Bab 12

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

SUASANA di dalam kelas tenang dan senyap. Semua pelajar sedang tekun melukis khat. Nawfal Husaini yang duduk di meja guru turut melukis khat. Dia meminta pelajar menulis khat mengikut daya kreativiti mereka sendiri.

Qaseh paling awal menghantar tulisan khat ke meja guru.

"Ustaz, saya dah siap!" katanya sambil meletakkan kertas putih yang sudah pun ditulis dengan tulisan khat berdakwat hitam.

Nawfal Husaini mengangguk sahaja. Tanpa memandang kertas yang baru diletakkan Qaseh di sisinya, dia berkata; "Letakkan saja di situ."

Qaseh tidak puas hati. Dia mahu Nawfal Husaini melihat hasil kerjanya dan inginkan pujian daripada gurunya itu. Namun Nawfal Husaini terlalu asyik melukis hingga enggan memberikan sebarang perhatian.

"Ustaz!"

"Anti boleh balik ke tempat duduk anti semula, Qaseh."

"Ustaz, boleh ustaz tuliskan nama Qaseh? Tulisan khat ustaz cantik."

Nawfal Husaini mengangkat wajahnya memandang Qaseh. Dia menggeleng dan berkata; "Lebih baik anti tulis nama anti sendiri. Bukankah anti sudah mahir?"

"Tapi ustaz boleh pula tulis nama Marjaan?" soal Qaseh sambil matanya yang tajam merenung ke arah tulisan yang sedang ditulis Nawfal Husaini. Dengan jelas dia dapat membaca tulisan itu. Mim ra jim alif nun. Di sekeliling nama itu ada awan loret yang cantik.

Nawfal Husaini segera menutup kertas yang tertulis nama Marjaan dengan sehelai kertas kosong. Dia menggeleng dan berkata dengan nada tegas; "Balik ke tempat duduk anti, Qaseh!"

"Baiklah, ustaz," ucap Qaseh dengan wajah masam mencuka.

Dia tidak suka dimarahi. Lebih-lebih lagi dia meluat melihat nama Marjaan yang tertulis dengan indah. Rasanya seperti dia ingin merampas kertas itu lalu mengoyakkannya hingga jadi puing-puing debu.

Kenapa Nawfal Husaini harus menulis nama Marjaan? Kenapa? Soalan itu mengisi kepalanya sepanjang hari. Dia tidak senang duduk. Dia merasakan ada sesuatu rahsia antara Nawfal Husaini dan Marjaan. Marjaan bukan main sombong lagi apabila dia pernah meminta gadis itu agar tidak mengganggu Nawfal Husaini.

Qaseh terserempak dengan Marjaan di kantin semasa waktu rehat. Marjaan sedang membawa dulang berisi makanan dan minuman menghala ke meja. Dia sengaja melanggar bahu Marjaan hingga air sirapnya tertumpah lalu terkena tudung yang berwarna putih bersih. Serta-merta tudung Marjaan menjadi kotor dipaliti sirap yang berwarna merah.

"Kau ni dah kenapa?" tanya Marjaan sambil mengemam bibir, menahan marah.

"Ops, sorry! Aku tak sengaja terlanggar kau. Ahhh... Comotnya tudung kau, Marjaan!"

"Tak sengaja kau cakap?"

"Ya. Memang aku tak sengaja. Kau marah? Marahlah!" katanya sambil terus berlalu.

"Dia sengaja cari pasal dengan aku!" Marjaan merengus dengan wajah masam.

Marjaan dan Salwa mencari tempat duduk yang masih kosong. Ruang makan hampir penuh. Mata Marjaan melilau mencari tempat duduk. Akhirnya dia ternampak dua kerusi yang baru dikosongkan. Kedua-dua gadis itu segera menapak ke situ.

"Alah, sikit saja, Marjaan. Kau baliklah sekejap pergi tukar tudung lain."

"Tak apalah, biarlah macam ni. Lagipun tinggal dua mata pelajaran lagi," kata Marjaan sambil menyuap mi goreng di atas pinggannya. "Tapi lepas ni kelas Ustaz Nawfal."

Salwa memandang wajah Marjaan. Dapat dilihat wajah Marjaan yang resah bercampur bimbang.

"Kenapa?" tanya Salwa hairan.

"Aku tak naklah dia tengok aku comot macam budak tadika," kata Marjaan dengan suara kesal. Dia seakan-akan ingin menangis di situ juga.

Salwa mentertawakannya.

"Kau ni... Tu pun nak sedih. Dia bukannya boyfriend kau yang kau nak malu sangat," ujar Salwa lagi sambil terus tertawa. "Peliklah kau ni!"

"Dahlah... Aku nak balik kejap tukar tudung."

Marjaan terus berlari pulang. Salwa tercengang-cengang memerhati.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro