Bab 1

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Aku membelok masuk ke kawasan kilang padi milik keluarga. Suasana sepi kerana hari sudah menginjak senja. Calitan jingga jelas di kaki langit. Aku buka tingkap dan menunjukkan wajah. Pengawal keselamatan yang mungkin sudah mengenaliku itu lantas membukakan pintu pagar.

"Saya nak masuk tengok-tengok kejap. Boleh?" tanyaku. Lekas dia pun berlari-lari anak membuka pintu pejabat. Aku memarkirkan kereta bersebelahan dengan lori milik syarikat. Aku berdiri di luar memerhati segenap penjuru kawasan.

Dulu masa aku masih kecil memang aku kerap ikut arwah abah ke sini. Seronok tengok timbunan padi menggunung sebelum diproses. Bila dah makin besar, semua itu nampak biasa. Aku dah hilang teruja dan jarang-jarang aku singgah kecuali mak suruh hantarkan makanan untuk arwah abah.

Kilang ini diasaskan oleh arwah abah. Pendek kata, kilang ni akan jadi warisan turun-temurun andai aku berjaya mengemudi dengan baik. Kiranya anak-anak aku nanti akan warisi apa yang ada. Boleh dikatakan aku ni anak tauke kilang padilah bahasa mudahnya. Syarikat abah satu-satunya milik bumiputera yang berdiri kukuh di daerah ini.

Di sinilah bermulanya aktiviti membeli padi, memproses dan menjual beras. Tampak mudah tapi percayalah apa yang terhidang di mata tak sama untuk ditanggung. Arwah abah pun telah melalui pelbagai rintangan sebelum keluarga kami hidup selesa seperti sekarang. Inilah sebabnya aku takut nak ambil baton daripada mak aku. Aku tak yakin aku mampu lakukan. Semangat juang aku tak sama macam mak yang gigih menjaga amanah arwah abah.

Aku melangkah masuk ke dalam pejabat. Susun atur perabot masih yang sama. Simple sangat. Mak aku bagi tau pekerja di bahagian pengurusan tak ramai pun tetapi di bahagian pemprosesan dan penghantaran memang ramai. Aku pun tak kenal sangat staf kat sini sebab ada yang bertukar ganti. Satu-satu yang aku kenal pun cuma 'dia' tapi kami jarang-jarang bercakap.

Persekitaran ruang kerja di sini jauh beza dengan tempat aku dulu. Entah dari mana patut aku mula. Lagipun aku tak rasa penting pun nak ambil tahu sebab bukan dalam bidang aku. Tapi kini aku memang kena ambil peduli. Tak lama lagi semua akan jadi tanggungjawab aku. Jatuh atau bangun syarikat sudah terletak di atas bahuku ini. Suatu beban yang berat bagiku.

"Lama tak nampak tuan. Puan Rodziah dah sihat ke? Puan dah keluar dari hospital ke?" Pengawal tadi tunjuk mesra menyapa aku. Mesti dia dah dengar ura-ura yang mengatakan aku bakal mengambil alih perniagaan ini kelak. Aku hanya membalas dengan senyuman dan angguk kecil.

"Dah lama kerja kat sini?" Aku pula sibuk bertanya. Yalah, dia mengekor punggung aku sejak tadi. Aku nak bebas meneroka pun payah. Mungkin dia patuh dengan arahan mak aku supaya jaga kilang elok-elok. Bagus! Aku memang perlukan anak muda yang jujur bekerja.

"Baru lapan bulan, tuan. Saya ni anak arwah Jawawi. Nama saya Amir." Tersengih lebar dia memperkenalkan diri. Siapa tu? Aku gagal meneka siapa bapanya sebab aku tak kenal sangat orang-orang kampung. Kalau ada kenduri-kendara pun aku jarang memenuhi jemputan. Tambahan pula kawasan Kampung Sedaka ni luas dan penduduk pun ramai.

"Oh.. Anak pak cik Awi rupanya." Aku berpura-pura mengenali bapaknya walhal dalam kepala otak aku gagal langsung mengecam wajahnya. Dia cepat-cepat angguk. Fuh.. Nasib baik aku bijak orangnya!

"Puan Rodziah yang bagi saya kerja ni," lanjutnya lagi. Aku lekas berpusing dan tersenyum lagi.

"Bagus. Kerja rajin-rajin," ujarku.

Senyap.

"Boleh tak tinggalkan saya sendirian? Saya takkan kacau atau sentuh apa-apa. Saya cuma nak duduk sekejap di bilik mak." Akhirnya aku berterus terang. Amir terangguk-angguk dan mengundurkan langkah.

"Terima kasih, Amir," ucapku bila kakinya sudah berada di luar. Dia kembali menutup pintu. Aku menarik kerusi lalu melabuhkan punggung. Macam mana agaknya perasaan jadi tauke beras? Tak rasa apa-apa pun!

"Aduh, mak.. Macam mana Kimi nak jaga kilang ni? Rasa terbeban!" Aku menyebamkan wajah ke atas permukaan meja. Dua tiga kali juga aku hantuk dahi di meja. Saat aku panggung kepala, mataku tertancap pada satu potret yang ada di atas meja. Pantas aku mencapai. Dalam banyak-banyak gambar kenapalah gambar yang ini jadi pilihan? Gambar yang merakam senyuman lebar di wajah arwah abah dan mak. Di depannya ada dua kanak-kanak perempuan duduk bersimpuh. Aku? Aku yang duduk di atas riba mak. Kecil lagi aku masa ni.

Senyuman arwah abah yang melebar tu dah lebih setahun aku tak lihat dah. Bila orang itu telah meninggalkan kita, hanya kenangan macam inilah yang mampu mengusik jiwa. Kalaulah dalam foto ni aku ada abang, pasti dialah yang jadi penyelamat aku sekarang.

Mataku meliar pandang keliling. Rupa-rupanya tiada satu pun yang mak ubah. Semuanya masih sama seperti masa arwah abah ada. Radio lama arwah abah masih elok tersimpan di suatu sudut. Mungkin ini cara mak nak ingat kepada arwah abah selalu.

Allah.. Hati aku terus rasa sayu. Aku rindukan dia. Sangat-sangat rindu!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro