Bab 3

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Latifah...

AKU bangun seraya membetulkan tubuh yang baru kini terasa lenguh. Belum sempat aku menutup mulut gara-gara menguap, wajah Safwan terpacul di sebalik pintu pejabat.

Tersengih aku melihat ukiran senyuman yang biasanya akan buat customer menoleh beberapa kali. Sering kali juga aku jadi posmen tak bergaji mereka. Sekejap hantar surat, sekejap lagi kirim coklat.

"Apa yang kau termenung lagi, Tipah? Pergilah balik, muka pun dah penat semacam. Kalau lapar, pergi makan dulu," ujarnya lembut sambil meletakkan beg sandang yang selalu dibawa.

Hesy, macam manalah orang tak cop kau tu gentleman, wahai Safwan? Selalu sangat ambil berat dengan ayat gula-gula kau. Mujurlah hati aku ni masih keras macam batu.

"Abang dah makan ke belum?" soal aku seraya mengemas dokumen yang berserakan di atas meja.

Safwan mengangguk sebelum mengukir senyuman lagi. Perut aku mulai berlagu riang. Tengah hari tadi tak sempat langsung nak menjamah nasi lantaran pelanggan kedai terlalu ramai.

Bunyi ketukan di pintu lantas membuatkan kami berdua berpaling. Wajah Sue tampak begitu letih tetapi dia masih mengukir senyuman.

"Tak balik lagi?" tegur Safwan.

"Nak balik tapi Rahim tak ada pun lagi," ujarnya.

"Belum sampai kut."

Sue mengangkat bahu. Aku melihat telefon. Tiada apa-apa mesej ataupun panggilan telefon daripada Rahim. Mana pula mamat Bangladesh ni pergi?

"Tak apalah, biar abang ambil alih bahagian cashier."

Aku menahannya serta-merta. "Bukan ke abang kena kira stok yang baru sampai tu?"

Lelaki berkulit cerah itu mengerutkan dahi. "Itu kan kerja Yana?"

"Yana masuk lepas jam 6 petang. Dia kan pergi check up dekat hospital..."

Safwan mengetap bibir. Aku mencongak dengan pantas. Kalau Abang Safwan dekat depan, siapa yang nak ganti jadi forecourt supervisor pula?

"Tak apalah, biar Tipah jaga kaunter sampai Rahim datang. Sue baliklah." Aku berkata dengan cepat.

Sue cuma mengangguk lalu beredar. Amboi, lajunya berjalan! Tak ada offer pun nak buat overtime ataupun tolong kami dekat sini.

"Tipah..."

Lamunan aku terhenti. Bergegas aku keluar apabila melihat Safwan memandang. Mujurlah tiada pelanggan di dalam kedai. Sempat aku menjeling keluar. Erwan, pekerja am yang berbangsa Indonesia itu sedang menyapu sampah di pekarangan stesen.

"Selamat datang, kak. Ini saja, ya?" Aku mengukir senyuman kepada pelanggan yang mahu membayar barangannya.

Wanita itu mengangguk tanpa senyuman. Aku dah biasa dengan pelbagai karenah orang. Ada juga yang terlebih peramah dan ada pula yang garangnya lain macam.

Ah, macam nilah kehidupan. Mana boleh segalanya sempurna, kan? Aku membuat kerja dengan cepat sebelum datang seorang lagi pelanggan untuk membayar minyak.

"Terima kasih, sila datang lagi..." Ucapan saban waktu diberikan sambil senyuman harus terus memekar.

Aku bersandar di kaunter, melepaskan lelah sambil memandang keadaan luar. Cuaca semakin mendung. Sementara bayangan Rahim langsung tidak kelihatan. Aku cuba menelefonnya tetapi tidak dijawab.

"Selamat da..."

Terkaku apabila aku memandang wajah pelanggan yang baru tiba di kaunter. Jamil melarikan anak mata lalu menolak beberapa buah air kotak yang dipilihnya. Wajahnya tersembunyi di sebalik topi besbol yang dipakai.

Kami berurusan tanpa suara. Hilang sudah etika kerja yang biasanya aku titik beratkan tak kira jenis pelanggan. Jemari kami pula tersentuh tatkala aku mengambil not sepuluh ringgit daripadanya.

Aduh! Merah padam agaknya wajah aku menahan malu. Kenapalah dia ada dekat sini? Selalunya bukan main sibuk ada di gerai seberang jalan.

"Tipah, pergi makan dulu. Biar abang ganti. Tipah belum makan dari tengah hari, kan?"

Soalan Safwan tidak dijawab memandangkan aku sibuk mengira jumlah baki untuk diberikan kepada Jamil. Lelaki itu beredar tanpa dipandang.

"Tipah tak lapar."

"Sebab perut tu dah masuk angin," ujar Safwan dengan lembut.

Aku menentang pandangan matanya yang redup. Aduhai, bang! Jangan buat saya jatuh hati boleh tak? Aku serta-merta tersengih apabila memandang susuk tubuh seseorang yang menghampiri.

"Maaf ko-roon! Maaf ko-roon!" Rahim muncul dengan ukiran senyuman.

"Kenapa? Ada hal ke? Akak telefon tapi tak ada angkat..." Laju saja mulut aku membebel.

Rahim menggaru kepala. "Saya kena samun."

"Hah, dekat mana?"

"Dekat simpang rumah."

"Habis tu, sudah buat report?" Safwan bertanya.

Rahim menggeleng.

Aku menghela nafas. Ya Allah, bahaya betul zaman sekarang. Mujurlah Rahim tak mengalami apa-apa kecederaan. Kasihan pula aku melihat wajahnya yang murung.

"Kenapa tak buat?" Safwan menyoal lagi.

"Itu telefon saja dia orang ambil, tak naklah buat report."

Aku bertanya dengan cepat, "Awak punya duit, wallet semua?"

Rahim menggeleng. "Saya tertinggal di rumah, terlupa. Ada dua ringgit saja dalam seluar. Telefon dengan duit itu saja dia ambil. Alhamdulillah."

Ya Allah, dengan ujian macam tu, mudah betul dia lafazkan rasa syukur. Kalau akulah, mesti dah meratap atau meraung... Atau habis penyamun tadi aku kerjakan sampai mati!

"Tak apa, Allah ada boleh ganti lebih baik," ujar Rahim lagi bila melihat kami berdua bagaikan tidak percaya.

Aku terdengar Safwan menarik nafas panjang sebelum berkata, "Alhamdulillah, awak tak apa-apa. Kalau tak boleh nak kerja, bagi tahu saya. Tak apa kalau awak mahu ambil cuti."

Rahim menggelengkan kepala dengan cepat. "Saya mahu kerja."

Safwan cuma mengangguk lalu mengisyaratkan aku untuk memberikan laluan kepada Rahim melunaskan tanggungjawabnya. Dengan langkah longlai, aku menuju ke pejabat untuk mengambil topi keledar.

Termenung sekejap aku di dalam bilik yang hanya boleh memuatkan sebuah meja dan rak berisi dokumen serta barang-barang staf. Begitu tingginya kesabaran Rahim terhadap ujiannya.

Bukan sekali dia disamun, malah pernah juga berdepan dengan perompak yang datang mencuri di stesen minyak pada waktu malam. Namun, dia tetap tersenyum dan bekerja setiap masa bagaikan tiada apa-apa pernah berlaku.

"Tipah!"

Aku memandang Safwan ketika baru saja tangan memegang pemegang pintu kedai. Dia menghulurkan sesuatu. Aku menjongketkan kening apabila melihat kuih karipap dan roti jala di dalamnya.

Alahai, sweet pula abang aku seorang ni. Senyuman aku semakin melebar. Tak sangka, begitu ambil beratnya Safwan terhadap aku. Kalau Sue nampak ni, mesti dia jealo...

"Bukan abang bagi, tapi secret admirer Tipah."

Ceh! Hilang imaginasi aku. Aku memandang isi plastik sekali lagi. Eh, bungkusan roti jala ni macam...

"Dia datang tadi, suruh bagi Tipah. Dia cakap jangan bagi tahu siapa bagi," ujar Safwan selamba sambil membetulkan beberapa bungkusan roti inti sambal bilis yang bertukar tempat.

Aku mendengus kecil. "Habis tu, kenapa abang bagi tahu Tipah?"

"Kalau abang tak bagi tahu, mesti Tipah tak ambil, kan? Nanti Tipah ingat ada orang nak guna-gunakan Tipah." Safwan ketawa kecil.

Aku mengetap bibir.

"Dah, pergi balik. Lepas tu makan. Jangan pergi singgah gerai Jamil pula nak ucap terima kasih. Nanti kantoilah abang bagi tahu Tipah siapa pengirimnya!"

Usikan Safwan hanya dibalas dengan cebikan di bibir. Sempat aku mengukir senyuman kecil sebelum berlalu pergi. Sekejap. Kenapa Jamil rajin sangat nak lintas jalan sibuk ni semula dan datang bagi makanan dekat aku?

Mana dia tahu aku belum makan? Oh, mungkin dia dengar masa di kaunter tadi. Okey, kalau ya pun, kenapa? Kenapa?! Aku meletakkan bungkusan plastik di dalam raga motosikal bapak lalu menyarung topi keledar.

Jamil buang tebiat agaknya. Atau mungkin dia nak bagi sebagai tanda maafnya akibat kemarahan aku beberapa hari lepas. Ah, sejak bila dia macam tu?

Dia memang baik, Tipah. Kau aje yang selalu ignore dia sejak... Dah! Lupakan! Lupakan! Hati aku menjerit. Tak mahu lagi aku kenangkan peristiwa tersebut. Sudah Latifah, sudah!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro