Bab 3

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

"PUAN, ana perlukan penjelasan puan mengenai akaun ni," kata Ustaz Hanafi sambil membentangkan fail di atas mejanya. Dia sengaja memanggil Azimah ke biliknya untuk berbincang perkara yang menjadi kemusykilan.

"Apa maksud ustaz?" tanya Azimah.

Dia memerhati timbunan kertas di hadapannya lalu membelek-belek dengan tekun. Ustaz Hanafi diam sahaja dan memerhati aksi wanita yang mengenakan tudung labuh hingga ke punggung serta jubah hitam yang juga labuh menutupi seluruh tubuhnya yang agak gempal.

"Akaun ni tak sama seperti yang lepas-lepas. Ana tengok ada peningkatan dari segi aliran keluar dan aliran masuk wang itu berkurangan."

"Ustaz, selepas Covid ni barang-barang semua naik. Mahal. Saya terpaksa kurangkan juga pembelian barang-barang kerana ingin berjimat cermat. Penderma-penderma pun tidak memberi dalam jumlah yang banyak seperti sebelum Covid. Sebab itulah pendapatan berkurang dan perbelanjaan menjadi lebih besar."

"Ana tahu barang-barang harga melampau. Tapi di sini dicatatkan harga yang tidak munasabah sama-sekali," bantah Ustaz Hanafi.

Azimah membelek-belek lagi kertas di hadapannya. Dia tersenyum kecil dan berkata; "Eh, ni kesilapan kerani yang menaip laporan. Dia yang tersilap meletakkan titik perpuluhan dan koma."

"Anti yakin?" tanya Ustaz Hanafi curiga.

"Yakinlah, ustaz. Nanti saya check semula cash and balance. Ada kesilapan pada titik perpuluhan ni. Kerani tu buat kerja tak betul... Dia banyak buat silap. Saya pula terlalu sibuk dengan hal ehwal pelajar dan buat kerja-kerja pejabat lagi." Azimah mencari alasan munasabah.

Ustaz Hanafi mengangguk.

"Hantar laporan baru kepada ana selepas anti periksa dan telitikan semuanya."

"Baik."

Azimah cepat-cepat keluar dari bilik Ustaz Hanafi. Dia menuju ke pejabat kecil yang dijadikan sebagai pejabat pentadbiran. Fail yang dibawa bersama tadi dihempasnya ke atas meja. Kemudian dia duduk menghadap meja lalu menggagau telefon di dalam beg tangan. Dia menaip pesanan ringkas. Tidak lama kemudian pesanan itu berbalas. Dia merengus kasar sambil meletakkan telefon bimbit di atas meja dengan kasar.

"Ustaz dah mulai syak aku," rungutnya sendirian, perlahan.

Namun rungutan itu didengari kerani yang bertugas di pejabat itu. Meja mereka terletak bertentangan.

"Syak apa, Kak Azimah?" tanya Suriana.

"Tak ada apa-apalah. Kau buat ajelah kerja kau," katanya dengan agak keras.

"Satu lagi, kau jangan buat silap. Nanti aku yang kena syarah dengan mudir." Azimah seperti memberi amaran.

"Saya hanya ikut apa yang kakak suruh."

"Boleh tak kau jangan menjawab? Kau dapat kerja kat sini pun, aku yang tolong. Lagipun kat sini aku ketua kerani, kau tu pembantu saja. Sedar diri kau sikit!" kata Azimah dengan nada sedikit angkuh.

Wajah Suriana terus berubah.

"Yalah," jawabnya ringkas.

Belum panas punggung Azimah duduk di kerusi, dia sudah bangun. Sebuah fail diserahkan kepada Suriana.

"Aku nak kau taip semula laporan kewangan tiga bulan lepas dan bulan ni juga. Kau jangan silap pulak."

Wajah Suriana kelat melihat fail yang baru diletakkan. Dia takkan sempat menaip semuanya sebelum tiba waktu balik. Sekarang pun jam sudah menunjukkan pukul empat petang.

"Aku nak keluar," kata Azimah sambil bergerak keluar menghala ke pintu.

Langkahnya tergocoh-gocoh menuju ke kantin sekolah. Dia yakin suaminya ada di sana. Waktu-waktu begini, Sabri selalunya minum petang. Di kantin, pelajar-pelajar baru selesai minum petang. Kebanyakan sudah pun beredar untuk pulang ke pondok dan bersedia untuk mengerjakan solat asar. Hanya tinggal beberapa orang sahaja, yang duduk di meja kantin. Dia mencari-cari kelibat suaminya namun lelaki itu tidak kelihatan.

"Ke mana pula dia pergi?" rungutnya sendiri sambil matanya liar memerhati sekeliling.

MARJAAN tersenyum puas melihat wajah Salwa yang baru sahaja selesai disolek. Dia mengambil cermin lalu menyerahkannya kepada gadis itu. Salwa tidak sabar untuk melihat wajahnya yang sudah disolek Marjaan. Hampir terjojol mata Salwa melihat wajahnya yang sudah pun berubah.

"Betul ke muka aku ni? Cantiknya aku!" katanya tersengih lebar, memuji diri sendiri.

"Aku tak pernah pakai bulu mata palsu. Tak pernah mekap. Tak sangka aku ni cantik, ya?" katanya sambil memeriksa wajahnya yang terpantul di cermin.

"Jangan nak perasan. Kau tu setakat boleh tahan saja tau! Tengoklah siapa yang mekapkan kau hingga kau jadi cantik," balas Marjaan tidak mahu kalah. Dia tersengih lebar.

"Kau memang pandailah. Kau belajar dengan siapa?"

"Belajar di TikTok," jawabnya selamba.

Ketika itu terdengar pintu dibuka di luar. Ustaz Hanafi sudah pun pulang. Suara beberapa orang lelaki terdengar jelas diiringi ketawa.

"Babah aku dah balik," kata Marjaan.

"Lebih baik kau cuci muka kau tu cepat! Lepas tu kita sambung buat latihan. Mampus kalau babah tahu kita bukannya belajar tapi main-main mekap," kata Marjaan sambil menahan tawa.

"Alaaa, sayang pulak nak cuci. Cantik sangat muka aku ni!"

"Dahlah. Perasan lebih-lebihlah kau ni. Sikit-sikit dahlah," kata Marjaan lagi.

Mereka tertawa perlahan.

Salwa turun ke dapur dan memasuki bilik air. Dia mencuci mukanya yang disaluti solekan. Bulu mata palsu ditanggalkan. Setelah wajahnya kembali bersih, dia mengenakan tudung semula. Mereka berdua duduk di meja tulis yang mengadap ke tingkap. Kedua-duanya membuka kitab dan cuba untuk menghafal hadis sebagaimana yang disuruh Ustazah Rokiah. Esok ada ujian.

"Jaan!" Terdengar suara Ustaz Hanafi memanggil.

"Ya, babah."

"Babah ada tetamu ni. Kau tolong buatkan kopi. Babah beli pisang goreng dan keledek ni."

Marjaan cepat-cepat mencapai tudung. Dia keluar dari bilik tidur lalu terus menghadapi bapanya.

"Buat air untuk enam orang."

"Mak ai... Ramainya."

"Buat air sedap-sedap sikit. Yang penting rasa dulu, barulah dihidangkan kepada tetamu. Niaya orang minum air kopi masin," kata Ustaz Hanafi sambil tersengih.

"Alaaa, babah. Tahulah Jaan dah buat silap malam tu. Malu dengan Ustaz Nawfal Husaini."

Ustaz Hanafi tidak menjawab. Dia hanya menggeleng.

"Nanti hantar ke depan. Jangan lupa pakai niqab. Kat depan tu semua lelaki."

"Baik," jawab Marjaan sepatah.

Marjaan memanggil Salwa untuk membantunya menyediakan minuman. Kali ini dia memang amat berhati-hati menuang kopi dan gula. Tidak ingin tersilap lagi mencampur kopi dengan garam. Apabila Marjaan menceritakan pada Salwa, dia tersilap buat kopi beberapa malam yang lalu, macam puntianak gadis itu mentertawakannya. Diceritakannya juga dia kena sindir dengan Nawfal Husaini.

"Mulut macam lahanat," komen Marjaan sambil mencebirkan bibir.

"Aku rasa dia sukakan kau. Ustaz Nawfal Husaini mana pernah pandang perempuan. Tapi dengan kau mahu pula dia bercakap."

"Tak adalah. Dia saja sindir aku, nak lepaskan geram," balas Marjaan.

"Kau ni kan... Tak minat ke dengan Ustaz Nawfal Husaini yang handsome, muka ala-ala Arab dengan jambangnya tu? Sekali tengok pun boleh cair tau. Apalagi suaranya kalau mengaji ataupun berqasidah. Sebijik macam penyanyi Arab tu... Apa namanya? Aku lupa..." kata Salwa sambil berfikir-fikir. Kepalanya terdongak ke atas, cuba mengingati sesuatu.

Dia cuba menyanyi beberapa patah dalam bahasa Arab. Agak kuat suaranya.

"Hesy, tak payahlah nyanyi, macam katak panggil hujan," kata Marjaan sambil tergelak.

"Lagipun kat luar tu semua lelaki. Didengarnya suara kau menyanyi... Suara tu kan..."

"Aurattt..." jawab Salwa dengan cepat tanpa sempat Marjaan menghabiskan kata-katanya.

"Tapi percayalah cakap aku. Suara Ustaz Nawfal Husaini memang sedap kalau mengaji dan berqasidah. Terpesonalah kau mendengarnya."

"Tak adanya aku nak terpesona!" Marjaan menafikan kata-kata Salwa.

Kalaulah temannya itu tahu segala yang bergejolak dalam hatinya, pasti berguling-guling Salwa ketawa.

"Ramai pelajar-pelajar perempuan kat sekolah tu minat dengan dia."

"Biarlah. Yang penting aku tak minat." Marjaan terus menafikan perasaannya sendiri.

Kopi sudah siap dibancuh. Kuih turut disusun kemas di atas pinggan bujur. Dulang penuh berisi cawan dan piring, menunggu masa sahaja untuk diangkat ke luar. Tiba-tiba hati Marjaan terasa berat hendak membawa dulang kuih dan minuman. Dari arah dapur, dia terdengar suara Nawfal Husaini bercakap.

Berdegup jantungnya.

Hesy, jantung ni kalau ya pun berdegup kuat-kuat tu, janganlah time tengah kritikal macam ni! rungut Marjaan dalam hati. Mahu tidak mahu, Marjaan membawa juga dulang berisi minuman dan juadah ke luar. Kepalanya tertunduk, tidak berani memandang kumpulan lelaki yang berada di ruang beranda yang luas itu. Dia meletakkan dulang dengan tertib di atas tikar yang terhampar, menutupi lantai beranda.

Semua lelaki yang ada di ruang itu automatik senyap. Apakah mereka sedang menikmati bau kopi yang dituang rakus ke dalam cawan atau sedang memerhati Marjaan yang menggelabah seperti kucing ditimpa hujan?

"Sudah dirasa kopinya tu manis ataupun tidak?" tanya Ustaz Hanafi, setengah berbisik.

"Sudah, babah," kata Marjaan tersenyum sambil menghulur kopinya ke arah orang yang paling hampir dengannya. Dia terkejut sekali lantaran dia bersimpuh berdekatan dengan Nawfal Husaini.

Tangannya menggigil, kopi di dalam cawan yang dituang penuh mulai tumpah ke dalam piring. Dia tidak jadi hendak menghulur cawan itu, lalu dengan cepat dia meletakkannya kembali ke atas dulang. Malangnya cawan itu tertiarap jatuh di atas tikar lalu menumpahkan isinya.

"Oh, eh... Tak sengaja! Tertumpah pulak," kata Marjaan.

"Tak apa. Tak sengaja, kan?" Tiba-tiba Ustaz Wadie membalas dengan cepat sambil tersenyum ke arah Marjaan.

"Perlahan-lahan, Marjaan. Apa yang kau gopohkan sangat ni?" tanya Ustaz Hanafi.

Marjaan hanya diam. Dia mengepam bibir dari sebalik niqab.

"Kau masuklah, Jaan. Biar babah sahaja yang bersihkan air yang tumpah tu. Pergilah." Ustaz Hanafi meminta dengan lembut. Dia tahu Marjaan rasa malu yang bukan sedikit.

Marjaan segera berlalu. Wajahnya sudah memerah dan hangat. Namun tiada sesiapa pun yang nampak wajahnya dari sebalik niqab berwarna hitam itu. Buat pertama kali dia bersyukur kerana niqab itu mampu melindungi wajahnya yang merah padam lantaran terlalu segan atas kekhilafan yang berlaku.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro