasama dengan dia? Pasti kekok permulaan kami. Hazie, oh Hazie!

Mak selalu kata Hazie tu rajin, cepat belajar dan pandai cuma tak berpeluang sambung belajar ke peringkat lebih tinggi. Memang agak sedihlah juga tapi kisah hidup aku lagi tragis. Ada ijazah lain tapi terjun bidang lain juga akhirnya. Kalau aku tau macam ni akhirnya hidup aku jadi tauke beras, lebih baik aku tak payah-payah susah belajar. Lagi bagus aku duduk bersila sambil kira beras sebiji-sebiji! Endingnya, aku tetap bersandar di kerusi arwah abah.

"Dengar tak, Kimi?" Sapaan mak mematikan lamunan aku. Sekali lagi. Emak paling gemar tunjal bahu aku kuat-kuat kalau aku tak beri perhatian kepadanya. Makna kata, bila mak mula bercakap, aku kena tengok muka mak bersungguh-sungguh. Kedip mata pun jangan! Perangai sebagai guru itu memang sudah sebati dalam diri mak.

Aku cepat-cepat mengangguk. Next topic please! Sebenarnya aku dah mula menyampah biarpun aku belum sampai ke kilang lagi. Kadang-kadang terfikir alangkah bagusnya kalau abah belum meninggal dunia ataupun aku ada abang atau kakak yang belum berkahwin. Pasti aku tak perlu bersusah payah ambil alih jawatan abah sebagai tauke beras, bihun dan tepung! Weh, aku sikit pun tak teruja nak pi tunjuk muka di kilang tu. Aku terpaksa buat. Terpaksa!

Penat-penat aku belajar dan perah otak untuk mencapai cita-cita sebagai engineer, tiba-tiba esok aku dilabel sebagai tauke kilang Beras Haji Hanafi (M) Sdn. Bhd.. Sejujurnya, aku tak suka! Kerja macam tu tak ngam dengan jiwa aku. Memanglah aku membesar dengan duit daripada perniagaan itu tapi sungguh tak adil kalau aku seorang saja yang bertanggungjawab untuk ambil alih tugas abah. Kak Ana dan kak Izah pun kenalah terlibat sekali. Mana aci kalau semua nak hempuk atas kepala aku sorang-sorang! Esok-esok kalau kerugian, muka ni jugalah kena 'taruh' kaw-kaw.

Mampus aku nak bersilat menjaga kilang beras yang jadi kebanggaan arwah abah tu. Lagi pula, ada seramai 44 orang yang memperjudikan masa depan mereka di tangan aku. Andai aku tersalah langkah dan main-main, ibarat seperti aku menolak mereka supaya terjun dari bangunan yang tinggi.

Bermula esok, aku hanya akan singgah di kilang beras abah aje! Pula tu hari-hari terpaksa menghadap muka-muka pekerja arwah abah yang majoriti dah berumur. Yang muda pun beberapa kerat aje termasuk aku.

Hmmm, entah kenapa hati ini berat nak memulakan kerja. Sedar tak sedar, aku dah termenung jauh mengingatkan kisah lalu. Harap-harap cepatlah aku terjaga dari mimpi dengan seribu kekuatan dan semangat baru. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro