Bab 6

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

MARJAAN menyambut kedatangan Atillya dan Zahra di muka pintu utama. Mereka berpelukan mesra, tertawa tanpa sebab kemudian saling melompat riang seperti anak kecil dibawa ke taman permainan.

"Wehhh... Rindunya aku kat kau orang berdua!" kata Marjaan dengan suara yang agak kuat.

"Kami pun rindukan kau. Memang tak bestlah sejak kau tak ada di KL."

"Dua minggu cuti ni... kita nak buat apa?" tanya Atillya separuh berbisik.

"Dahlah rancangan nak jalan-jalan di Kota Bharu tak jadi. Siapa hantar kau balik?"

"Ayah aku," jawab Marjaan lemah. "Tapi kau nak dengar tak cerita pasal ustaz aku?"

"Ustaz kau? Apa cerita ustaz kau tu? Dia ajak kau keluar dating?" tanya Zahra tidak sabar.

"Merepeklah. Tak mungkinlah dia akan ajak perempuan keluar. Alim gila kut!"

"Yang penting, ustaz tu handsome ke tak? Bujang lagi?"

Marjaan hanya mengangkat bahu.

"Jom masuk bilik akulah. Kita borak kat atas," kata Marjaan.

"Okey," balas Zahra dan Atillya hampir serentak.

"Tapi sebelum tu jawablah dulu, ustaz kau tu dah kahwin ke belum?" Zahra masih mendesak ingin tahu.

"Entah, aku rasa belum. Kalau kau boleh memilih, kau nak yang handsome tapi kuat membebel, bersyarah ataupun kau nak yang tak berapa nak handsome tapi baik hati, sweet talker?" soal Marjaan sambil tersengih.

"Alaaa..." Zahra tidak puas hati kerana tidak mendapat jawapan yang diingini.

Sebelum mereka bertiga bergerak naik, Puan Mahani turun terlebih dahulu dari tingkat atas. Dia memerhati wajah ketiga-tiga remaja itu yang kelihatan begitu ceria.

"Apa yang riuh-riuh ni?" tanya wanita yang bergaya elegan itu.

"Mama! Atillya dan Zahra datang ni."

Puan Mahani memandang sahaja wajah Atillya dan Zahra silih berganti. Matanya menelanjangi seluruh wajah dan tubuh mereka. Atillya mengenakan seluar jean ketat paras lutut dan baju T senteng. Rambutnya yang pendek diwarnakan perang. Sementara Zahra memakai pakaian yang lebih sopan, skirt kembang warna biru laut dan blaus putih lengan panjang.

Dia tidak sangka Marjaan masih berhubung dengan rakan-rakannya di Kuala Lumpur. Sebaik pulang sahaja, mereka terus mengunjunginya. Puan Mahani tidak suka kerana tahu kedua-dua anak itu agak liar.

"Mama nak pergi butik. Kau jangan pergi ke mana-mana. Nanti merayap tengah malam baru balik," tegas Puan Mahani mengingatkan Marjaan.

"Taklah, mama... Jaan akan duduk di rumah saja sepanjang hari ni. Kita orang akan lepak di bilik. Tak pergi mana-mana," jawab Marjaan sambil mengajak teman-temannya naik ke tingkat atas.

Zahra dan Atillya masuk ke kamar tidur Marjaan. Kamar itu besar dan lengkap segalanya. Ada katil bersaiz queen yang ditutupi cadar beropol warna pink. Di satu sudut terletak meja tulis dan kerusi. Ada juga sofa tunggal warna merah di tepi tingkap. Televisyen terletak di satu sudut lain. Kamar itu bagai syurga bagi Marjaan jika dibandingkan dengan bilik kecilnya di rumah babah.

Zahra mencampakkan tubuh ke atas katil Marjaan yang empuk. Tubuhnya mendarat damai di situ. Dia terus baring telentang merenung siling putih bersih. Atillya pula berdiri di tepi tingkap memerhati ke bawah. Dilihatnya kereta Puan Mahani bergerak keluar dari ruang porch menghala ke luar.

"Mama kau macam tak suka aje kami datang," kata Atillya sambil berpaling pada Marjaan yang sudah pun duduk di atas katil, di samping Zahra. Atillya duduk di sofa bersayap berdekatan tingkap.

"Tak adalah, mama aku memang serius tapi dia baik. Babah aku walaupun dia mesra dan suka bergurau tapi dia tegas," kata Marjaan.

"Jadi, siapa yang kau lebih sayang, antara mama dan babah kau?"

Marjaan diam sejenak. Kemudian dia menjawab; "Aku sayang dua-dua."

"Berapa lama agaknya kau akan bersekolah di tempat jin bertendang tu?"

"Aku pun tak pasti. Kalau ikutkan pengajian agama ni sememangnya lama. Bukan setahun dua. Kalau lulus ujian dan imtihan, boleh melanjutkan pelajaran hingga ke Mesir."

"Kenapa Mesir selalu jadi pilihan, ya? Macam tak ada tempat lain dah," kata Zahra.

"Kau ni betul-betul nak belajar agama hingga jadi ustazah ke?" tanya Atillya pula.

Berkerut dahinya. Cepat betul Marjaan berubah. Baru tiga bulan dia berada di sekolah agama pondok itu, sudah ada cita-cita ingin melanjutkan pelajaran ke Mesir.

"Entahlah, aku pun tak tahu. Baru tiga bulan kut, aku kat sana... Belajar pun entah apa-apa. Pelik juga aku boleh lulus ujian semester baru-baru ni," beritahu Marjaan.

"Ah, ini misteri yang best untuk dirungkai. Ada ustaz minat kat kau kut? Ustaz yang kau kata orang Kuala Lumpur tu... Apa namanya?"

"Nawfal Husaini," kata Marjaan.

"Jaan, kau tak takut ke belajar lama-lama kat situ? Aku dengar budak-budak perempuan yang belajar sekolah pondok ni akan dipaksa kahwin tau! Dengan ustaz dia oranglah... Kalau ustaz-ustaz tu muda belia tak apalah. Ni ustaz dah tua... Dah ada isteri. Silap-silap jadi isteri nombor tiga atau nombor empat. Makan tak habislah kau," kata Atillya.

"Kau jangan nak mengarut! Aku tak pernah dengar lagi budak-budak perempuan kat sekolah tu dipaksa kahwin. Hal pelajaran dengan perkahwinan ni lain tau!" bantah Marjaan.

"Tapi kau jaga-jagalah sikit." Atillya mengingatkan.

"Eh, ustaz kau tu... Nawfal Husaini, bujang lagi tak?" tanya Zahra masih ingin berbicara tentang Nawfal Husaini. Tak habis-habis lagi bertanya tentang ustaz muda itu.

"Hmmm, bujanglah. Handsome pulak tu. Muka macam Arab sikit. Pakai serban, ada janggut dan jambang. Kemas."

"What? Pakai serban?" Atillya dan Zahra serentak terkejut hingga mata mereka terbeliak. Kemudian mereka sama-sama gelak berguling-guling.

"Kau minat ke lelaki pakai serban dan jubah bagai ni? Cepat nau-nau berubah selera kau ni!" kata Atillya selepas ketawanya reda.

"Untuk pengetahuan kau orang, semua orang lelaki kat sekolah tu pakai jubah dan serban. Perempuan pulak berhijab dan berniqab, nampak mata aje dua bijik. Okey?"

"Kau pun pakai macam tu?" Atillya terkejut sekali lagi.

Marjaan mengangguk.

"Matilah kalau kena kat aku pakai hijab dan niqab," kata Atillya sambil mengangkat bahu.

"Jadi, malam ni kau tak nak ikut kami pergi parti? Malam ni malam minggu," kata Zahra pula.

Marjaan menggeleng.

"Kau tak dengar apa yang mama aku cakap tadi? Dia tak bagi aku pergi mana-mana."

"Keluar aje senyap-senyap, buat apa beritahu dia?" kata Atillya.

"Malam ni kita keluar. Aku jemput kau pukul sepuluh malam. Aku dah ada lesen. Ayah aku baru belikan kereta untuk aku," kata Atillya lagi.

Marjaan membelalakkan matanya, sedikit terkejut.

"Betul ni? Tak perlu lagi panggil Grab?"

Atillya tersenyum bangga sambil menggoyangkan kunci keretanya di hadapan muka Marjaan. Kemudian mereka bertiga tertawa serentak.

PUAN MAHANI menjenguk ke kamar tidur Marjaan sekitar jam sembilan malam. Dia tersenyum melihat gadis itu sedang meniarap di atas katil sambil membaca novel.

"Jaan baca novel apa?"

"Novel kisah cinta, mama," jawab Marjaan sambil tersenyum.

"Wah, anak mama dah nak belajar bercinta ke ni? Ada sesiapa di sana yang mula memikat hati Jaan?" tanya Puan Mahani, sekadar mengusik.

Dia masuk lalu duduk di tepi katil Marjaan. Gadis itu menutup novel di tangannya, duduk di hadapan Puan Mahani. Wanita itu pulang dari butik. Dia masih memakai baju yang sama yang dipakainya pagi tadi.

"Tak adalah, mama. Jaan bosan. Jadi Jaan bacalah novel yang Jaan jumpa kat perpustakaan di bawah tu. Tak tahu novel ni siapa yang beli," kata Marjaan.

"Kalau Jaan bosan, datang ajelah ke butik mama. Boleh tolong apa yang patut." Puan Mahani menyarankan.

"Kan cuti lama juga, dua minggu. Takkan nak terperuk sahaja di rumah?"

Marjaan diam. Di dalam kepalanya sudah merancang pelbagai hal yang akan dilakukan dengan Atillya dan Zahra tanpa pengetahuan mamanya.

"Tengoklah dulu macam mana." Akhirnya Marjaan membuat keputusan walaupun bukan dengan sepenuh hati. Dia tidak akan pergi ke butik mamanya.

"Okeylah, mama penat. Mama nak mandi dan tidur. Jaan jangan tidur lewat sangat nanti."

"Ya, mama."

Puan Mahani berlalu keluar dari bilik Marjaan. Sebaik sahaja ibunya keluar, Marjaan terus melompat dari katil. Dia berjalan menghala ke almari lalu pintunya dibuka. Dia memilih pakaian. Seluar jean ketat dan blaus dipakai. Dia bergerak pula ke meja solek. Cermin besar itu memantulkan wajahnya yang tidak berbedak. Dia pantas menyikat rambut yang terhurai panjang. Wajah disolek dengan sempurna. Bibir dicalit lipstik berwarna merah muda.

Dia berpusing-pusing di hadapan cermin melihat gayanya sendiri. Dia senyum puas.

Saat itu terdengar telefon bimbitnya berbunyi. Ada mesej daripada Atillya. Mereka sudah pun menunggunya di tepi jalan tidak jauh dari rumah banglo Puan Mahani.

Okey, kejap lagi aku keluar. Aku nak pastikan mama aku dah tidur.

Marjaan pantas menjawab pesanan ringkas daripada Atillya.

Marjaan terjengket-jengket keluar dari bilik tidurnya. Dia mengintai di tepi pintu bilik Puan Mahani. Bilik wanita itu gelap dan sunyi. Puan Mahani keletihan sepanjang hari di butik. Tidurnya menjadi mudah dan cepat. Marjaan bergerak turun ke tingkat bawah, seterusnya menghala ke pintu hadapan. Dia separuh berlari keluar menuju ke pagar rumah. Dari jauh dia nampak sebuah kereta tercatuk di tepi jalan. Dia yakin itu ialah kereta Atillya.

Tidak lama kemudian kereta yang dipandu Atillya bergerak keluar dari taman perumahan itu menghala ke ibu kota. Mereka pergi ke parti yang diadakan di rumah Andy, teman lelaki Atillya.

"Ni rumah kawan Andy," kata Atillya.

Malam itu diadakan parti hari jadi di rumah Andy. Rumahnya besar dan tersergam indah di pinggir kota. Dari luar sudah terdengar bunyi muzik dan suasana meriah.

Rumah itu agak sesak dan padat, kebanyakan orang muda lelaki dan perempuan. Ada yang menari terkinja-kinja di tengah-tengah ruang dan ada yang duduk sahaja sambil minum dan melihat gelagat orang. Muzik bergema menggamatkan suasana, tidak pernah berhenti.

Marjaan, Atillya dan Zahra bergembira bagaikan dunia ini kekal tidak akan adanya hari kiamat. Padahal di sekolah, Marjaan sudah diingatkan berkali-kali tentang kiamat. Namun begitu cepatnya dia lupa apabila tenggelam dalam keseronokan. Masa yang beredar langsung tidak disedari.

"Eh, dah pukul berapa ni? Kita baliklah!" ajak Marjaan pada Zahra.

"Kau nampak Atillya?" tanya Marjaan sambil mata melilau mencari temannya itu.

"Aku lupa nak beritahu kau, Atillya tadi dah ikut boyfriend dia pergi mana entah."

"Jadi, kita ni nak balik naik apa?" tanya Marjaan.

"Tadi dia kata akan datang ke sini semula untuk ambik kita," kata Zahra.

"Jomlah kita duduk luar. Rimas aku dalam ni. Dahlah panas... Berpeluh-peluh. Lejut dah baju aku."

Kedua-dua gadis itu keluar dari rumah besar itu. Suasana di luar agak sejuk. Malam kian larut. Embun jantan sudah pun menitis, memerangkap udara dalam kedinginan. Marjaan merasa nyaman. Mereka berdua menapak hingga ke tepian jalan. Suasana di kawasan perumahan itu mulai sepi. Kebanyakan rumah banglo besar di situ kelihatan gelap. Hanya rumah Andy sahaja yang masih terang benderang dan suara orang masih terdengar dari kejauhan.

"Aku nak call Grab. Dah dekat pukul dua pagi," kata Marjaan.

Zahra sekadar mengangguk.

Marjaan cuba menghubungi Grab tetapi Grab tiada yang kosong. Lebih-lebih lagi sudah menjelang dinihari begini. Agak susah untuk mendapatkan perkhidmatan kereta sewa. Mereka terpaksa menunggu. Namun setengah jam kemudian, Grab yang ditunggu-tunggu belum juga sampai.

Tidak jauh dari tempat mereka duduk menunggu Grab, muncul beberapa orang lelaki. Mereka datang mendekati Zahra dan Marjaan. Dari gaya mereka, Marjaan tahu mereka semua mabuk setelah meneguk air setan.

"Hai, cik adik manis! Nak pergi mana? Marilah kami temankan."

Zahra dan Marjaan serentak bangun lalu terus berjalan laju meninggalkan tempat itu. Empat orang jejaka itu mengekori Marjaan dan Zahra dari belakang sambil memanggil dan merayu. Marjaan benar-benar takut. Jalan yang mereka lalui semakin sunyi dan agak jauh dari kawasan perumahan. Jalan raya di hadapan mereka kelihatan lengang. Hanya lampu jalan yang menerangi suasana.

"Aku takutlah. Dia orang tu masih ikut kita."

"Aku pun takut. Apa nak buat ni?" tanya Marjaan.

Tiba-tiba Marjaan teringat seseorang. Segera dia menekan punat telefon lalu menghubungi lelaki itu.

"Ustaz! Tolong... Tolong kami!"

"Marjaan? Kenapa?" Suara Nawfal Husaini terdengar cemas.

"Boleh tak ustaz tolong hantar saya dan kawan saya balik?"

"Marjaan! Anti kat mana?" Semakin cemas suara Nawfal Husaini.

SEPANJANG perjalanan pulang, Marjaan membisu seribu bahasa. Nawfal Husaini juga diam, melarikan keretanya di jalan yang lengang itu. Marjaan duduk tenang di tempat duduk belakang bersama Zahra. Zahra sudah pun terlelap biarpun baru sahaja masuk ke dalam kereta Nawfal Husaini. Terdengar dengkuran halus. Mulut gadis itu kelihatan ternganga sedikit.

Marjaan tidak berani hendak tidur. Hati dilamun bimbang. Bagaimana jikalau dia tertidur dengan mulut terbuka seperti kerbau menguap? Buruk! Dia tidak mahu kelihatan buruk di hadapan ustaznya itu.

Nawfal Husaini datang ke tempat itu tadi dengan pantas. Lelaki itu melarikan keretanya seperti ribut. Dia begitu bimbangkan keselamatan Marjaan. Malah dia tidak sempat hendak mengikat serban. Dia datang dengan rambut yang tidak bersikat. Rambutnya pendek dan kemas, tidak perlu dia risau. Rambutnya tidak akan serabai seperti rumput-rumput liar.

Nawfal Husaini baru terjaga daripada tidur semasa panggilan daripada Marjaan masuk ke telefon bimbitnya. Memang sudah menjadi amalan dia akan bangun sekitar jam tiga ataupun empat pagi. Mendengar suara Marjaan yang separuh menangis itu membuatkan dia segera mencapai kunci kereta dan berlalu keluar.

Nawfal Husaini tidak mahu memberikan sebarang komen. Malah dia tidak memandang pun ke wajah Marjaan yang bersolek tebal. Dia langsung tidak memberi sebarang komen pada rambut Marjaan yang dibiarkan lepas bebas.

Setibanya di hadapan rumah Puan Mahani, dia menurunkan Marjaan dan Zahra.

"Terima kasih, ustaz," ucap Marjaan.

Ucapan itu dibalas dengan anggukan. Dia terus berlalu pergi.

"Ustaz ni macam marah aje, kenapa?" soal Marjaan sendiri.

PEREMPUAN

Selembut kelopak bunga

aku memahami perasaanmu, Jaan

sederas angin terhempas di pantai

usah kelopak, tangkai tak patah

terasa damai dicintai

bagai mimpi bertukar nyata

bayangkan kau air anggur

aku lemas setelah meneguk

walau di gelas pecah.

Yatim Ahmad

Putatan, Sabah.

SEPAGI ini Nawfal Husaini ralit duduk di kerusi tempawan, di hujung beranda sambil memerhati bunga-bunga mawar ibunya yang sedang mekar. Mawar pelbagai warna itu kelihatan berkembang indah dititis embun pagi.

Haruman dari bunga mawar itu dibawa angin lalu hinggap di deria baunya. Ada kelopak mawar yang gugur berselerakan di lantai beranda. Nawfal Husaini memerhati semua itu dengan rasa kagum atas ciptaan Allah Azzawajalla. Ingatannya terus berlari ke peristiwa malam tadi. Dia teringat Marjaan menangis ketakutan kerana diganggu pemuda-pemuda nakal dan mabuk. Dia sedar, Marjaan masih tidak berubah. Ustaz Hanafi pernah menceritakan kebimbangannya terhadap Marjaan.

Tiga bulan masih terlalu awal untuk seseorang itu berubah sepenuhnya... fikir Nawfal Husaini. Namun dia percaya, Marjaan pasti akan berubah setelah dia menjadi sedikit dewasa. Gadis itu masih berada di antara garisan usia remaja menuju kedewasaan. Usia yang sedang ranum benar.

"Hai, Nawfal... Lamanya kau bermenung di sini. Apa yang difikirkan?" tegur Puan Siti Adura sambil duduk di sebelah anak lelakinya itu.

"Tak ada apa-apa, umi. Hanya fikirkan tentang kegiatan di sekolah. Saya akan balik ke sana seminggu lebih awal. Ada program camping dan mendaki gunung."

"Ingatkan kau fikirkan tentang..." Kata-kata Puan Siti Adura sengaja dibiarkan tergantung.

"Tentang apa, umi?"

"Tentang jodoh. Kau tu dah berumur tiga puluh dah tahun ni. Bila agaknya kau akan memikirkan soal jodoh? Kalau kau tak ada calon, biar umi cari. Serah pada umi."

Nawfal Husaini menggeleng.

"Tak, umi. Jangan. Belum masanya lagi. Jodoh akan sampai juga nanti. Semuanya Allah dah tentukan," jawab Nawfal Husaini dengan tertib, bimbang melukai hati uminya.

Puan Siti Adura tidak berkata apa-apa lagi. Dia tidak mahu mendesak Nawfal Husaini agar menuruti kehendaknya.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro