Bab 6

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng



NaDraH melangkah perlahan sambil menikmati suasana petang di tepi laut itu. Dia

tersenyum sendiri melihat Han River di depan mata. Orang masih ramai walaupun hari sudah mulai senja. Pasti mereka juga mahu menyaksikan sendiri keindahan Love Bridge pada waktu malam. Nadrah terus memotret suasana indah di situ. Matanya bukan melihat untuk dirinya sahaja, tetapi untuk Humairah juga sebagaimana yang telah dijanjikannya dahulu sebelum berangkat ke Vietnam.

Angin malam di tepi laut itu bertiup menampar lembut wajahnya. Ada kenyamanan yang dirasakan. Lampu berwarna merah berbentuk hati tergantung di sepanjang jambatan itu. Tidak jauh dari situ kelihatan sebuah lagi jambatan bercahaya yang boleh dilihat dengan jelas iaitu Dragon Bridge, yang merupakan salah satu lagi daya tarikan pelancong jika ke Da Nang.

Jambatan yang terbina di Han River itu sememangnya menarik dan unik dengan replika naga, dibina di sepanjang jambatan tersebut. Berukuran sekitar 666 meter, Dragon Bridge dikatakan sebagai jambatan terpanjang di Vietnam. Pengunjung juga boleh terus berjalan ke Love Lock Bridge dan melihat replika kepala naga yang mengeluarkan air. Banyak pasangan tidak mahu melepaskan peluang berkunjung ke sana. Padan dengan namanya, 'Love Lock Bridge', sudah pastinya menarik minat ramai pasangan tidak kira rakyat tempatan mahupun pelancong asing untuk 'menguncikan cinta' mereka di jabatan tersebut.

Jika di Korea, ada Namsan Tower, Perancis pula memiliki Pont des Arts, manakala di Jerman pula memiliki Hohenzollern Bridge dan begitu juga di Love Lock Bridge ini. Nampaknya aktiviti 'mengunci cinta' sudah merebak ke seluruh benua dari Eropah hinggalah ke Asia.

Nadrah menaiki anak tangga DHC Marina satu persatu. Dia mahu melihat Carp-Dragon Statue yang ada di sana secara lebih dekat. Tidak sah jika ke Han River tetapi tanpa melihat tugu tersebut. Tugu besar yang berbentuk kepala naga itu kelihatan gah dan memiliki keunikannya yang tersendiri.

'Banyak betul jambatan di Sungai Han. Kalau jalan ni sampai esok pun tak habis,' getus hati kecilnya sambil menikmati pandangan indah malam itu. Kalau tidak silap ada 10 buah jambatan cantik di sepanjang Sungai Han dan ada empat yang paling popular dan masing-masing mempunyai simbol yang tersendiri.

'Kalau Mai ada mesti dia tahu semua pasal jambatan di sini,' nafas dihela perlahan. Wajah teman baiknya mula terbayang. Jika ada Humairah pastinya gadis itu boleh menerangkan semua itu daripada A sampai Z tetapi malangnya Aisha Humairah tiada ketika itu.

Langkah diteruskan lagi. Matahari sudah mulai melabuhkan diri. Perlahan-lahan cahayanya mulai sirna dari dada langit. Angin laut masih menampar lembut membuatkan dia kedinginan. Nadrah sengaja memejamkan mata, mahu menikmati keindahan senja di situ. Sebuah perasaan damai yang jarang dapat dirasai. Malam itu dia mahu menikmati keindahan cahaya di sepanjang jambatan itu sepuas-puasnya. Itu mungkin kesempatan sekali seumur hidup. Dia sendiri tidak tahu bila dia akan berkunjung ke situ lagi.

Malam pertama di Da Nang adalah malam yang mendamaikan walaupun sesak dengan orang ramai, namun bunyi ombak yang menghempas, bayu malam yang bertiup dan cahaya lampu yang berwarna-warni membuatkan dia lupa seketika dengan dunia sebenarnya. Benar kata Humairah malam di Da Nang memang romantis.

Sungguh, itu malam yang sangat indah!

paGi-paGi lagi Nadrah sudah dikejutkan dengan WhatsApp daripada Hans. Jam pada telefon bimbitnya dipandang sekilas. Sudah pukul 4.50 waktu tempatan bermakna di Malaysia sekarang sudah pukul 5.50 pagi, sejam lebih awal dari waktu di Vietnam.

Berdebar juga dia membuka peti mesejnya itu. Bimbang jika Hans tahu apa yang sedang berlaku. Habis dia kalau Hans tahu jika dia ke Vietnam tanpa Humairah. Lebih teruk jika Hans tahu dia bercuti dengan Rasyad.

Walaupun pemuda itu tidak berjalan dengannya tetapi mereka bertolak dari KLIA bersama dan pemuda itulah yang diminta oleh Humairah untuk menemani dan menjaganya sepanjang percutian itu. Ah masak!

Rasyad? Dekat mana agaknya pemuda itu sekarang. Pastinya masih ada di bandar Da Nang, mungkin hari ini dia juga akan keluar melihat bandar lain yang berhampiran. Apa agakanya dia sedang lakukan sekarang? Okey ke dia?

'Ah! Sudahlah Nadrah sekarang bukan masa untuk memikirkan Rasyad. Dia sudah besar panjang, tahulah dia hidup.'

"Sampai mana dah? Tak send gambar pun," mesej pertama daripada pemuda itu dibaca dengan mata yang masih kuyu. Matanya masih mengantuk, namun digagahkan juga untuk bangun. Dia tidak boleh membuang masa kerana ada hari yang panjang untuk dilalui.

Keypad telefon bimbit dipicit satu per satu untuk membalas mesej pemuda itu. Inbox dibuka, masih tiada mesej daripada Humairah. Ada mesej daripada kak long, kak ngah dan abangnya. Kesemuanya memberikan nasihat yang sama, kata-kata yang sama, 'makan jangan lupa, take care dan jaga solat,'

"Gambar jambatan je?" mesej daripada Hans sekali lagi masuk lagi ke dalam inbox.

"Tadi nak gambar, orang dah bagi gambar tak puas hati pula. Lelaki ni nak apa dalam hidup dia?" Nadrah sudah membebel sendiri.

Gallery telefon dibelek lagi, mahu memberikan gambar terbaik. Masalahnya semua gambar yang cantik ada di dalam kamera dan dia tidak rajin untuk memindahkan gambar tersebut ke mana-mana.

Matanya tiba-tiba terlihat pada gambar yang diambil di Da Nang Museum of Cham Sculpture sebelum dia menghabiskan waktu petang di Han River semalam.

"Muzium? Kau kalau berjalan memang wajib masuk muzium ke? Bosannya trip kau orang," balas Hans lagi.

Nadrah sudah terbaring menghadap siling. Kalau ada Hans di depan matanya sekarang sudah diberi backhand sekali. Sesuka hati sahaja pemuda itu memberi komen seperti itu.

'Suka hatilah nak pergi mana,' getus hati kecilnya geram. Banyak kerenah pula Hans pagi itu. Sudah dihantar gambar dikomen pula, tak hantar kata lupa dia. Eh! bagi kaki baru tahu!

Galeri telefon dibelek sekali lagi. Dia sendiri hilang idea mahu memberikan gambar apa lagi kepada lelaki itu. Bagi gambar Rasyad nanti, baru dia tahu! Oh, mungkin tidak. Rasyad pun dia tidak nampak bayang, inikah pula gambarnya. Mahu cari di celah mana?

'Fine, kau sabar jap Hans!' lima buah gambar terus dihantar kepada pemuda itu. Biar Hans tahu trip nya tidak sebosan yang dia kira!

"Amboi seronok shopping. Gambar selfie kau orang mana. Bila tak tanya berderet aje hantar gambar selfie. Tak sah kalau tak spam aku dengan gambar selfie kau orang," balas Hans panjang.

Berderau darah dia membaca mesej yang terbaru itu. Matanya terbuka luas. Hilang ngantuknya membaca bait-bait mesej tersebut. Mati!

'Nak selfie pula. Mana aku nak dapat gambar Mai. Budak ni kan, pagi-pagi dah buat jantung aku rasa nak tercabut,' lama Nadrah memikirkan apa yang harus dibalas. Dahinya diurut-urut perlahan. Tiba-tiba pening pula kepalanya. Betullah, memang bukan senang untuk menipu orang yang kita kenal rapat.

WhatsApp Hans hanya dibiarkan dengan bluetick seketika. Dia perlu alasan yang logik, bimbang jika pemuda itu dapat menghidu sesuatu yang tidak kena.

"Kita orang kesiankan kau. Nanti kau jealous," balas Nadrah takut-takut. Dia cuba berlagak biasa padahal dalam hati hanya Allah yang tahu. Habis dia kalau Hans tahu, memang masak!

"Alasan!" hanya itu yang dibalas oleh pemuda itu. Nadrah tidak tahu sama ada dia perlu risau atau tidak dengan reply daripada pemuda itu. Mesej itu tidak dibalas.

"Kirim salam Mai... Aku WhatsApp dia tak reply. Seronok jalan sampai WhatsApp pun tak buka," sebuah lagi mesej masuk. Nadrah bungkam, tidak tahu apa yang perlu ditaip lagi.

"Okey..." pendek sahaja dia membalas. Hatinya berdoa agar Hans tidak dapat mengesan apa-apa yang tidak kena. Sekarang bukan masa yang sesuai untuk rahsianya terbongkar. Lagi pula pemuda itu ada urusan penting yang harus diselesaikan di kampus. Dia perlu fokus dengan program yang lebih penting.

Nadrah pantas bangun untuk membersihkan diri. Subuh sudah masuk dan selesai solat nanti dia perlu keluar, kerana ada pemandu pelancong yang akan menunggunya di bawah. Jadual seterusnya dia mahu menjelajah Ba Na Hills dan lebih baik jika dia bergerak seawal mungkin. Dapat mengelak daripada crowd dan apa yang lebih menarik dapat melihat Da Nang dari pandangan atas. Tidak sabar rasanya untuk memulakan paginya hari itu.

Good morning Da Nang!

perJaLaNaN dari hotelnya ke Ba Na Hills hanya mengambil masa sekitar 35 minit. Pemandu pelancong pada mulanya agak keliru melihatnya sendirian. Jika diikutkan pada tempahan yang dibuat oleh Humairah jelas mengatakan trip itu akan disertai oleh dua orang, namun yang muncul di depan hotel pagi itu hanyalah seorang.

Setelah diterangkan barulah pemuda bernama Vinh itu mengerti. Mujur dia fasih berbahasa Inggeris. Agak sukar sebenarnya untuk menemui rakyat tempatan yang mahir berbahasa Inggeris. Namun bagi mereka yang bekerja dengan syarikat pelancongan, menguasai bahasa asing terutamanya bahasa Inggeris mungkin menjadi satu syarat.

Hoodie berwarna maroon sudah siap disarung pada tubuh. Suasana di atas gunung ketika itu mungkin berada pada darjah 17 hingga 20 darjah celsius, agak dingin jika mahu dibandingkan dengan suhu di bawah. Ba Na Hills adalah sebuah taman tema yang sangat luas yang terletak di kawasan tanah tinggi. Jadi, tidak hairanlah jika suhu di situ lebih rendah.

Nadrah memandang tiket cable car yang diberikan oleh Vinh tadi. Dia tersenyum tawar. Ada wajah Humairah yang mula bermain di mata. Dia masih ingat kenangan ketika mereka bersama menyiapkan itinerary beberapa bulan lepas. Ah, Mai andai kau ada sekarang ni!

"Kita kena keluar awal-awal pagi untuk second day tu. Yang penting nak naik cable car. Cuaca dekat atas sana sejuk. Bolehlah kalau nak berangan ala-ala dekat Korea time autumn," Humairah tergelak kecil dengan kata-katanya sendiri. Baru ke Vietnam tetapi feeling sudah sampai ke Korea. Tinggi betul cita-citanya!

"Cable car di sana katanya paling panjang dan paling tinggi dekat planet ni. Aku dah boleh imagine masa naik benda tu nanti. Hold my hands please, takutnya..." Humairah sudah mula berdrama.

"Jangan mengada!" pantas Nadrah membalas. Humairah mencebik, nak sweet sikit dengan kawan baik sendiri pun tak boleh!

"Kau ni tak romantik langsung,"

Nadrah tersenyum sendiri mengingatkan gelagat Humairah. Jika menyentuh soal hati atau bab-bab romantik, gadis itu memang pakar. Dia hanya mendengar, sesekali menyampuk itupun jika ada yang menarik minatnya tetapi momen sebegitu memang jarang berlaku!

Tanpa disedari sudah sampai gilirannya untuk masuk ke cable car. Sempat dia menjeling ke belakang, barisan mereka yang menunggu giliran masih panjang. Jam sudah menunjukkan jam 8.00 pagi dan awan masih indah dengan limpahan cahaya keemasan.

Perjalanan ke atas gunung dengan cable car akan mengambil masa sekitar 20 minit. Nadrah takjub melihat pamandangan dari atas. Sungguh, dia hilang kata betapa indahnya pemandangan di hadapan matanya. Jika dirakam sejuta gambar pun belum tentu dapat merasai apa yang sedang dirasai sekarang.

Dia boleh melihat sendiri kehijauan hutan dan alam semula jadi di bawah. Terdapat kawasan air terjun juga di sekitar kawasan tersebut. Walaupun pagi itu masih ditemani dengan kabus tebal, pandangannya tetap jelas dan tidak terbatas. Semuanya boleh dilihat dari tingkap cable car dan memang sebuah pemandangan yang menakjubkan!

Cable car bergegar sedikit apabila hampir sampai ke checkpost. Terkejut Nadrah dan berderau darahnya ketika itu. Dalam keterujaan terselit ketakutan, membuatkan dia teringat kata-kata Humairah, 'hold my hands, please,' kalau Humairah ada di situ dia sendiri yang akan mencari tangan gadis itu.

Kamera yang tergantung pada leher mula digunakan bagi memotret pemandangan yang indah di Ba Na Hills. Dalam banyak-banyak destinasi mereka di Da Nang, Golden Bridge berbentuk tangan manusia itu adalah lokasi yang paling tidak sabar untuk dikungjunginya.

Entah kenapa melihat sahaja gambarnya dia internet membuatkan dia benar-benar teruja. Terasa itu adalah antara salah satu keajaiban dunia! Benarlah kata Humairah dia yang akan menjadi sangat teruja jika ke Ba Na Hills.

Nadrah meneruskan langkah di atas jambatan itu. Walaupun hari masih awal tetapi sudah mulai ramai dengan para pengunjung. Semuanya pasti tidak mahu melepaskan peluang untuk menyaksikan sendiri kehebatan jambatan itu serta kawasan pergunungan yang sememangnya kaya dengan keunikan dan keindahan tersendiri.

Kabus masih tebal dan adakalanya dia tidak dapat melihat jelas apa yang ada di sekitar jambatan itu. Rasa sejuk pula mula mencengkam. Dia meniup tangannya berkali-kali cuba menghilangkan rasa sejuk. Walaupun hoodie sudah disarungkan, kedinginan masih tetap terasa hingga ke tulang. Apabila hilang sedikit rasa sejuk, dia terus merakam gambar dan video di situ. Peluang keemasan seperti itu tidak mahu dilepaskan begitu sahaja.

"Aduh!" terasa badannya sakit seperti terlanggar sesuatu. Dia sendiri tidak nampak jelas apa yang berlaku. Sudahlah ramai orang, keadaan kabus pula. Mujur dia tidak jatuh dan kameranya selamat kerana disangkutkan di leher, tetapi terasa juga sakit pada bahu akibat dilanggar tadi. Salahnya juga, jalan tidak lihat depan! Tangannya menyelak hoodie yang menutupi dahi.

"Oh, I am sorry. I am not..." pemuda yang melanggarnya terdiam seketika, tidak sempat menghabiskan kata-kata tersebut kerana tergamam apabila melihat wajah Nadrah. Pemuda itu hanya dipandang sekilas oleh Nadrah kerana bahunya masih sakit.

"Nadrah?"

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro