Bab 2

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

SIULAN cengkerik dan unggas terdengar jelas dari hutan bersebelahan dengan pondok. Malam sudah beranjak ke dinihari. Pondok-pondok yang berceratuk di penempatan itu, gelap dan sepi menandakan semua penghuninya sudah pun lena diulit mimpi.

Dalam samar cahaya dari sebuah lampu kecil yang malap, Nawfal Husaini sedang duduk menghadap al-Quran. Lembar demi lembar kitab suci itu dibaca dan diselak. Nada suaranya lembut dan syahdu memecah hening malam. Mendampingi al-Quran kala tibanya dinihari sudah menjadi amalan sejak usia remaja. Kini usianya sudah pun meniti ke angka tiga puluh. Nawfal Husaini masih bersendiri, tanpa teman ataupun isteri. Dia tidak pernah memberi hati kepada manusia, yang bernama perempuan. Seluruh hati dan hidupnya hanya diserahkan kepada Allah Azzawajalla.

Aku menyerah

sunyi dinihari

bersimpuh di hadapan-Mu

memaknai cinta hakiki.

-Penulis, Fatinilam Sari Ahmad.

Nawfal Husaini menyelak halaman berikut dari naskhah cinta yang diturunkan buat kekasih Allah dan umat-Nya. Dia terpaku memandang surah yang bakal dibaca. Surah al-Waqiah.

Perlahan-lahan dia mulai membaca dengan hati khusyuk serta tawaduk. Setiap baris ayat-ayat suci itu difahaminya dengan betul dan tepat lantaran dia pernah belajar di Universiti al-Azhar, Mesir. Dia fasih berbahasa Arab. Bahasa Arab adalah antara bahasa yang sukar dipelajari dan mengambil masa bertahun-tahun untuk menguasainya. Namun begitu ia bukanlah sesuatu yang mustahil untuk menguasai serta memahaminya. Ia menjadi sukar lantaran bahasa Arab terlalu banyak kata perbuatan dan kata sifat. Namun setelah bertahun-tahun berada di Mesir, dia boleh berbahasa dengan baik. Dia pernah mengunjungi negara-negara Timur Tengah untuk mencari jejak dan kisah nabi-nabi terdahulu.

Baris demi baris surah al-Waqiah itu dibacanya. Apabila tiba di satu ayat, dadanya mulai sebak. Keinsafan mengetuk-ngetuk dinding dadanya.

"Setelah itu kamu akan meminum air yang sangat panas. Maka kamu minum seperti unta (yang sangat haus) minum. Itulah hidangan untuk mereka pada hari pembalasan."

[Ayat 54-56 Al-Waqiah]

Meleleh air matanya tanpa sedar dan sesak dadanya menahan kesedihan. Ya Allah, jauhkanlah aku daripada menjadi golongan kiri, bisik hatinya sambil meletakkan telapak tangan di dada. Dia berhenti sebentar membaca, menarik nafas perlahan-lahan. Kemudian pembacaan diteruskan hingga tamat surah yang penuh keinsafan itu.

Al-Quran ditutup dan disimpan. Cukuplah dulu, bisik hatinya. Dia memerhati jam kecil yang terletak di tepi bantal. Di sini tiada tilam empuk, katil mewah serta cadar indah. Cukup sekadar tilam tipis, beralas cadar putih tanpa corak, sebuah bantal dan selimut. Nikmat yang patut disyukuri apabila Dia mengurniakan naum, untuk merehatkan tubuh antara empat hingga lima jam.

Waktu masih bersisa setengah jam sebelum masuk waktu subuh. Lebih baik dia turun ke bilik air yang terletak berdekatan dengan pondok. Bilik air itu dikongsi dengan pelajar-pelajar di situ. Ada tiga buah bilik air dan tiga tandas untuk kegunaan semua orang. Meskipun begitu sebilangan waktu, pelajar-pelajar lebih gemar mandi di sungai berdekatan pondok. Di sini paip dan air tadahan semuanya datang dari air gunung. Tiada perkhidmatan air seperti yang dinikmati oleh mereka di luar sana.

Dia menuruni tangga pondok. Tidak jauh di tepi jalan, di hadapan pondok terdapat sebatang lampu jalan yang terpasang terang. Seberkas cahaya tetap sampai jua di hadapan pondok. Pondok itu didirikan dengan menggunakan kayu-kayan dari hutan berdekatan. Ia diproses dan dijadikan papan. Kebanyakan pondok semuanya dibina daripada papan. Hanya sekolah sahaja yang dibina daripada batu bata.

Kebanyakan pondok dihuni oleh tiga orang pelajar. Pondok sederhana besar itu selesa didiami biarpun tanpa katil dan kemudahan lain. Kebanyakannya tidur beralas tikar ataupun tilam nipis.

Nawfal Husaini sering mengingatkan pelajar-pelajarnya; "Kita berada di sekolah ini bukan untuk bersenang-lenang. Tidur di atas tilam empuk dan makan makanan yang sedap tiada. Kita makan sekadarnya sahaja sebab tujuan utama kita di sini untuk menimba ilmu Allah. Hiduplah dalam keadaan zuhud. Kerana zuhud itu membawa bahagia dan ketenangan jiwa. Jangan meminta-minta sesuatu yang berlebihan. Bersyukur apa adanya..."

"Ya Allah, aku bersyukur dengan setiap nikmat-Mu," bisik Nawfal Husaini sambil memandang langit.

Segaris fajar mulai mengoyak langit. Indah... bisiknya sendiri sambil terus berjalan menghala ke bilik air. Sebaik sahaja masuk ke dalam bilik air yang besar itu, tubuhnya terasa sejuk. Namun dikuatkan hati nuraninya untuk menjirus air ke badan. Dia mandi dengan cepat kemudian tergesa-gesa kembali ke pondok. Sepuluh minit kemudian dia sudah pun siap mengenakan jubah dan mengikat serban dengan kemas.

Langkah terus diatur menghala ke surau. Kawasan surau yang agak besar itu sudah terang benderang. Dia melihat ada sepasang sandal kulit di hujung tangga surau. Ustaz Hanafi sudah pun tiba lebih dahulu daripadanya. Dia terus menapak naik dan masuk.

"Assalamualaikum," tegur Nawfal Husaini.

Ustaz Hanafi berpaling. Dia sedang duduk di tengah surau sambil menghadap sebuah kitab berkulit tebal. Lelaki itu tersenyum mesra dan mengajak Nawfal Husaini duduk di hadapannya.

"Kitab apa yang ustaz baca?" tanya Nawfal Husaini.

"Kitab ni baru sahaja dikirim anak lelaki ana, Khaidir," kata Ustaz Hanafi sambil tersengih lebar. "Hasil tulisan Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani."

"Bahasa Arab?"

"Ya. Katanya dia baru terjumpa kitab ni masa berjalan-jalan. Lalu dikirimnya pada ana."

"Anak lelaki ustaz masih tinggal di Morocco?"

"Ya, dia tidak mahu balik dan bekerja di sini lagi. Sudah selesa sangat dengan kehidupannya sekarang. Seronok katanya, berada di kota para anbia dan ulama."

"Masya-Allah," ucap Nawfal Husaini menyimpan rasa kagum.

"Ana dulu juga pernah terfikir untuk terus tinggal di Cairo. Kemudian ana ubah fikiran. Segala ilmu yang sudah ana pelajari harus ana sebarkan. Sudah menjadi tanggungjawab kita untuk menjaga generasi baru ini supaya tidak hanyut dengan pelbagai anasir buruk sekarang," katanya sambil menggeleng.

"Betapa teruknya keadaan remaja sekarang. Mereka tidak kesahkan dosa pahala," ucapnya. Dia tidak dapat meneruskan kata-kata apabila teringat keadaan remaja-remaja kota yang pernah ditemui.

Lantaran itu kota Kuala Lumpur tidak pernah menjadi tempat impiannya untuk menetap lama, lebih daripada tiga bulan. Walaupun ibu bapanya kaya raya dan ada gelaran tinggal di sana, namun dia lebih suka merantau ke daerah itu. Dia sanggup meninggalkan bilik tidur mewah, katil indah dan tilam empuk untuk menghuni sebuah pondok kecil, yang terhad segala-galanya.

Setelah beberapa minit berbual-bual, surau itu mula didatangi orang. Dalam masa setengah jam, surau mulai penuh. Lalu azan subuh pun berkumandang, menandakan sudah masuk waktu untuk mengerjakan solat.

Selesai solat subuh, bertempiaranlah para pelajar pulang ke pondok lalu bersiap-siap untuk memasuki kelas pagi. Bangunan sekolah itu dibina setingkat dan mempunyai dua baris. Satu bangunan dikhaskan untuk kelas pelajar lelaki dan satu lagi untuk kelas pelajar perempuan. Kedua-dua bangunan itu dipisahkan pula dengan satu bangunan lain. Bangunan sederhana besar itu dijadikan pejabat dan bilik para guru serta perpustakaan.

Di sini pelajar perempuan lebih ramai berbanding pelajar lelaki. Begitulah keadaannya pada akhir zaman ini, wanita melebihi lelaki di mana-mana jua pun.

MARJAAN berjalan laju menuju ke kelas. Tudung dan niqabnya bergerak-gerak mengikut ayunan langkah. Dia sudah terlambat. Mungkin kelas sudah pun bermula. Tadi dia bangun lewat dan tidak sempat minum ataupun makan. Perutnya terasa berkeroncong minta diisi. Dia mengambil sebuku roti manis lalu memakannya di sepanjang jalan.

Agh! Aku tak pakai niqab... Bukan ada orang nampak pun! bisik hatinya sambil terus mengunyah. Akhirnya habis jua sebuku kecil roti manis yang lembut itu.

Tekak pula rasa kering! gerutu hatinya sambil memandang ke arah deretan kedai makan tidak jauh di tepi jalan berturap batu. Dia mengambil keputusan untuk singgah di kedai membeli air. Dengan tergopoh-gapah dia berjalan masuk ke kedai lalu terus menuju ke arah peti sejuk. Pantas dan kasar, pintu peti sejuk dibuka dan ditutup kembali. Botol air mineral kecil itu digenggam di tangan. Terasa botol begitu sejuk. Dia tidak sedar, ada seseorang berdiri berdekatan dengan peti sejuk itu turut ingin mengambil minuman. Lantaran terlalu ingin bergerak pantas, dia melanggar lelaki itu.

Marjaan terkejut apabila mereka bertembung, begitu dekat. Malah kepalanya hampir sahaja mendarat di dada bidang lelaki itu. Terus botol air di tangannya terlepas tatkala mata bertemu mata. Berderau darahnya hingga seluruh wajah menjadi hangat. Rasa gementar dan terkejut buat Marjaan kaku seperti patung.

Lelaki itu segera tunduk lalu mengutip botol air mineral milik Marjaan yang jatuh di tepi kakinya. Dia meletakkan botol mineral itu di atas rak, tidak jauh dari situ. Tanpa sepatah kata ataupun berpaling memandang Marjaan, dia terus berlalu menghala ke kaunter. Marjaan merengus perlahan. Kemudian lelaki itu berlalu keluar dari kedai. Marjaan melihat hujung jubahnya berkibar-kibar lembut disapa angin. Ekor serbannya terletak elok. Dia memerhati semua tingkahnya dengan dada yang berdenyutan keras. Apabila lelaki itu lesap dari pandangan barulah dia mencapai air minuman di atas rak lalu bergerak ke kaunter.

"Berapa harga air saya?" tanya Marjaan sambil menggagau duit di dalam poket beg sandangnya.

"Ustaz Nawfal Husaini dah bayarkan tadi," kata juruwang kedai runcit itu.

"Ha?" Marjaan terkejut. Dahinya berkerut.

Kenapa dia bayarkan? rungut Marjaan sambil berjalan keluar dari kedai. Dia meneruskan langkah menghala ke kelas tidak jauh dari kedai runcit itu. Sambil berjalan, dia menyelak niqab lalu menonggengkan botol minuman itu ke dalam mulut.

"Tak baik minum sambil berjalan." Dia mendengar seseorang menegur.

Marjaan segera berpaling. Sekali lagi dia terkejut hingga air meleleh dari sudut bibir. Dia segera menutup niqabnya semula dengan sepantas mungkin. Kuat rengusannya tatkala dia melihat Nawfal Husaini berdiri di tepi sebatang pokok di pinggir jalan, seolah-olah sengaja menunggu untuk menegur kekhilafannya.

"Satu lagi, tak baik juga makan sambil berjalan. Dah macam kambing. Anti tahu kambing tak? Sambil merenggut pucuk-pucuk kayu ia berkeliaran. Mahu jadi kambingkah?"

"Biarlah! Kenapa ustaz sibuk-sibuk hal saya?" tanya Marjaan dengan kuat.

"Ana hanya mengingatkan supaya anti berakhlak dengan akhlak wanita solehah. Dan perlu juga diingat anti tu pelajar dan ana guru."

"Ahhh... Pagi-pagi dah nak bersyarah."

Nawfal Husaini hanya menggeleng sambil terus berjalan meninggalkan kawasan itu. Marjaan menghala ke kelas. Sebaik tiba, dia nampak Ustazah Rokiah sudah berada di hadapan kelas. Mujur dia berdiri membelakangi kelas. Jarinya kelihatan lincah menulis sesuatu di papan putih.

Marjaan terhendap-hendap masuk lalu terus duduk di mejanya. Dia memandang ke arah meja sebelah. Rakannya itu merenungnya sejenak tanpa suara. Marjaan tahu, Salwa tertanya-tanya kenapa dia terlewat?

Ustazah Rokiah berpaling menghadap kelas setelah selesai menulis di papan putih. Dia memandang tepat ke wajah Marjaan.

"Marjaan! Kenapa awak lewat masuk kelas? Jangan awak ingat saya tak nampak awak baru datang?"

Marjaan diam dan menunduk.

"Berdiri!" sergah Ustazah Rokiah sambil menghentak rotan ke atas meja.

Kelas sunyi sepi. Nafas semua pelajar bagaikan tertahan-tahan. Semua orang tahu, Ustazah Rokiah sangat garang dan tegas. Dia memang tidak suka pelajar yang datang lewat, tidak membuat latihan dan tidak patuh pada arahannya.

Dengan rasa kecut perut, Marjaan berdiri. Kepalanya tertunduk, tidak berani memandang ustazah yang berusia pertengahan empat puluhan itu. Dia bersedia sahaja untuk menerima apa jua hukuman.

Marjaan berbaring lalu menarik selimut. Telapak tangannya masih terasa pedih. Satu jalur merah muncul di situ. Dia sudah pun meletakkan ubat, namun rasa sakit belum hilang. Malam ini dia ingin tidur awal agar tidak terlewat bangun keesokan hari. Dia tidak ingin setiap hari telapak tangannya menjadi mangsa rotan.

Tambahan pula selepas isyak tadi, dia kehilangan isyarat panggilan dan Internet. Jika diikutkan rasa hati, dia hendak meraung sekuat yang mungkin. Bukan kerana rasa pedih di telapak tangannya yang halus dan gebu itu. Tetapi kerana tidak dapat chatting dengan Zahra ataupun Atillya hingga jam dua belas. Kadang-kadang mereka menghantar video ketika berada di disko ataupun majlis hari jadi. Muzik dan menari, agenda utama. Dia mengeluh, rasa sedih dan bosan bercampur baur.

Belum sempat Marjaan memejamkan mata, dia terdengar suara bapanya pulang dari surau. Ustaz Hanafi bukan bersendirian. Ada seorang teman bersamanya. Marjaan memasang telinga. Suara itu seperti dikenalinya. Siapa? soal hatinya sendiri.

Suara perbualan di beranda hadapan itu terdengar tenggelam timbul, ditingkah bunyi unggas malam yang bernyanyi dari pinggir hutan berdekatan. Marjaan tidak peduli, siapa pun yang menjadi tetamu bapanya. Memang Ustaz Hanafi sering membawa teman untuk berbual dan berbincang tentang masalah yang berlaku di sekolah.

Dia memejamkan mata. Belum sempat terlelap, dia terdengar pintu bilik tidurnya diketuk.

"Jaan," panggil Ustaz Hanafi.

"Dah tidur?"

"Belum lagi, babah," jawab Marjaan sambil bangun lalu menuju ke pintu bilik. Daun pintu bilik dibuka.

"Buatkan babah kopi," kata Ustaz Hanafi.

"Kalau ada biskut atau roti, hidangkan sekali dengan kopi."

Marjaan sekadar mengangguk.

"Rambut tu sanggul, kemaskan. Nanti masuk pula rambut dalam kopi," kata Ustaz Hanafi sambil menarik lembut ekor rambut Marjaan yang terjuntai di hujung telinga.

"Ouch... Sakitlah, babah."

"Jaan tak perlu hantar ke hadapan kopi tu. Sekejap lagi babah ambil sendiri di dapur," kata Ustaz Hanafi. Dia amat mengerti Marjaan sukar untuk mengenakan tudung dan niqab di rumah.

Marjaan mengangguk sahaja lalu terus ke dapur. Dia memeriksa air di dalam flash elektrik. Masih penuh. Dia mengambil botol berisi kopi di dalam kabinet dapur. Bau harum serbuk kopi segera memecah di deria hidungnya. Kopi itu adalah kopi yang diproses sendiri secara kecil-kecilan, hasil produk orang kampung berdekatan. Kopinya sangat wangi dan berbau keras. Kopi itu menjadi kegemaran kebanyakan orang di daerah ini.

Dia menyediakan kopi dengan cepat. Tidak ingin berlama-lama di dapur. Teko berisi kopi panas diletakkan di atas dulang berserta cawan dan piring. Biskut turut disertakan di atas dulang panjang berwarna coklat. Kemudian dia terus masuk ke dalam bilik.

Langkah Ustaz Hanafi menuju ke dapur terdengar jelas. Dia belum melelapkan mata. Susah pula hendak lelap apabila sekali-sekala terdengar orang berbual dan tertawa.

"MINUMLAH kopi ni, ustaz," pelawa Ustaz Hanafi.

"Na'am. Syukran, ustaz," balas Nawfal Husaini.

Tangannya bergerak mencapai tangkai cawan, lalu membawanya ke mulut. Minuman kopi yang harum diteguknya perlahan-lahan dengan penuh tertib. Sebaik sahaja kopi itu melalui kerongkong, satu rasa yang tidak enak menyentuh deria rasa. Kelat wajahnya menahan rasa tidak selesa. Kopi itu bukan sahaja terasa pahit tetapi juga masin. Masin yang teramat sangat! Jelas sekali Marjaan meletakkan garam dan bukannya gula. Dia segera meletakkan cawan ke atas piring kecil berwarna putih.

Ustaz Hanafi leka membelek-belek kertas yang baru dikeluarkan dari perut fail. Di wajahnya ada kerutan yang jelas tatkala melihat angka-angka yang tercatat di atas kertas di pangkuannya.

"Terlalu besar belanja sekolah untuk bulan ini..." rungutnya sambil membelek-belek helaian kertas itu dengan bersungguh-sungguh.

"Macam ada sesuatu yang tak kena, ustaz. Sejak kebelakangan ni ana sibuk sikit jadi ana tak sempat nak check setiap bulan," katanya lagi sambil memandang ke arah Nawfal Husaini yang diam dan memerhati sahaja.

"Sebab itulah ana ajak ustaz berbincang. Ana perasan ada sesuatu yang tak beres. Pelajar-pelajar mengadu makanan tak sedap. Setiap hari hanya lauk ikan. Dan ikan pula sudah tidak segar lagi. Selalu tu dalam seminggu mesti ada dua kali menu ayam dan daging. Tapi sekarang memanjang ikan. Kesian dengan pelajar-pelajar kita," balas Nawfal Husaini.

Ustaz Hanafi melepaskan keluhan.

"Tapi kalau tengok resit di sini, menu disediakan seperti yang sudah ditetapkan."

"Bukan apa, ustaz. Kita tak boleh syak pada orang tak tentu hala. Berdosa. Tapi ana rasa memang ada penyelewengan. Mungkin sudah lama dia lakukannya, kita sahaja yang tidak sedar," tambah Nawfal Husaini.

"Tak apa... Ana akan siasat. Memang kita tak boleh syak wasangka tanpa usul periksa. Ana bimbang suaminya pun turut terlibat."

Nawfal Husaini mengangguk.

"Esok ana akan panggil dia supaya dia dapat jelaskan semua ini. Nampaknya, dalam tiga bulan terakhirnya ada peningkatan aliran wang keluar. Wang masuk, dari hasil derma dan sumbangan orang ramai agak berkurang sejak tiga bulan lepas. Sedangkan kita tahu, kita ada penderma tetap. Ke mana perginya wang itu lesap? Memang tidak logik kalau diteliti laporan kewangan bulan ni dan dua bulan lalu."

"Itu yang ana perasan, ustaz. Sebab itulah ana ajak ustaz berbincang malam ini. Apa tindakan ustaz?" tanya Nawfal Husaini.

Ustaz Hanafi termenung sejenak. Semua kertas laporan yang berselerakan di atas meja dimasukkan semula ke dalam fail.

"Ana akan siasat. Ustaz pun tolong juga perhatikan dia dan suaminya itu. Ana lebih tidak percaya suaminya berbanding Puan Azimah tu."

"Baik," balas Nawfal Husaini.

"Jemput minum lagi, ustaz. Baru luak sedikit air kopinya tu!"

"Syukran, ustaz. Ana balik dululah. Minum banyak kopi nanti tak boleh tidur pula," balasnya dengan lembut. Enggan meneguk kopi tanpa gula, sebaliknya dibubuh garam pula. Apakah Marjaan sengaja berbuat demikian untuk mengenakannya? Soalan itu melantun juga dari dalam kepala Nawfal Husaini, sepanjang jalan pulang ke pondoknya.

Keesokan pagi, selepas selesai solat subuh, Marjaan turun ke dapur. Dia melihat di atas meja makan terdapat dulang dan teko kopi yang langsung tidak luak. Malah di cawan pun masih bersisa kopi yang seolah-olah dicicip amat sedikit sekali.

Eh, mengapa mereka tidak minum? Apakah kopi aku tak sedap? soal hati Marjaan sambil menggaru kepala yang tidak gatal.

Tidak perlu dia tertanya-tanya sendiri terlalu lama. Semasa dalam perjalanan ke kelas, dia terserempak dengan Nawfal Husaini. Lelaki itu seperti menunggunya, di bawah pokok ketapang di hadapan rumah.

"Assalamualaikum, ustaz. Ustaz tahu kan babah saya berada di sekolah?"

"Tak. Ana bukan nak jumpa ustaz. Ana hanya nak bagi tahu anti, kopi anti terlalu sedap!"

Dup, berdegup jantung Marjaan. Dia tahu itu bukanlah pujian melainkan sindiran.

"Ustaz ni nak cari gaduh dengan saya ke? Kenapa?"

"Garam dan gula itu sama sifatnya. Jadi jangan tersilap!" kata lelaki itu sambil terus berlalu pergi meninggalkan Marjaan sendirian.

What??? bisik hati Marjaan sambil teringat sesuatu. Apakah aku tersilap membubuh garam ke dalam kopi malam tadi? Memang botol gula dan garam diletak sebelah-menyebelah. Jelas sekali dia sudah tersalah ambil. Aduh! Patutlah kopinya tidak luak.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro