Bab 15

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

PAGI masih terlalu awal. Kicau burung di hujung ranting bagai muzik menghiburkan. Suriana berjalan sendirian di kaki lima sekolah yang lengang. Hari itu hari Sabtu. Pejabat dibuka separuh hari sahaja. Jika kebanyakan pejabat di negeri ini cuti pada hari Jumaat dan Sabtu, namun Ustaz Hanafi meminta pejabat tetap dibuka. Sering kali ada yang datang mengunjungi sekolah untuk pelbagai urusan terutama sekali memberikan sumbangan.

Lorong kaki lima itu sunyi sahaja. Kebanyakan kelas kosong dan pintunya bertutup rapat. Biasanya suasana pada hari sekolah dibuka begitu riuh dan meriah. Kesunyian itu kadang-kadang agak menakutkan Suriana. Peristiwa dia disamun dahulu sesekali hadir dalam ingatan meskipun sudah lama berlaku. Kes dia disamun lenyap begitu sahaja. Pihak polis pun tidak mendapat sebarang maklumat.

Sebenarnya Suriana selalu rasa panas punggung untuk terus bekerja di pejabat sekolah pondok itu. Dia tidak suka dengan tingkah laku pasangan Sabri dan Azimah. Azimah tidak pernah menjaga mulutnya yang seperti pedang menghiris hati orang. Suriana kerap kali terasa disindir dan dituduh. Namun lantaran dia memerlukan duit untuk dihantar ke kampung, dia terpaksa bertahan untuk terus bekerja di situ.

Minggu lepas dia sudah pun menulis surat peletakan jawatan. Surat itu masih tersimpan di dalam laci mejanya. Setiap kali membuka laci, tangannya terasa gatal hendak mengambil surat yang mengeram di situ lalu menyerahkannya kepada Ustaz Hanafi.

Suriana membuka pintu pejabat. Pasangan suami isteri itu belum datang. Pejabat kosong dan sepi. Suriana meletakkan beg tangannya lalu duduk di kerusi. Tiba-tiba perut terasa lapar. Dia terlupa hendak singgah di kedai runcit membeli roti dan air kotak. Dia bangun lalu keluar semula. Pintu pejabat ditutup tetapi tidak dikunci. Suriana berjalan menuju ke kedai runcit yang terletak berdekatan dengan kantin.

Hari Sabtu kantin tutup pada sebelah pagi, tetapi akan dibuka pada waktu makan tengah hari dan malam. Jika tutup sepanjang hari, nanti kebuluran pula para pelajar di situ. Suriana membeli dua buku roti berinti kaya, sebotol air mineral dan air kotak. Dia kembali melangkah ke pejabat. Sayup-sayup di kejauhan dia terdengar gema orang bercakap. Hatinya tertanya-tanya siapakah yang bercakap di kaki lima belakang sekolah? Mengapa mereka bercakap di tempat yang agak tersembunyi?

Suriana berjalan perlahan-lahan di tepi bangunan sekolah. Suara orang bercakap di belakang bangunan kelas, yang mengadap ke pinggir hutan terdengar semakin jelas. Suara Sabri terdengar agak kuat menengking; "Buat apa kau datang sini?"

"Aku datang nak duit."

"Hari tu kan aku dah bagi kau duit?"

"Mana cukup! Kami yang buat kerja tapi kau yang dapat lebih," sahut satu suara lelaki.

"Ya, patutnya dibahagi tiga. Tapi kau dapat lebih kenapa?" tingkah suara lelaki yang kedua.

"Dah aku yang bagi kau maklumat. Kalau aku tak bagi tahu kau, macam mana kau boleh dapat duit tu? Tentulah hak aku lebih banyak. Aku ambil separuh. Yang separuh lagi kau bahagi berdua. Kan adil?"

"Mana adil!"

"Adillah. Aku terpaksa berbahagi pula duit tu dengan bini aku!" tengking Sabri.

"Dahlah, pergi dari sini sebelum orang nampak kau orang!"

Suriana terkejut. Apa yang mereka bualkan? Kelihatan seperti ada cerita yang tidak selesai, bisik hati Suriana.

"Budak tu tak ada pergi bank seorang lagi ke? Boleh kami ulang kerja dulu tu," kata lelaki itu tidak ingin bergerak pergi walaupun Sabri sudah pun menghalaunya.

Suriana betul-betul terkejut. Kedua-dua lelaki itu ialah perompak yang menyerangnya tempoh hari. Kawan-kawan Sabri rupa-rupanya! Suriana diam kaku. Dia benar-benar tidak sangka.

"Sekarang ni aku yang kena buat kerja dia!" kata Sabri.

"Sudah! Pergi!" Sabri menghalau mereka.

Suriana cepat-cepat bergerak meninggalkan tempat itu. Dia berjalan laju menghala ke pejabat. Nafasnya termengah-mengah. Terjawab sudah segala persoalan. Patutlah mereka suami isteri beria-ia menuduh dirinya. Rupa-rupanya mereka hendak menutup kesalahan sendiri lalu meletakkan semuanya ke atas orang lain. Jahat! Mereka benar-benar jahat! bisik hati Suriana tidak keruan.

Aku harus berhati-hati dengan mereka berdua! Perlukah dia beritahu Ustaz Hanafi hal ini? Perlukah? Tetapi dia tidak ada bukti. Alangkah baiknya jika dia merakam perbualan itu tadi. Namun dia tidak sempat berbuat demikian. Alangkah baiknya jika dia mempunyai bukti. Segala kebejatan dan kejahatan suami isteri itu dapat dibuktikan. Mereka pasti akan tersingkir dari sekolah ini. Ustaz Hanafi tidak akan menyimpan pekerja yang tidak amanah dalam menjalankan tanggungjawab.

Bagaimanakah dia harus membuktikan pasangan suami isteri itu sememangnya jahat? Mungkin selama ini mereka sudah melakukan banyak penyelewengan tetapi tiada sesiapa pun yang tahu. Tiba-tiba Suriana teringat pada akaun backup dan akaun asal yang dia taip beberapa hari lalu. Dia segera membuka komputer. Fail yang ditaipnya beberapa hari sudah dibuka. Dia segera menghantar fail untuk dicetak. Setelah berjaya dicetak, Suriana meneliti isi kandungannya dengan bersungguh-sungguh. Kemudian kertas-kertas itu diletakkan di dalam sampul surat lalu disimpan di dalam laci yang berkunci. Biarkan ia mengeram di situ untuk suatu tempoh sehingga tiba masa yang sesuai.

Tidak lama kemudian, Sabri menerjah masuk ke pejabat. Wajahnya kelihatan tegang. Dia menjeling sekilas pada Suriana yang pura-pura sibuk menekan kalkulator, membuat kiraan dan mencatat. Dia merengus.

"Ada nampak Azimah?"

Suriana menggeleng. Dia tidak akan melayani Sabri bercakap perkara-perkara yang tiada kaitan dengan kerjanya. Kau pergilah cari bini kau! Buat apa tanya aku? gerutu Suriana dalam hati.

"Cantik pula aku tengok kau pagi ni, Suria! Jom ikut aku minum pagi di Dabong."

Suriana mencebik. Bila berhadapan dengan perempuan, berani mengajak orang pergi minum ataupun makan. Tetapi bila di hadapan isteri, pijak semut pun tak mati.

Azimah patut dengar ajakan Sabri itu tadi. Namun entah ke mana wanita itu pergi.

"Terima kasih sajalah. Saya sibuk."

Sabri merengus lalu terus keluar.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro