Bab 6

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

KALI ini, kau tidak akan terlepas dari intipan aku. Adri bercakap sendiri. Sudah agak lama dia mengekori Aidit. Sejak Aidit bertolak meninggalkan restoran tempat kerjanya, Adri mengekori. Dia sanggup mengikut ke mana sahaja Aidit pergi menghantar makanan walaupun sehingga lewat malam.

Adri meletakkan keretanya tidak jauh dari rumah Aidit. Dia nampak Aidit masuk, kemudian menutup pintu pagar. Jadi, Lara dan keluarganya tinggal di sini rupanya. Adri tersenyum puas. Dia akan datang mencari Lara di rumah itu. Hatinya bagaikan meronta-ronta ingin tahu berkenaan diri Lara.

Semasa pertemuan terakhir mereka dua minggu lepas, Adri lihat Lara sihat sahaja. Pada malam majlis hari jadinya itu pula, Lara menari dengan penuh bertenaga, langsung tidak menunjukkan bahawa dia sakit.

Mungkinkah Aidit menipu menyatakan Lara sakit? Mungkin dia tidak ingin Adri mendekati kakaknya itu. Jika diikutkan hati Adri, dia ingin muncul di hadapan pintu rumah Lara untuk bertemu dengannya. Biar Lara terkejut. Dia ingin menyatakan sesuatu pada Lara. Perasaan yang baru hadir di dalam hatinya. Dia sendiri tidak mengerti mengapa begitu cepat dia sukakan Lara. Suka atau cinta, yang mana satukah perasaan itu Adri sendiri tidak pasti. Apa yang pasti, dia menyukai saat-saat bersama dengan Lara. Dan dia tidak ingin saat itu berlalu. Jika boleh biarlah ia kekal.

Adri memusing keretanya meninggalkan kawasan rumah Lara.

ESOKNYA dia hadir ke pejabat dengan wajah ceria. Khairul dan Helmi segera menjengah masuk ke bilik kerjanya.

"Happy je pagi ni!" tegur Helmi.

"Aku dah tahu rumah Lara. Aku dah siasat."

"Huh! Beria-ia betul nampaknya kau dengan perempuan tu. Tak pernah kau berperangai macam ni!"

"Salah ke?" tanya Adri sambil membuka laptopnya.

"Tak salah. Cuma aku pelik, kau ni dah jatuh cinta dengan Lara ke? Baru jumpa dua kali kot?" celah Khairul pula.

"Cinta bukan diukur dengan masa tapi perasaan. Cinta itu perasaan yang lahir tanpa dipinta. Lahir tanpa sengaja, tanpa dirancang. Hatiku ini dah dicuri," kata Adri.

Helmi mengetuk-ngetuk meja dengan jemarinya. "Falsafah... Falsafah cinta."

"Pakar cinta dah mai dah..." Khairul tergelak kecil.

"Patut tak bagi kitorang datang melepak, rupanya nak jadi detektif, memburu cinta yang penuh misteri."

"Misteri bak hang. Aku pergi intai dan dah tahu rumah dia kat mana. Nanti aku nak pergi terjah. Biar terkejut beruk Lara tengok aku datang," ujar Adri, kenyit mata. "Tapi adik dia cakap, Lara sakit."

"Sakit? Sakit apa?" tanya Khairul.

"Tulah yang masih misteri tu. Aku tengok dia sihat aje. Fizikallah nampak sihat."

"Macam mana dengan mental?"

"Kau jangan, Khai! Mulut tu ada insuran ke tak? Kang kena saman... niaya. Orang sekarang ni tak ada kompromi dah, main saman aje. Mental ni sensitif jangan buat main... Dia normal lah aku tengok." Adri mempertahankan pendapatnya.

"Yalah, mungkin yang senget tu kau. Pergi intai rumah orang."

"Hisy... kau ni, Khai! Bakal makwe dia kot, biarlah dia nak intai ke... skodeng ke!" kata Helmi sambil gelak.

Adri tersengih-sengih mendengar kata-kata Helmi.

"Jom... aku belanja sarapan." Adri bangun lalu menutup komputer ribanya.

Helmi gelak kecil.

"Rezeki wehhhh... jangan tolak."

"Aku nak ikut! Belanja aku sekali."

"Hai, tadi kata aku senget."

"Gurau je. Takkan sensitif sangat dah sekarang, gurau pun tak boleh," balas Khairul.

Mereka bertiga terus keluar dari pejabat untuk minum pagi di kafe yang terletak di tingkat bawah bangunan itu. Kafe itu masih dibuka dengan bersyarat mengekalkan penjarakan sosial dan lain-lain SOP. Pelanggan tidak dibenarkan melebihi sepuluh orang untuk makan ataupun minum di situ.

Dalam keadaan virus yang mulai merebak di seluruh negara, secara automatik orang ramai mulai mengelak untuk keluar tanpa tujuan ataupun bergembira dengan makan di kafe serta restoran secara berkumpulan.

Petang itu, selepas habis waktu kerja, Adri singgah di kedai bunga lalu membeli sejambak mawar merah. Dia memandu menuju ke rumah Lara. Dengan rasa tidak sabar, dia terus bergerak laju menghala ke pintu pagar rumah. Kebetulan Cik Biah sedang menyiram bunga di ruang halaman rumah yang comel itu. Dia terkejut melihat seorang pemuda, bertali leher kemas, dengan kemeja dan seluar slack memegang sejambak bunga.

"Puan, ini rumah Larasati Aisya?" sapa Adri dengan sopan.

"Anak ni siapa?"

"Saya kawan Lara," jawab Adri dengan hormat dan harapan Cik Biah akan menerima kedatangannya lalu mengajak dia masuk.

"Lara tak pernah cerita dia ada kawan..." Cik Biah terus menutup kepala pili lalu mendekati Adri yang masih berada di luar pagar. Dia langsung tidak membuka pintu pagar dan mengajak Adri masuk.

Dahi Cik Biah berkerut-kerut menatap wajah Adri yang kacak itu. Senyumannya yang manis dan mesra membuat hati Cik Biah terdenyut-denyut. Dia tidak percaya Lara mempunyai kawan lelaki. Tidak pernah sekalipun Lara bercerita tentang lelaki selama ini.

"Kami baru kenal. Nama saya Adri."

Cik Biah mengangguk.

"Bunga ni untuk Lara," kata Adri lagi. "Saya nak jumpa dia.

Cik Biah menelan liur pahit. Dia termenung sejenak. Bercampur-baur perasaannya itu. Perlukah dia percaya Adri itu adalah kawan Lara? Apakah anak muda di hadapannya itu benar-benar jujur?

"Saya tahu, Lara sakit. Aidit dah beritahu saya segala-galanya. Lara tidak ada di rumah ke? Di mana dia dirawat?"

Cik Biah memandang tepat ke wajah Adri. Jadi, Aidit kenal Adri? Mungkin, lelaki ini benar-benar jujur.

"Memang Lara sedang dirawat sekarang. Dia tak ada di rumah. Sekarang ni dah mulai PKP, jadi waktu melawat pun sudah agak terbatas. Mak cik ada pergi melawat dia minggu lepas," jelas Cik Biah.

Adri mengangguk.

"Saya faham. Tapi kalau boleh saya nak jumpa dia. Di mana dia dirawat, mak cik?"

"Mak cik tak tahu di mana. Aduh, lupa pula nama pusat rawatan tu..," kata Cik Biah, termenung sejenak sambil berfikir-fikir. Dia memang tidak ingat langsung. Dia hanya mengikut sahaja suaminya. "Pusat tu di KL?"

Cik Biah mengangguk. Ketika itu Encik Musa keluar dari rumah. Sejak tadi dia hairan melihat isterinya berbual-bual dengan seorang anak muda.

"Ada apa ni?"

Adri pantas menjawab, "Saya kawan Lara. Saya datang nak jumpa dia tapi mak cik kata Lara tak ada. Boleh saya tahu, di mana Lara dirawat?"

Wajah Encik Musa tampak berubah. Dia menyuruh Cik Biah masuk dengan suara yang tegas, mengandungi rasa marah dan geram.

"Tak perlulah encik beria-ia mencari anak kami. Dia tak dibenarkan berjumpa dengan sesiapa selain keluarganya."

"Tapi kenapa, pak cik? Serius sangat ke penyakitnya tu? Saya ikhlas," jawab Adri, hatinya sudah mulai kecewa.

"Ikhlas? Tak usahlah awak cakap soal ikhlas kalau awak tak tahu hakikat penyakit anak kami. Mungkin nasib dia agak malang sebab menderita penyakit Bipolar Disorder. Jangan datang lagi ke sini, mengaku sebagai kawan lepas tu tinggalkan dia bila tahu keadaan dia. Tolong pergi dari sini!" Encik Musa berpaling untuk masuk ke rumah, meninggalkan Adri termangu-mangu.

"Tapi, pak cik... Tunggulah. Saya nak cakap lagi ni! Saya betul-betul ikhlas."

"Sudahlah! Pergi dari sini!" kata Encik Musa sambil masuk ke dalam rumah dan menutup pintu.

Adri benar-benar kecewa melihat reaksi ibu bapa Lara. Dia berjalan lemah menghala ke kereta. Jambangan bunga yang dibawanya untuk Lara, dicampakkannya ke kusyen belakang. Dia terus pulang ke rumah dengan hati walang.

MALAM itu, Adri membuka google search untuk mendapatkan maklumat tentang penyakit Bipolar Disorder. Gangguan Bipolar Disorder sering dianggap sebagai satu bentuk kecacatan watak seseorang. Ciri-ciri Bipolar Disorder biasanya dapat dilihat melalui gejolak emosi yang berlebihan. Jika tidak ditangani dengan baik, gejalanya akan menjadi buruk dan menyebabkan komplikasi berbahaya.

Adri membaca satu per satu tentang ciri-ciri Bipolar Disorder lalu cuba mengaitkannya dengan tingkah laku Lara. Dia menepuk dahi beberapa kali, baru mengerti mengapa Lara bertindak demikian. Bukankah sesuatu yang pelik, muncul di parti hari jadi yang tertutup, di suatu tempat asing? Kemudian menari seperti orang mabuk yang tidak akan kehabisan tenaga.

Penyakit ini juga disebut sebagai kecelaruan dwikutub, sejenis penyakit mental yang menyebabkan perubahan emosi, tingkah laku dan pemikiran.

Adri meraut wajahnya beberapa kali, tidak percaya Lara menderita penyakit Bipolar Disorder. Ada beberapa sebab yang membuat seseorang itu mengalami kecelaruan dwikutub. Dia tidak tahu apa yang menjadi penyebab hingga Lara mengalaminya. Mungkin yang menjadi pencetus kerana masalah hubungan keluarga, kehilangan pekerjaan, masalah kewangan dan penyalahgunaan dadah.

Adri turut membuat carian mengenai pusat rawatan mental yang ada di Kuala Lumpur. Ada tiga buah pusat rawatan mental di ibu kota. Dua daripadanya adalah pusat rawatan kerajaan dan satu lagi pusat rawatan swasta dan mendapat bantuan kewangan daripada pelbagai badan bukan kerajaan (NGO).

Adri menelefon kakaknya, seorang doktor yang memiliki klinik sendiri. Kakaknya, Dr. Salmi pernah bertugas di beberapa buah hospital kerajaan sebelum berhenti dan membuka klinik sendiri. Suaminya juga seorang doktor, pakar bedah di hospital kerajaan.

"Ada apa, Ri? Dah lama tak call Kak Sal. Adri okey tak?"

"Saya okey je, kak. Cuma ada sesuatu nak tanya dengan kakak ni."

"Apa dia?"

"Nak tanya pasal pesakit Bipolar Disorder."

"Bukan bidang akak, dik. Kakak tak berapa tahu. Lebih baik kau tanya pada pak cik google."

Adri tertawa kecil mendengar kata-kata kakaknya itu. "Bagaimana dengan abang?"

Dr. Salmi tertawa.

"Beria-ia nampaknya. Ada apa-apa ke yang berkaitan dengan, Ri? Jangan sampai Ri yang menghidap penyakit ni. Tension sangat kerja dengan papa?"

"Taklah. Kawan Ri... Dia menderita bipolar."

"Setahu kakak, pesakit ni mengalami sekurang-kurangnya sekali episod mania, hypomania dan pernah juga mengalami episod depresi."

"Soalan paling penting, boleh ke pesakit bipolar ni sembuh? Boleh hidup seperti manusia normal dan berhadapan dengan masyarakat?"

"Boleh. Setiap penyakit pasti ada ubatnya, Ri. Macam-macam kaedah rawatan yang diberikan kepada penghidap. Ubat-ubat, terapi, sokongan sosial dan spiritual."

Adri melepaskan keluhan lega. Setiap penyakit pasti ada ubatnya.. Dia mengulangi semula kata-kata Dr. Salmi di dalam hati. Lara pasti akan sembuh dan hidup seperti orang lain.

ADRI keluar awal pagi menuju ke Klang. Dalam perjalanan dia menghubungi Mazni.

"Mazni, kalau ada orang cari saya, terutama sekali Datuk, bagi tahu dia saya ada hal penting pagi ini. Saya akan masuk ke pejabat selepas makan tengah hari."

"Okey, Encik Adri. Tapi Encik Adri pergi ke mana?"

"Ada hal peribadi," jawabnya ringkas sambil terus meletakkan gagang.

Sekitar jam 9.00 pagi, Adri tiba di Pusat Rawatan Mental DrV yang terletak di Klang. Dia memandu melalui pintu pagar pusat itu yang terbuka luas, tetapi ditahan oleh pengawal bertugas.

"Encik ada urusan apa?" tanya pengawal pusat itu, dengan wajah yang serius.

"Nak jumpa pesakit."

"Hubungan?"

"Err... keluarga."

"Okey, untuk pelawat luar sila parkir di sebelah kanan bangunan," arah pengawal sambil menunjuk ke arah kawasan parking di sebelah kanan bangunan itu.

Adri mengangguk lalu terus memandu masuk ke kawasan parkir. Tidak banyak kereta pelawat pada hari itu. Hanya ada beberapa buah sahaja. Mungkin sebab hari itu hari bekerja, jadi pelawat yang datang berkurangan.

Adri terus bergerak ke arah pintu hadapan pusat itu dan melangkah masuk. Di kaunter penyambut tetamu seorang petugas ada di situ. Kawasan kaunter, ruang yang bertutup rapat dengan dinding cermin. Hanya ada satu lubang kecil untuk bercakap dengan pelawat yang datang.

"Ada apa, encik?" tanya penyambut tetamu.

"Saya nak jumpa pesakit."

"Nama."

"Larasati Aisya."

"Binti?"

Adri terdiam. Dia tidak tahu nama bapa Lara.

"Ah... Tak perlulah formal sangat. Saya kan selalu datang sini? Awak tak cam sebab saya pakai mask dan cermin mata hitam," kata Adri sambil tersenyum di sebalik pelitup muka.

"Nama encik."

"Adri."

"Bagi nama penuh encik."

"Muhammad Adri bin Datuk Idris. Nombor IC, nombor pasport dan alamat tak nak ke?" tanya Adri separuh menyindir.

Bulat mata penyambut tetamu itu mendengar sindiran Adri. Walaupun Adri tidak nampak sepenuhnya wajah penyambut tetamu itu yang dilindungi pelitup muka tetapi dia tahu gadis itu menahan geram.

Dia menekan butang kekunci komputer dan membuat carian. Adri sabar menunggu.

"Apa hubungan encik dengan pesakit?" tanya penyambut tetamu.

Adri separuh merungut memberitahu bahawa antara dia dan Lara ada hubungan keluarga. Walaupun itu satu penipuan, tetapi dia sanggup melakukannya. Dia amat berhasrat untuk bertemu dengan Lara. Matanya mencuri-curi ke bahagian dalam. Beberapa orang pesakit kelihatan sedang berjalan mundar-mandir di ruang tamu. Ada yang duduk sendirian, termenung dan bercakap seorang, ada yang mengganggu orang lain. Pelbagai ragam dapat dilihat.

Tiba-tiba Adri ternampak Lara sedang berjalan melalui satu lorong dengan diiringi seorang jururawat. Lantaran teruja melihat Lara, dia terus terjerit. "Lara!"

Lara memandang sekilas ke arahnya tanpa memberikan sebarang reaksi. Jururawat yang bersama dengannya terus mendorong Lara memasuki sebuah bilik dan menutup pintu dengan cepat. Adri tersenyum lantaran tekaannya tepat, Lara dirawat di sini.

"Tak ada nama encik di dalam daftar pelawat," ujar penyambut tetamu.

"Tapi... tapi Lara ada di sini. Saya nampak dia tadi."

Penyambut tetamu memandang sahaja wajah Adri tanpa sepatah kata.

"Benarkan saya masuk jumpa dia!"

Tanpa diduga, Adri terus masuk lalu menuju ke satu lorong yang ada deretan bilik-bilik yang bertutup rapat. Dia cuba mengagak bilik yang mungkin dimasuki Lara tadi.

Penyambut tetamu menjerit lalu keluar dari ruangannya. "Encik! Encik tak boleh masuk!" jeritnya.

Namun Adri tidak peduli. Dia memanggil nama Lara beberapa kali.

"Pengawal! Pengawal!" Penyambut tetamu memanggil pengawal yang berada di hadapan pintu masuk.

Dua orang pengawal berbadan tegap masuk lalu terus memegang kedua-dua lengan Adri.

"Awak tak boleh berada di sini. Awak tak dibenarkan masuk. Hanya keluarga yang boleh. Awak faham tak?"

Adri terus diheret keluar. Pengawal itu menolak Adri keluar ke pintu utama kemudian kedua-duanya berdiri menghadap pintu cermin itu. Dia merengus dan meludah ke tanah.

"Kenapa susah nak masuk ke sini, hah? Hebat sangat ke tempat ni?"

"Bukan kira hebat tak hebat. Di sini tempat pesakit mental. Kena ikut prosedur."

"Habis... kalau nak masuk ke sini, kena ada penyakit mental, gitu?" kata Adri gagal membendung rasa marah dan geram kerana diheret keluar seperti orang yang tiada tamadun.

Kedua-dua pengawal itu menunjukkan wajah serius, bercekak pinggang dan berkata hampir serentak.

"Pergi dari sini! Sebelum kami lakukan kekerasan untuk halau encik."

"Tak payah guna kekerasanlah," balas Adri.

"Aku akan dapat juga masuk ke sini nanti untuk jumpa dengan Lara. Aku akan hubungi atasan kau orang. Masa tu kau tak boleh lagi nak halau aku. Bodoh!" Adri gagal mengawal kemarahannya lagi.

Kedua-dua pengawal itu tersenyum sinis. Mereka tidak mempedulikan Adri lagi. Adri bergerak pergi dengan hati yang bengkak. Dia berazam akan menggunakan apa jua cara untuk dekat dengan Lara.

"KAU dah gila?" sambut kedua-dua rakan baiknya apabila Adri menceritakan perihal Lara yang sedang dirawat pusat itu. Mereka terkejut Adri sanggup pergi mencari Lara dan bersungguh-sungguh untuk menemui gadis itu tidak kira apa cara sekalipun.

"Kalau dia ada penyakit mental, mungkin dia dah tak ingat kau, Adri. Sia-sia saja kau nak cari dan jumpa dia," soal Khairul

"Dia ingat akulah. Sebab masa aku panggil dia, dia pandang."

"Dia pandang lepas tu apa reaksi dia?" celah Helmi.

"Tak ada reaksi apa-apa. Just pandang lepas tu jururawat tu bawa dia masuk bilik," cerita Adri tentang pertemuan singkatnya dengan Lara. "Kau rasa, dia ingat aku lagi tak?"

Khairul angkat bahu. Helmi cebikkan bibir.

"Kenapa kau beria-ia sangat nak rapat dengan Lara tu? Kau dah tahu dia macam tu, masih lagi nak berkawan ke?" Khairul bertanya ingin tahu.

"Entah! Ramai lagilah perempuan normal kat KL ni. Kenapa nak pilih perempuan sakit mental? Peliklah!" kata Helmi.

"Korang tak faham."

"Apa yang kami tak faham? Cuba kau cakap." Helmi memandang tepat wajah Adri.

Adri hanya merengus. Dia tidak mahu lagi bercakap dengan kawannya itu. Dia bangun lalu mencapai telefon bimbit dan bergerak keluar.

"Kau nak pergi mana tu? Baru aje masuk pejabat dah nak keluar ke?" tanya Khairul.

"Argh!" Adri merengus kasar, tidak menoleh lagi ke belakang lalu terus keluar dari pejabat.

Dia memandu tidak menentu, akhirnya singgah di taman tasik yang sepi. Sejurus dia duduk menghadap tasik sambil berfikir tentang Lara. Kenapa dia obses dengan Lara, dia sendiri tidak tahu. Benar kata Khairul dan Helmi, ramai lagi perempuan di Kuala Lumpur ini. Cantik, bergaya, bijak dan yang penting normal dan bukannya otak senteng seperti Lara. Namun mereka semua tidak menarik perhatiannya. Saat itu dia terbayangkan wajah Lara, yang memandang sekilas padanya. Dia seperti melihat ada cahaya ceria di dalam mata Lara saat mata mereka bertembung.

Tapi bagaimanakah caranya untuk dia masuk ke pusat itu? Hanya keluarga yang dibenarkan melawat. Rupa-rupanya pusat itu mempunyai prosedur yang ketat berkaitan dengan pesakit. Mulanya Adri fikir, sesiapa pun jua boleh datang untuk menemui pesakit.

Lara, aku akan datang dan berada dekat dengan kau. Percayalah! Aku akan bantu kau untuk pulih. Selepas itu, kita akan jalani hidup yang indah bersama. Aku janji, aku tidak akan mengecewakan kau, Adri berbisik sendirian amat yakin pada perasaan yang baru tumbuh di hatinya. Perasaan yang mendorong dia melakukan kerja 'gila' kerana gilakan Lara.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro