Bab 7

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

SUDAH hampir sebulan, ubat-ubatan Lara ditukar. Dr. Imran mengambil keputusan untuk menukar ubat Lara apabila ubat-ubatan itu tidak memberikan sebarang perubahan pada kesihatan mentalnya. Dan setelah sebulan berlalu, keadaan kesihatan mental Lara mulai mengalami perubahan.

Dr. Imran melakukan 'interpersonal social rhythm therapy' untuk membantunya mengawal tekanan, mengurangkan ritma biologi dan memantau pengambilan ubat mengikut waktu. Satu perubahan positif Lara, setiap pagi bila bangun dari tidur, dia kelihatan ceria dan tenang. Lara sudah pun di tempat di bilik bersama seorang pesakit lain. Sebelum ini dia ditempat di bilik yang tertutup seorang diri.

Awal pagi, Lara sudah mandi dan bersiap-siap untuk sesi terapi. Dr. Imran menunggu Lara datang ke biliknya. Apabila melihat Lara masuk bersendirian, tanpa ditemani jururawat lagi, Dr. Imran tersenyum dan menegurnya dengan mesra.

"Selamat pagi, Lara. Apa khabar pagi ni? Semuanya baik?"

"Selamat pagi. Semuanya baik, doktor."

"Dah sedia untuk keluar ke taman?"

"Saya boleh keluar ke taman hari ni?"

"Ya, boleh. Petang nanti boleh keluar ke taman untuk berehat ataupun melakukan senaman ringan. Terpulang pada Lara."

"Terima kasih, doktor."

"Sekejap lagi, lebih kurang pukul sepuluh pagi, ibu bapa awak akan datang melawat."

Lara tersenyum manis. Dr. Imran membalas senyumannya. Dia gembira Lara menunjukkan perubahan yang begitu ketara. Lara pernah memberitahunya, dia ingin sembuh dan keluar menemui masyarakat.

"Saya ingin kembali bekerja untuk membantu emak ayah saya," kata Lara.

Dr. Imran juga sudah mengenal pasti punca Lara mengalami stres dan akhirnya membawa kepada beberapa episod kemurungan. Lara pernah juga bertindak untuk membunuh diri sendiri.

"Lara, kalau bidang kewangan memberikan awak tekanan yang berat dan menyebabkan awak stres, lebih baik tukar ke bidang lain."

"Bidang apa? Bidang kewangan itu pilihan bapa saya. Dia yang beria-ia minta saya mengambil jurusan perakaunan walaupun saya tahu saya tak mampu. Tapi saya berusaha membuktikan pada dia, saya boleh. Tapi bila saya mula memasuki dunia pekerjaan saya gagal menangani stres. Lebih-lebih lagi tekanan dari bekas bos saya, Encik Ameen dan rakan sekerja saya, Wati.

Saya difitnah mencuri duit. Padahal duit itu bukan saya yang curi. Duit itu hilang tanpa kesan. Saya rasa, Wati yang curi duit tapi dia tuduh saya. Itulah... Saya tak ada bukti. Kebenaran diri saya terus tersembunyi. Itu buat saya bertambah stres," cerita Lara semasa sesi terapi.

"Bertukarlah ke satu bidang yang awak minat, yang boleh buat awak rasa relaks. Fikiran awak tenang dan gembira melakukannya."

"Sebenarnya, saya meminati bidang lukisan." Lara berterus terang. Hal itu tidak pernah dibincangkan dengan keluarganya. Pasti emak dan ayahnya tidak suka. Harapan mereka begitu tinggi pada Lara.

Cik Biah selalu berkata, "Kau satu-satunya harapan kami, Lara. Kau cerdik. Kau belajar tinggi, ada diploma. Kau tengok adik kau Aidit, dia hanya ada SPM dan dia tak boleh terlalu memilih kerja. Kerja jadi despatch pun kira nasib baik daripada tak ada kerja langsung."

"Belum tentu keluarga saya setuju," kata Lara.

"Awak fikirkan diri awak dulu... masa depan awak. Jangan fikirkan kehendak emak ayah awak, sedangkan awak tak boleh buat. Saya akan bincang dengan mereka. Awak jangan bimbang."

Lara mengangguk.

"Esok awak boleh masuk ke kelas bimbingan melukis di sini. Jururawat akan bawa awak ke sana. Kelas pun dah bermula. Kursus tiga bulan untuk new beginners. Awak mahu tak?"

"Mahu, doktor," jawab Lara dengan cepat.

"Baik. Awak boleh keluar. Nanti kita jumpa lagi."

Lara benar-benar gembira sejak Dr. Imran bertugas di situ. Bukan hanya Lara yang gembira, kebanyakan pesakit dan petugas juga senang hati. Cara Dr. Imran menangani pesakit berbeza dengan cara Dr. Aminah.

Di luar bilik, jururawat menunggu Lara dan membawanya ke bilik rehat.

"Sekejap lagi emak ayah awak masuk, Lara. Awak tunggu di sini."

"Terima kasih, Cik Rozita."

"Sama-sama."

Sejurus kemudian Cik Biah dan Encik Musa ke ruang itu. Lara terus bangun menyambut kedatangan mereka. Dipeluknya Cik Biah erat bagai tidak mahu lepas.

Cik Biah amat terharu melihat perubahan diri Lara. Kali terakhir mereka datang ke situ, Lara cuba mencederakan dirinya sendiri kerana dia tidak dibenarkan memiliki telefon bimbit.

"Mak dan ayah sihat? Aidit pun sihat?" tanya Lara.

"Kami semua sihat. Lara macam mana?"

"Lara pun sihat emak, ayah."

"Lara, mak bawa kuih kegemaran kau." Cik Biah menghulur bekas bertutup rapat.

"Kuih apa ni, mak?"

"Ni tat telur yang kau suka tu. Mak buat sebelum datang ke sini tadi. Nanti kau makanlah di bilik."

"Baik, mak. Terima kasih."

Cik Biah dan Lara berbual-bual pelbagai perkara, sementara Encik Musa pergi menemui Dr. Imran. Cik Biah amat terharu. Beberapa kali dia mengesat air mata yang menitis di pipi. Perubahan diri Lara begitu ketara sekali.

Beberapa ketika kemudian, dia teringat untuk bercerita tentang Adri yang pernah datang menemuinya. Dia memerhati ke arah pintu. Suaminya masih berada bersama Dr. Imran. Dia tidak ingin kena marah dengan suaminya lagi kerana melayani Adri berbual dan membuka 'rahsia' penyakit Lara kepada orang yang tidak dikenali.

Hampir separuh daripada penduduk di taman perumahan mereka tahu penyakit yang dihidapi oleh Lara. Mereka memandang serong keluarga Encik Musa dan menyatakan dia memiliki anak yang kurang siuman. Bermula pada malam Lara mencuri motosikal budak Foodpanda, orang bercerita tentang gadis itu tiada berkesudahan.

Polis gagal membuat dakwaan ke atas Lara apatah lagi menjatuhkan hukuman apabila doktor mengeluarkan rekod lama Lara yang pernah dimasukkan ke pusat itu setahun yang lalu. Ini kali kedua Lara berada di sini.

"Lara, kau kenal ke dengan Adri?"

Lara diam sahaja apabila Cik Biah bertanya tentang Adri. Sejurus dia diam, kemudian perlahan-lahan Lara memulangkan pertanyaan.

"Kenapa dengan Adri, mak?"

"Dia ada datang cari kau. Dia tanya ke mana kau pergi."

"Jadi, mak beritahu?" tanya Lara agak terkejut.

Dia teringat pada hari Adri datang mencarinya ke situ dan memanggil namanya dengan kuat. Tetapi Adri tidak dibenarkan masuk menemuinya. Lara tidak sangka Adri begitu serius mencarinya hingga ke pusat itu.

"Mak tak beritahu, sebab ayah kau marah. Ayah kau kata, perkara ini memalukan keluarga kita. Jadi, biarlah menjadi rahsia ke mana kau menghilang. Jiran-jiran kita yang busybody semua nak tahu pasal kau. Mak cakap kau balik kampung, berubat. Itu saja."

"Tak apa, mak. Lara dah terima hakikat keadaan diri Lara ni."

Cik Biah menitiskan air mata lagi mendengar kata-kata Lara. Merah sudah matanya. Dia mengelap air matanya dengan tissu. Habis basah lencun tissu di tangannya. Dia buang tisu ke dalam bakul di bawah meja. Dia tidak ingin menangis lagi apabila melihat Encik Musa datang bersama Dr. Imran.

"Macam mana Lara? Puan Robiah... semua okey?"

"Okey semuanya, doktor," balas Lara.

"Ya," sahut Cik Biah dengan senyuman.

"Bagus. Lara, awak semakin baik dan pulih. Ingat satu hal, awak boleh lakukan apa saja yang awak mahu. Selalulah berfikir positif dan buangkan fikiran negatif jauh-jauh."

"Ya, doktor." Lara terangguk-angguk.

"Puan, saya dah bincang dengan Encik Musa tadi. Lara akan jalani beberapa aktiviti mengikut jadual dan waktu lawatan juga akan diubah. Saya harap, puan dan encik setuju dengan perubahan itu."

"Perubahan apa?" tanya Cik Biah.

"Untuk tiga bulan akan datang, tiada sebarang lawatan dibenarkan. Selepas tiga bulan, lawatan untuk encik dan puan dibuka semula."

"Kenapa macam tu?" tanya Cik Biah agak cemas tidak dapat menemui Lara dalam masa tiga bulan.

"Sebab masalah Covid yang semakin menular. Harap encik dan puan faham. Kita nak elakkan jangkitan."

"Baiklah." Cik Biah mengangguk berat. Kemudian dia memeluk Lara. Masa lawatan sudah hampir habis.

"Doktor, boleh saya berikan telefon bimbit untuk Lara. Senang kami nak berhubung. Tak dapat jumpa lama tu tiga bulan."

"Boleh."

"Serahkan telefon bimbit Lara pada jururawat khas Lara, iaitu Cik Rozita. Dia akan beri Lara guna telefon bimbit untuk beberapa jam dalam sehari. Maaf, kami terpaksa pantau sehingga keadaan mengizinkan."

"Saya faham," kata Cik Biah. "Lara, mak balik dulu. Kau jaga diri, jangan lupa makan ubat dan patuhlah nasihat doktor."

"Baik, mak." Lara senyum lalu mencium pipi Cik Biah. Sempat dia berbisik, "Mak jangan sedih. Lara okey di sini. Insya-Allah. Satu hari nanti Lara pasti balik ke rumah untuk bersama dengan mak dan ayah."

"Yalah." Cik Biah mulai sebak semula tetapi dia menahan air matanya dari jatuh ke pipi. "Doktor, tolong jaga anak saya. Anak saya tak ramai, seorang perempuan dan seorang lelaki."

"Jangan bimbang, puan. Dia dalam jagaan yang baik," balas Dr. Imran lalu mengiringi Cik Biah dan Encik Musa keluar dari bilik rehat.

MALAM itu selepas makan malam, Cik Rozita menyerahkan telefon bimbit kepada Lara.

"Satu jam, Lara. Awak boleh main telefon ataupun buat call. Tepat pukul sepuluh saya ambil semula telefon dan tutup lampu."

"Baik, Cik Rozita."

Lara membelek telefon bimbitnya. Di dalam buku telefon tiada nombor sesiapa melainkan tiga nama iaitu nama Aidit, Encik Musa dan Cik Biah. Tiada mesej ataupun rekod panggilan. Lara turut mendapati nombor telefon dan sim kadnya sudah bertukar. Dia tidak dapat menghubungi sesiapa. Lagipun dia tiada kawan-kawan baik. Hanya Tina kawan yang dia ada. Dan dia langsung tidak ingat nombor telefon Tina.

Lara membiarkan telefon bimbitnya di atas meja sisi katil. Tiada gunanya telefon bimbit berada dalam genggamannya kerana tiada sebarang nombor telefon. Tiada juga akses Internet. Cik Rozita datang sejam kemudian. Lara sudah pun tidur. Begitu juga rakan sebiliknya, seorang pesakit bipolar sepertinya.

Sekitar jam 1.00 pagi, Lara terkejut apabila rakan sebiliknya Mieza mengejutkannya daripada tidur.

"Kau nak ikut aku tak?"

"Pergi mana?" tanya Lara sedikit terkejut.

"Pergi main kad. Diorang dah tunggu. Bosan tak boleh main apa-apa. Kita pergi main kad nak?"

"Kad apa?"

"Main daun terup. Tapi bukan main judi ada letak duit tu. Main saja suka-suka."

"Jomlah." Lara bangun perlahan-lahan, menahan rasa pening yang menyerangnya secara tiba-tiba. "Tak bolehlah. Aku rasa pening." Dia berbaring semula.

"Kau tak nak pergi tak apalah. Aku pergi dulu."

"Eh, kau pergi berapa lama? Nanti Cik Rozita akan spot check."

Sekitar pukul 5.00 pagi, Cik Rozita akan memeriksa setiap bilik pesakit di bawah jagaannya.

"Kau jangan bimbanglah. Aku pergi kejap aje." Mieza gelak kecil dan berjalan ke pintu dalam suasana suram.

Lara berkalih memusing badannya ke arah katil Mieza. Dia tersenyum melihat keadaan bantal yang disusun Mieza, seperti ada orang sedang tidur dalam keadaan berselimut hingga ke kepala.

Lantak kaulah, Mieza... aku tak nak buat masalah yang akan menyebabkan aku terkurung lebih lama di sini, kata hati Lara sambil memejamkan matanya.

Lara terjaga apabila hidungnya terhidu bau coklat. Di dalam suram cahaya, awal subuh Lara melihat Mieza duduk tercatuk di atas katilnya sambil makan coklat. Beberapa bungkusan coklat dan snek terletak di atas katilnya.

"Makan apa tu?"

"Coklat. Nak?"

"Naklah. Siapa tak nak coklat free. Kau dapat kat mana?"

"Aku menang main terup semalam. Banyak aku dapat coklat dan keropok."

"Kata tak bertaruh."

"Tak bertaruh duit, tapi bertaruh makanan," kata Mieza sambil menghulurkan sekeping coklat bar kepada Lara.

"Tak naklah."

"Laa... tadi kata nak." Mieza bangun lalu meletakkan coklat di atas katil Lara. "Ambil. Tak nak makan sekarang, makan kemudian."

Dari jauh terdengar kerap kasut para jururawat yang memulakan tugas, memeriksa setiap bilik dan memastikan semua pesakit mengikut jadual harian dengan taat. Pukul 6.00 pagi mereka diarahkan untuk bangun membersihkan diri dan bersolat (bagi yang sudah pulih dan boleh menunaikan tanggungjawab sebagai hamba Allah). Kemudian membersihkan bilik masing-masing, memastikan pakaian dan alat kelengkapan diri terjaga rapi dan bersih. Sarapan pada jam 8.00 pagi, kemudian melakukan senaman ringan beramai-ramai di luar pusat.

Lara tiada sesi terapi pada hari itu. Dia akan memulakan kelas seni lukisnya. Dia agak teruja untuk memulakan kelas lantaran dia sudah menyimpan hasrat begitu lama. Entah berapa bulan dia tidak melakar dan memegang berus.

Bunyi derap kasut semakin hampir dengan bilik mereka. Mieza segera memasukkan coklat dan snek ke dalam laci mejanya. Kemudian dia menarik selimut lalu berpura-pura tidur. Lara juga melakukan perkara yang sama. Namun Mieza tidak dapat menahan dirinya daripada ketawa hingga tubuhnya terhenggut-henggut di bawah selimut.

Cik Rozita masuk, membuka lampu bagi menerangi bilik itu. Dia nampak tubuh Mieza yang terhenggut-henggut ketawa di bawah selimut.

"Kenapa gelak-gelak ni? Dah bangun rupanya..."

Lara ikut bangun dan pura-pura menggeliat.

"Selamat pagi, Cik Ita."

"Selamat pagi, Lara. Hari ni awak ada banyak aktiviti ya..." ujar Cik Rozita. Kemudian dia memandang ke arah Mieza. "Dahlah, Mieza. Awak tak payah ketawa macam ada benda yang lucu sangat. Bangun sekarang pergi ke bilik air dan mandi."

"Baik, Cik Ita." Mieza bangun tanpa membuka selimutnya. Dia tetap berkelubung dalam keadaan duduk.

Cik Rozita merenggut selimutnya hingga ke kaki. Mieza tersengih, memperlihatkan dua batang giginya yang dipaliti coklat.

"Patutlah ketawa. Sorok-sorok makan coklat. Mana awak dapat?"

"Rahsia." Mieza gelak-gelak sambil turun dari katil.

Cik Rozita membuka laci lalu mengambil semua coklat dan snek yang tersimpan di situ. Mieza memerhati sahaja dengan wajah cemberut. Hilang sudah gelak tawanya.

"Cik Ita! Cik Ita! Dalam laci Lara tak ada coklat tau! Sumpah tak ada." Mieza angkat tangan seperti bersumpah.

"Ya, saya tahu. Lara tak senakal awak. Entah mana awak dapat... saya akan siasat hingga ke lubang cacing."

"Kenapa tak cari kat lubang jamban? Memang banyak cacingnya," perli Mieza.

"Awak ni! Getik saya dengar. Pergi mandi sekarang! Banyak cakap pulak dah dia."

Lara memerhati sahaja gelagat Cik Rozita dan Mieza. Diam-diam dia berdoa, Cik Rozita tidak akan memeriksa lacinya. Sekeping coklat bar yang diberi Mieza tadi mengeram di situ. Mereka akan makan berkongsi nanti bila keadaan mengizinkan. Cik Rozita keluar dari bilik itu. Dia akan datang semula setengah jam lagi untuk memastikan Lara dan Mieza sudah bersedia untuk ke surau.

SELAMA beberapa hari wajah Adri sugul. Selepas balik daripada Pusat Rawatan Mental DrV, Adri berubah. Hidupnya sudah tidak ceria. Khairul dan Helmi gagal menghiburkan hatinya meskipun mereka berusaha untuk menggembirakan Adri dengan bermacam cara.

"Kau betul-betul dah jatuh cinta pada Lara?"

"Entahlah! Cinta ke?" tanya Adri kembali.

"Cintalah tu. Kau tak dapat lupakan dia. Kau sanggup lakukan apa saja untuk jumpa dia. Kau tak kisah walau siapapun dia. Anak orang miskin ataupun kaya kau tak peduli. Gila ataupun siuman kau tetap mahukan dia," kata Helmi. "Love is the best thing in the world, and the thing that lives the longest," sambungnya lagi.

"Wah, pandai dah bermadah bagai," komen Khairul pula.

"Bukan kata-kata aku. Tu kata, Henry Van Dyke."

"Kau tolong fikirkan macam mana aku boleh dekat dengan Lara."

"Maksud kau?"

"Aku nak masuk ke pusat tu, jumpa Lara. Tapi masalahnya..." Suara Adri terputus dia masih berfikir bagaimanakah untuk masuk ke situ. Nampaknya ia bukan semudah yang disangka.

"Apa masalahnya?" tanya Khairul.

"Masalahnya orang luar tak dibenarkan jumpa pesakit. Hanya keluarga yang dibenarkan."

"Kau menyamarlah jadi adik, abang.... atau suami." cadang Khairul.

"Mana boleh. Maklumat dia ada dalam sistem. Mana boleh tipu melainkan kau berjaya godam. Tapi mustahillah boleh godam diorang punya sistem."

"Haa... aku ada idea." Helmi petik jari.

"Apa dia?"

"Kau ingat tak makwe lama kau, Doktor Zarina tu? Kan dia kerja bahagian psikologi kat hospital Selayang," kata Helmi kepada Khairul.

"Ha'ha... kenapa? Aku dah lama tak contact dialah. Lagipun dia dah kahwin. Mana boleh kacau bini orang," balas Khairul.

"Bukan aku suruh kacau bini oranglah. Mengarut betul. Kau minta tolong dapatkan surat rekomen untuk Adri masuk ke pusat tu!"

"Masuk ke pusat tu?" tanya Khairul masih tidak faham.

"Masuk sebagai pesakit. Maksud aku buat surat palsu yang kata Adri ni sakit mental lepas tu dirawat di situ."

"Idea gila tu! Mana boleh aku jadi pesakit pulak? Buruklah prestasi aku kalau orang tahu. Aku kan anak lelaki tunggal Datuk Idris yang terkenal, handsome, hebat, kaya, bergaya, business man berjaya... mampus aku kalau papa aku tahu," balas Adri, tidak setuju dengan cadangan Helmi.

"Tak payahlah sebut pasal papa kau tu panjang lebar sangat. Meluat pulak aku," kata Khairul.

"Tapi kau nak jumpa Lara tiap-tiap hari kan?" soal Helmi pula.

Adri angguk.

"Dah jumpa dia lepas tu kau keluarlah."

"Ya tak ya juga..." Adri akhirnya bersetuju.

"Tapi ex-girlfriend kau tu nak ke tolong?"

"Manalah aku tahu? Nantilah aku cuba."

"Macam nilah... Kau bawa je aku terus jumpa dia. Biar aku yang bercakap dengan Doktor Zarina tu sendiri," kata Adri sambil tersengih lebar.

"Okey, bila nak pergi?"

"Sekaranglah!" jawab Adri pantas mencapai baju kot dan telefon bimbit.

"Baik, bos."

Helmi mengikut sahaja Adri dan Khairul. Peluang untuk curi tulang tidak akan dilepaskannya.

"AKU dah lama gila tak jumpa dia. Entah-entah dia dah tak ingat aku," kata Khairul sebaik sahaja mereka tiba di hospital.

Mereka bertiga berjalan seiring menghala ke lif. Punat ditekan setelah mereka bertiga masuk ke dalam gawang lif.

"Berapa lama dah kau putus dengan dia?" tanya Adri.

"Tiga, empat tahun adalah kot. Aku pun dah tak ingat. Bercinta pun tak adalah lama ataupun serius sangat. Kurang dari enam bulan dah putus."

"Hmm... dulu kau ni kuat mainkan hati perempuan," tuduh Helmi.

"Dulu siapa yang putuskan hubungan?"

"Aku," jawab Khairul.

"Mungkin dia bencikan kau sebab kau yang putuskan hubungan."

"Ah... malaslah nak jumpa dia." Khairul mula serba salah.

"Janganlah macam tu. Kita dah sampai ni!" kata Adri.

Pintu lif terbuka. Adri dan Helmi sudah keluar. Khairul masih teragak-agak hendak melangkah.

"Cepatlah! Kita nak buat kerja baik ni. Nak temukan Adri dengan Lara. Kau tak nak tolong Adri ke? Kata kawan baik." Helmi separuh mendesak.

"Entah... kata kawan baik sampai mati," balas Adri pula.

"Okeylah. Kalau dia tak kenal aku dah atau buat-buat tak kenal, macam mana ya?"

"Apa susah, kita cabut aje lah. Anggap tak ada rezeki."

Akhirnya Khairul melangkah juga masuk ke bahagian unit psikologi hospital itu.

"Nak jumpa Doktor Zarina."

"Encik ada appoinment ke?" tanya petugas di kaunter pertanyaan.

"Tak ada. Saya bawa kawan saya ni untuk rawatan pertama kali. Saya kawan lama Doktor Zarina. Boleh tak beritahu dia Khairul Effendi nak jumpa."

Petugas itu menghubungi Dr. Zarina dan menyebut nama Khairul. Tidak lama kemudian dia meletakkan gagang telefon dan berkata, "Awak bernasib baik. Hari ni dia free. Boleh masuk terus ke biliknya, di hujung lorong tu, sebelah kanan. Ada nama dia kat pintu."

"Okey, terima kasih," ucap Khairul. Hatinya sedang berdebar-debar untuk berjumpa dengan bekas kekasihnya itu. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro