Bab 9

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

GULAI ayam kampung sedang menggelegak di atas dapur. Baunya sudah semerbak dibawa angin. Tiada yang lebih sedap dan enak selain daripada menikmati masakan di rumah, hasil dari ternakan dan tanaman sendiri.

Marjaan menggoreng sayur kangkung bercampur belacan. Beberapa kali dia terbersin, kepedasan dari cili padi yang bercampur baur dengan belacan menerbitkan aroma yang mengujakan. Mak Busu turut menggoreng pekasam ikan puyu, dicampur dengan bawang goreng dan cili. Semua diletakkan di atas meja makan dapur. Nasi sudah ditanak, seperiuk sederhana besar. Cukup untuk dimakan berlima orang, begitulah mengikut perkiraan Marjaan.

"Nak masak apa lagi, Mak Busu?" tanya Marjaan.

"Sediakan ulam sahaja lagi."

"Kacang botor?"

Mak Busu mengangguk. Marjaan mengambil kacang botor yang disimpan di dalam peti sejuk. Melihat kacang botor yang segar, baru dipetik di kebun Mak Busu pagi tadi, Marjaan tersenyum sendiri. Secara automatik dia teringat ulam itulah yang jadi pilihan Nawfal Husaini. Marjaan membentang saperah putih di tengah rumah. Rumah babah tidak ada kerusi dan meja makan, tiada sofa mahal. Ruang tamu dibiarkan kosong, hanya dibentangkan dengan dua bidang permaidani yang sederhana tebal dan tidak begitu mahal. Di satu sudut anjung, ada ruang untuk babah gunakan sebagai tempat solat. Ada rak buku rendah untuk meletakkan al-Quran serta rehal yang terletak di atasnya. Ada juga sejadah yang digantung pada ampaian kayu.

Ketika ingin beredar ke dapur, Marjaan terdengar orang memberi salam. Dia segera bangun lalu terus menuju ke pintu hadapan yang bertutup rapat. Marjaan membukanya dengan agak rakus.

"Assalamualaikum," tegur Nawfal Husaini.

"Waalaikumussalam, ustaz."

Nawfal Husaini membuka sandal dan terus menapak naik. Marjaan ingin beredar untuk memanggil Ustaz Hanafi yang berada di dalam bilik namun Nawfal Husaini menahannya.

"Marjaan! Sekejap."

Marjaan berdiri di tepi pintu, menunggu. Sementara Nawfal Husaini pula tercegat di atas lantai beranda.

"Uridu an attahadathu illaik."

"Haul ma ya, ustaz?"

"Errr..."

Tiba-tiba dia tergagap sedikit, hilang kata-kata. Ketika itu juga Ustaz Hanafi sudah pun muncul dan berada di belakang Marjaan.

"Ustaz dah sampai? Masuklah," pelawa Ustaz Hanafi.

Marjaan terus berlalu ke dapur. Mak Busu menatang mangkuk gulai ayam yang masih panas ke ruang tengah. Dia menyusun semua hidangan di atas saperah yang dibentang Marjaan. Lauk-pauk dan ulam-ulaman disusun teratur. Pinggan nasi, nasi tambah dan minuman juga sudah disiapkan.

"Jom kita masuk. Biar orang lelaki makan dahulu," kata Mak Busu sambil menarik Marjaan menghala ke dapur.

Begitulah adat Melayu menghormati tetamu dan orang yang lebih tua. Biarkan mereka makan terlebih dahulu barulah tuan rumah menikmati hidangan pula.

"Busu belum solat lagi ni."

"Jaan pun belum solat juga, Mak Busu."

"Jom kita solat," ajak Mak Busu sambil bangun.

"Kuali dan periuk belanga di dalam singki tu biarkan sahaja dahulu. Nanti selepas selesai mereka makan, kita cuci sama-sama."

"Jaan solat di bilik Mak Busulah. Nak masuk ke bilik Jaan kena lalu ruang tengah tu. Segan pula," kata Marjaan.

Ketika itu dia terdengar suara Ustaz Wadie di muka pintu. Lelaki itu baru sampai. Ustaz Hanafi menyambutnya di muka pintu. Hmmm, dah sampai dah ustaz mata kuyu tu. Terkadang rasa terganggu juga dengan cara Ustaz Wadie memandangnya. Dahlah mata tu macam orang mengantuk, kutuk Marjaan.

Spontan pula dia teringat Nawfal Husaini ingin menyatakan sesuatu dengannya tetapi tidak jadi. Apakah agaknya? soal Marjaan sendiri.

Selepas selesai mengerjakan solat zohor, mereka berdua duduk di tubir katil sambil menunggu Ustaz Hanafi selesai makan. Ketiga-tiga lelaki itu masih makan sambil berbual rancak diselangi dengan ketawa.

"Mak Busu... Mak Busu pernah jatuh, kan? Pernah bercinta masa muda-muda dulu. Apakah tandanya orang tu dah jatuh cinta, Mak Busu? Boleh cerita tak?"

"Ehhh... Engkau tanya macam tu kenapa?" tanya Mak Busu pura-pura marah.

"Apa salahnya tanya? Kan Jaan dah umur sembilan belas tahun ni."

"Hmmm, tanda-tandanya..." Mak Busu seperti berfikir sejenak.

"Kau akan selalu teringatkan dia dan asyik fikirkan dia saja. Macam dalam kepala otak kau ni penuh dengan nama dia."

"Ya ke, Mak Busu? Lagi?"

"Kalau kau jumpa dia, berdebar tu macam nak tercabut jantung. Dengar nama dia pun kau dah berdebar tak ingat. Pandang dari jauh pun dah puas hati."

"Lagi Mak Busu?" soal Marjaan. Wajahnya benar-benar teruja.

"Kalau tak jumpa sehari, kau akan rindu gila. Kalau dah jumpa, rasa nak jumpa lagi... Tak nak berpisah, seminit pun."

"Ehhh... Betullah, Mak Busu. Lagi Mak Busu?"

Mak Busu merenung muka Marjaan. Berkerut dahinya.

"Kau ni, dah jatuh cinta ke?" sergah Mak Busu.

"Ingat sikit kau tu masih belajar lagi!"

Marjaan terdiam. Hilang terus keterujaannya.

"Ala... Mak Busu, Jaan tanya aje. Tahulah Jaan masih belajar. Tapi... Belajar bahasa Arab ni susah, Mak Busu. Nak menghafal segala macam kitab, tauhid, fiqah, hadis. Jem kepala otak."

"Jaan dah boleh cakap Arab?"

"Bolehlah sikit, Mak Busu," jawab Marjaan.

"Tu semua ilmu dunia akhirat, Jaan. Jangan sesekali putus asa dalam menimba ilmu. Niatkan segalanya kerana Allah. Mohon dia permudahkan segala-galanya."

Marjaan mengangguk. Dia tersenyum sambil memeluk emak saudaranya itu.

"Jaan happy sangat Mak Busu duduk dengan kami di sini," kata Marjaan sambil mencium pipi Mak Busu.

Mak Busu tersenyum senang. Dia gembira disayangi anak saudaranya itu. Mak Busu juga ikhlas menyayangi Marjaan kerana dia tidak pernah punya anak dari rahimnya sendiri.

USTAZ WADIE memerhati sahaja lelaki itu berjalan perlahan meninggalkan pekarangan rumah Ustaz Hanafi. Sementara dia masih lagi duduk di beranda dengan ditemani tuan rumah. Ada kopi mengiringi setelah selesainya makan tengah hari.

Sekali-sekala mata Ustaz Wadie membelingas ke dalam rumah mencari kelibat Marjaan. Hati dibungai kekesalan tatkala melihat Mak Busu yang berbadan rendang tapi berwajah manis dengan kulit putih melepak membawa dulang berisi seteko kopi bujang berserta dua biji cawan.

"Tak ada kuih, Su?" tanya Ustaz Hanafi pada adik bongsunya itu.

"Tak ada, Abang Napi. Tak sempat buat. Padahal ada keledek dan ubi kayu yang dibawa dari kampung," beritahu Mak Busu sambil tersenyum dan meletakkan cawan kopi di hadapan kedua-dua lelaki itu. Kemudian dia meminta diri untuk masuk.

"Terima kasih sebab ustaz percayakan ana untuk jadi penolong ustaz. Ana hargai dan ana akan pikul tanggungjawab ini dengan sebaik-baiknya," kata Ustaz Wadie sambil merenung kopi yang masih belum luak di hadapannya.

Ustaz Hanafi mengangguk.

"Lima tahun dulu, sekolah ini hanya ada beberapa orang ustaz dan ustazah. Masa itu anta sudah pun bersama dengan ana. Semasa Ustaz Sheikh Hadi masih bersama dengan kita mentadbir sekolah, dia menjadi mudir yang sangat disegani. Ana sebagai pemangkunya. Tapi selepas dia meninggalkan sekolah dan ana menjadi mudir, ana fikir ana mampu untuk mentadbir sekolah ini sendirian, tak perlu ada pemangku ataupun penolong. Tetapi setelah memikirkan kesibukan ana dengan program ceramah di negeri Kelantan dan di luar sana, ana akan kerap meninggalkan sekolah. Jadi, masa itulah ana fikir, ana perlu lantik seseorang. Dan jawatan itu sesuai dengan anta."

"Tapi kalau diikutkan senioriti, Ustaz Mansor lebih senior dan berpengalaman daripada ana sendiri."

"Betul, tapi Ustaz Mansor ada masalah kesihatan. Ana tak mahu membebankan dia dengan kerja-kerja sekolah serta masalah pelajar. Bukan itu sahaja, lain-lain masalah turut membelenggu."

"Sekolah ada masalah?" tanya Ustaz Wadie dengan dahi berkerut.

Ustaz Hanafi mengeluh kemudian berkata; "Esok dalam mesyuarat, hal ini akan kita bincangkan bersama. Minumlah, ustaz," pelawanya sambil tersenyum kecil.

Ustaz Hanafi mengambil keputusan untuk tidak membincangkan hal itu di rumah. Hal sekolah biarkan diselesaikan di sekolah.

"Ibu bapa ana teringin hendak melawat sekolah. Kata bapa ana, dia ingin menyumbang untuk sekolah dalam jumlah yang agak banyak."

Ustaz Hanafi mengangguk.

"Alhamdulillah. Memang sekolah memerlukan dana yang banyak untuk memastikan semuanya berjalan lancar. Sekolah kita tidak mengambil yuran yang berlebihan daripada para pelajar yang kurang mampu. Malah ada yang langsung tidak membayar yuran. Mereka yang berasal dari keluarga yang susah, kita pertimbangkan untuk mendapat pendidikan secara percuma hingga tamat tingkatan enam. Justeru itu setiap sumbangan amat dialu-alukan."

Ustaz Wadie mencapai cawan dan mula minum perlahan-lahan. Sebenarnya dia tidak punya idea untuk berbicara lebih lanjut dengan lelaki di hadapannya itu. Dia amat menghormati Ustaz Hanafi sebagai ketua dan juga mentor.

Selepas seketika apabila hanya angin kering dan kosong yang lewat antara mereka, tanpa diselangi perbualan lagi, Ustaz Wadie meminta diri. Namun sebelum menuruni tangga, dia berkata pada Ustaz Hanafi; "Jika tiada halangan, minggu hadapan ibu bapa ana akan datang melawat sekolah."

"Baiklah." Ustaz Hanafi mengangguk.

"Kita akan buat persiapan untuk menyambut kedatangan YB Dato Mukmin dan Datin Noraihan ke sekolah."

"Jangan. Tak perlu buat apa-apa persiapan," kata Ustaz Wadie.

"Bapa ana kata, anggap saja ini sebagai kunjungan kekeluargaan."

"Oh, begitu." Dahi Ustaz Hanafi berkerut sedikit.

"Ya. Sebenarnya ibu bapa ana ingin mengunjungi rumah ustaz dan bukannya sekolah."

"Baik."

Ustaz Hanafi mengangguk, menghantar kepulangan Ustaz Wadie dengan pandangan yang jernih dan di bibirnya ada senyuman. Nampaknya Busu akan sibuk memasak lagi minggu hadapan untuk menerima tetamu, bisik hatinya sendiri.

PANAS matahari begitu terik membakar bumi. Namun suasana di sepanjang jalan itu redup, dengan pokok-pokok besar yang mengelilingi. Angin sesekali bertiup, memberi kenyamanan dan keselesaan kepada insan yang sedang berjalan sendirian menghala ke satu arah.

Hidup ini adalah satu perjalanan. Jikalau dalam ilmu tauhid perjalanan itu disebut sebagai tarikat iaitu perjalanan mendekatkan diri dan berhubungan dengan Allah. Dia sedar, sepanjang usianya yang sudah hampir mencapai tiga puluh tahun, dia sentiasa mencari jalan tarikat dan sentiasa berusaha untuk taqarrub. Namun kebelakangan ini dia bagaikan tergelincir sedikit daripada landasan semata-mata kerana sebutir permata. Permata yang menyilaukan mata, yang mulai menggugat iman dan takwanya kepada Yang Maha Esa.

Dia teringat pada satu kata-kata; Wahai hamba! Jika kamu mampu melepaskan diri dari cita-cita dan kepentingan dunia, lakukanlah dengan sebaik-baiknya. Jika tidak, segeralah kamu bergantung kepada Allah Subhanahuwa Taala, mengharap curahan rahmat-Nya sehingga kamu terlepas daripada kedukaan dunia.

Astaghfirullah... bisiknya sendiri. Mujurlah aku cepat tersedar daripada godaan-godaan dunia fana yang berat dan besar. Salah satu daripada godaan itu ialah perempuan. Bukankah di akhirat sudah dijanjikan kekasih, seorang bidadari yang suci lagi rupawan? Mengapa aku harus mengharap pada seseorang? soal hatinya sendiri.

Diam-diam dia bersyukur lantaran tidak terlepasnya ungkapan kata yang berlandas nafsu cinta terhadap Marjaan tadi. Dia bersyukur dengan kemunculan Ustaz Hanafi, dia tidak sempat menyerahkan kepada Marjaan untuk memiliki sesuatu yang bukan miliknya meskipun hati itu terletak jauh di dalam dirinya. Hatinya milik Allah. Tubuhnya milik Allah... Segalanya milik Allah. Justeru itu dia tidak seharusnya memberikan hati dan jiwa kepada sesiapa. Cinta Allah itu jauh lebih bermakna daripada cinta manusia.

"Ustaz! Ustaz mahu ke mana?" Seorang pelajar lelaki mengejarnya dari belakang.

Dia berhenti melangkah. Sudah jauh rupa-rupanya dia berjalan. Dia tidak sedar, kawasan sekolah sudah jauh ditinggalkan. Begitu juga pondok tempat tinggalnya dan pelajar-pelajar lain sudah pun jauh di belakang. Kini dia berada di tepi denai menghala ke hutan.

"Oh... Shafiq! Ana hanya ingin berjalan-jalan untuk mengambil angin." Dia melepaskan keluhan lembut dan perlahan.

"Agaknya ustaz lupa, petang ni ada kelas tambahan," beritahu ketua kelas tingkatan lima itu.

"Pelajar-pelajar ustaz sudah menunggu," beritahu Shafiq lagi sambil memandang tepat ke wajah gurunya.

"Sudah pukul tiga rupa-rupanya..." kata Nawfal Husaini sambil melihat jam di pergelangan tangannya.

"Baik, ayuhlah!" katanya sambil berpatah balik ke belakang dengan diiringi pelajarnya tadi.

Berdirilah di pintu-Nya lalu memohon kepada-Nya agar hatimu yang mulai kotor dengan daki dunia segera dibersihkan. Penuhi hati dengan keimanan dan jauhilah manusia, terutamanya makhluk bernama perempuan kerana di sanalah bermula satu perkataan yang sangat ditakuti, iaitu dosa. Apabila sudah terpalit dosa, segeralah memohon keampunan.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro