Bab 2

Màu nền
Font chữ
Font size
Chiều cao dòng

Pian menoleh ke arah banglo tiga tingkat yang terletak betul-betul bertentangan dengan kedudukan kediaman ibu bapanya. Rumah mewah berdindingkan kaca yang dimiliki oleh arwah neneknya, Dahlia itu masih kosong tidak berpenghuni. Masing-masing, mahu menguasai vila tersebut.

"Hah, awal balik Pian?" sapa Ungku Fiona.

"Haah, ma. Pian nak naik atas kejap. Nak rehat. Penat."

"Mama ada minta tukang masak masakkan gulai itik kegemaran kamu. Kamu tak nak makan dulu? Mama sejak tadi belum makan apa-apa. Marilah temankan mama makan."

Pian serba salah. Perutnya sudah penuh diisi sebelum pulang tadi. "Wah, tentu sedap! Tapi kalau mama Pian ni masak, tentu lagi sedap, kan?"

Bahu si ibu itu dipeluk. Ungku Fiona tahu sangat dengan mulut manis anak terunanya itu. Pandai betul mengambil hatinya.

"Pian tu sepatutnya bawak pulang menantu. Biar menantu pulak masakkan untuk mama. Ni asyik makan air tangan maid aje. Kalau Trisya ada dulu, merasa jugak air tangannya. Budak tu memang pandai masak."

Kening Pian dijongket sebelah. Tiba-tiba sahaja Ungku Fiona menyebut nama Trisya. "Pian tak puas nak manja dengan mama lagi. Lagipun Pian mana ada masa nak kahwin, ma?"

"Dah anak mama ni tamak sangat sampai pergi bolot banyak bidang perniagaan tu, kenapa? Tak cukup dengan hotel, kamu buka kafe. Tak cukup dengan tu, kamu pergi buka kedai dobi. Lepas tu, kamu buka kedai komputer. Lepas tu, pusat pakaian terpakai. Sehinggakan kalau tak salah mamalah, kamu dah ada..."

"Alah, ma ni! Biarlah Pian dengan cara Pian. Selagi benda tu boleh mendatangkan untung kepada Pian, selagi tu Pian rasa okey untuk buat semua tu. Lagipun Pian muda lagi. Masih banyak benda yang Pian nak kena belajar. Bukannya semua tu tak datangkan untung pada Pian. Tengoklah simpanan Pian tu, berkepuk-kepuk walaupun orang nampak Pian ni cikai aje tau!"

"Mama tak marah kamu nak punya berapa banyak perniagaan pun. Cumanya sepupu-sepupu kamu tu berlumba-lumba nak jadi pewaris kepada Maju Desa! Kamu masih main-main lagi dengan perniagaan kecik-kecik itu! Tu yang mama risau."

Pian melepaskan tangannya yang memaut bahu Ungku Fiona. Kerusi yang berada di hujung meja makan ditarik lalu dia mempersilakan ibunya itu duduk.

'Siapa aje yang hairan, ma? Cucu-cucu tok wan tak hairan pun!' Kerusi yang berada bersebelahan pula ditarik. Dia melabuhkan punggung. Beberapa orang pembantu rumah mula menghidangkan makanan.

Ligat akal Pian berfikir bagaimana cara untuk menghentikan Ungku Fiona daripada terus bercakap perihal Maju Desa Development Group Berhad itu. Dia tidak berminat. Perniagaan-perniagaan yang dimilikinya sudah memberikan pulangan lumayan lebih daripada keperluannya.

Malisa yang menyedari kepulangan Pian, segera bersembunyi. Dia tidak mahu terserempak dengan lelaki bermulut durjana itu.

"Pian jumpa Trisya tadi." Dia cuba tukar topik. Dia tahu ibunya itu suka kalau dia menyebut nama Batrisya.

Ungku Fiona yang baru hendak menyua makanan ke dalam mulut, pantas menoleh ke arah anak lelakinya itu.

"Jumpa kat mana?"

"Parti. Tapi Trisya sampai lewat. Majlis dah nak habis, baru dia sampai."

"Lama mama tak jumpa dia. Sejak tok wan meninggal, tak pernah dia jenguk mama kat sini." Ungku Fiona teringat tentang aduan Trisya beberapa hari selepas kematian Almarhumah. Mungkin kerana dia memarahi gadis itu dengan teruk, gadis itu merajuk dan tidak muncul-muncul hingga sekarang.

Pian melempar jelingan kepada ibunya itu. "Serius ke mama nak jumpa Trisya? Bukan mama, abah dan seluruh keturunan Ungku Omar tak suka dengan Trisya?"

Ungku Fiona tergelak. "Mama tak ada masalah pun dengan Trisya. Mama okey aje dengan dia. Dia pun anak mama jugak."

"Yalah tu, ma. Tak pernah pun Pian tengok mama mesra dengan dia. Bukan ke semua tu lakonan aje? Mama tak suka dia, kan?"

Riak Ungku Fiona berubah. "Kenapa kamu fitnah mama macam tu? Mama baik-baik aje dengan Trisya tu. Takkan mama nak tunggu kamu ada kat depan mama baru mama nak bercakap dengan dia?"

Pian menghambur tawa. Terasa diperli pun ada. Gelas berisi minuman dicapai lalu diminumnya perlahan-lahan.

"Yalah, ma. Pian salah."

"Takkan mama tak suka bakal menantu sendiri?" Ungku Fiona tidak pasti dengan ayatnya sendiri. Trisya itu entah dari mana asal usulnya. Dia yang berasal daripada keluarga hartawan manakan mungkin bermenantukan anak pungut.

Pian terbatuk. 'Mama tahu ke aku suka Trisya?'

"Mama cakap apa ni?"

Ungku Fiona senyum. Daging itik diambil dengan sudu lalu dicampurkan dengan nasi. Kemudian disua ke dalam mulut.

"Sebelum tok wan pergi, tok wan pernah tinggalkan pesan. Supaya kamu jaga Trisya tu baik-baik."

Pian diam. Dia bukan lupa tetapi hubungan dia dengan Trisya tidak pernah elok dari dulu. Macam anjing dengan kucing. Trisya kalau dengan orang lain lembut gigi daripada lidah tapi kalau dengan dia, macam harimau beranak muda.

Apapun, dari dulu lagi dia curiga dengan keikhlasan ibu bapanya melayani Trisya. Sama ada betul-betul ikhlas atau ada udang di sebalik batu. Dia tidak pasti.

"Kamu itulah yang selalu usik dia masa kecil dulu sehingga Trisya tu marahkan kamu sampai sekarang. Gemuklah! Montellah! Tong dramlah! Tengok bila dah besar! Cantik melecun!"

Pian menggaru-garu kepalanya. Memang selepas Trisya dijaga oleh tok wan, badan Trisya naik berpuluh kilogram. Sehingga badan yang sekeping itu membesar seperti belon. Itu yang selalu jadi bahannya untuk mengejek dan membuli.

Manalah dia tahu Si Trisya yang tembam itu akan menjadi cantik seperti sekarang. Dulu, memang dia benci tapi bila dah dewasa baru dia sedar, benci yang dia tanam bertukar menjadi cinta.

"Abah pernah cakap dengan mama. Kalau kamu dengan Trisya tu menikah, besar harapan kamu yang jadi pewaris Maju Desa."

Pian meneruskan suapan ke dalam mulut. 'Mama nak aku nikah dengan Trisya sebab syarikat. Kalau sungguh aku ni berjodoh dengan Trisya, tentu perempuan tu akan salah faham. Seribu kali aku cakap pun, dia tentu tak percaya. Tentu dia fikir, aku ni nikah dengan dia sebab harta.'

"Mama akui, Trisya tu memang calon menantu yang baik."

Pian meletakkan sudu dan garpu di atas pinggan. Perutnya terasa sedikit membuncit. Kenyang amat. Kain napkin didekatkan ke bibir lalu ditekap-tekap. Ekor matanya melirik ke pinggan Ungku Fiona. Sudah kosong dan licin. Pian bangun.

"Pian nak naik atas dululah, ma. Pian penat ni. Pasal Trisya tu, mama jangan berharap sangat. Bukan Pian tak nak ikut pesan tok wan tapi Trisya tu pun tak suka dengan Pian. Apa Pian boleh buat?"

Pian mendaki anak tangga dan masuk ke dalam bilik. Kepalanya sejak tadi semak memikirkan punca Trisya muncul seksi di hadapannya sebegitu. Seakan-akan sengaja melakukan sesuatu yang dia tidak suka.

'Ah, kau ni, Pian! Kau tu siapa sampai dia nak provoke kau? Awek cun macam dia tu, tak kepingin pun untuk tarik perhatian kau. Nak pandang muka kau pun dia tak ingin!' Butang kemeja putih yang dipakainya dibuka satu per satu. Badan sasanya itu terasa melekit dek peluh. Kakinya diatur ke arah satu pintu sliding berwarna kelabu.

Pintu tersebut ditolak. Sebuah bilik bersaiz agak besar memuatkan kesemua pakaian dan aksesori milik lelaki itu dimasuki. Tuala putih yang kemas tersusun di atas rak diambil. Dia terus menuju ke bilik air. Pancur air yang berfungsi dengan cara mengesan pergerakan, mengalirkan air apabila Pian berdiri betul-betul di bawahnya.

Pian mendongak membiarkan wajahnya dihujani air. Wajah Trisya masih lagi bermain-main di ruang matanya.

"Ah, gila! Kenapa aku asyik nampak muka dia? Hati, jangan kau cinta dengan dia. It's okay kalau setakat suka sebab dia tu comel. Tolong, tolong jangan jatuh hati pada singa tu!"

Haq melipat surat khabar dan meletakkannya di atas meja. Kepala ditoleh ke belakang. Dari cermin lut sinar itu, dia dapat melihat kelibat Trisya bersama dua orang lelaki sedang berjabat tangan. Dia segera bangun apabila melihat ketiga-tiganya mula bergerak ke arah pintu.

Haq hanya memasang telinga mendengar Trisya menolak pelawaan mereka untuk menikmati minum petang bersama-sama. Sungguhpun kalau tiada perancangan lain, Trisya tetap akan menolak cadangan tersebut. Perbincangan yang memakan masa dua jam itu sudah jauh daripada kebiasaan yang dilakukan oleh gadis itu.

"Jom!" arah Trisya.

"Baik, Cik Trisya."

Haq menundukkan sedikit kepalanya kepada kedua-dua lelaki muda itu. Kemudian dia mengekori Trisya dari belakang. Dia berlari-lari anak apabila jarak Trisya tidak berapa jauh dari kotak lif.

"Silakan, Cik Trisya."

Trisya menapak memasuki perut lif diikuti oleh Haq. Jejaka berbadan tegap itu menekan punat bertanda G.

Trisya mengeluarkan telefon dari poket kot. Satu notifikasi muncul di skrin. Simbol aplikasi WhatsApp dibuka. Mesej daripada lawyer Wardah.

Salam. Cik Trisya diminta hadir ke Vila Idaman pada jam 9 malam ini bersempena ulang tahun kematian Almarhumah Datin Paduka Dahlia. – Wardah

"Balik ke HQ." Telefon dimasukkan kembali ke dalam poket.

"Baik, Cik Trisya."

Lif berdenting. Pintu lif terbuka. Mereka sama-sama bergerak ke parkir. Haq mengeluarkan kunci. Penggera dimatikan.

"Malam ni saya nak awak datang ke Vila Idaman. Jam 8.45 malam. Pastikan awak berada di sana sebelum saya datang."

Haq mengangguk seraya membukakan pintu MPV itu. Sebaik sahaja Trisya melabuhkan punggung di atas kerusi, Haq masuk ke bahagian tempat duduk pemandu lantas menghidupkan enjin.

"Pakai kemeja, T-shirt atau apa sahaja yang awak rasa selesa tapi pastikan ia berwarna putih."

"Cik Trisya nak saya datang ambil Cik Trisya ke sana?"

"Tak payah. Saya nak ke pusara tok wan saya lepas selesai semua kerja nanti. Kemudian saya terus balik ke kondo malam ni. Jadi, saya akan pergi sendiri ke vila tu. Ambil ni." Sekeping kad dikeluarkan lalu dihulur.

Mata Haq memandang kepingan kad berwarna hitam itu dengan pandangan kosong. "Untuk apa?"

"Beli pakaian baru. Khas untuk malam ni."

Berat tangan Haq untuk ambil huluran kad tersebut. Kepalanya diangguk tanda patuh. Trisya menanggalkan kot. Dilipat lalu diletakkan di atas kerusi bersebelahan dengannya.

"Terima kasih, Cik Trisya."

"Pastikan awak akui saja apa yang saya cakap malam ni."

"Baik, Cik Trisya."

"Pandu ke HQ sekarang. Nanti saya mahu awak lakukan sesuatu."

"Baiklah, Cik Trisya." Haq memusingkan badannya ke hadapan dan mula memandu.

Jam di dinding tepat 8.30 malam. Trisya mencalitkan gincu berwarna merah jambu ke bibirnya. Rambutnya dibiarkan lepas bebas. Sebotol pewangi diambil lalu disembur ke tubuh. Berpuas hati dengan penampilannya, dia mencapai tas tangan. Kunci kereta yang diletakkan di atas meja di tepi katil diambil.

Dia bergerak keluar dari bilik. Stiletto berwarna putih turut disarung. Kemudian dia terus berjalan keluar dari rumah. Automatik pintu rumahnya terkunci sebaik sahaja ditutup.

Trisya menuju ke arah lif. Sekejap sahaja daun pintu lif berdenting. Seorang lelaki yang dalam keadaan terhuyung-hayang keluar dari perut lif tersebut.

Trisya mengundur beberapa langkah. Tidak mahu lelaki itu terlanggar dirinya yang berdiri di situ. Jari telunjuk menutup hidung. Tidak tahan dengan bau alkohol.

"Hot chick! Hot chick!" panggil jejaka yang sedang mabuk itu seraya tergelak-gelak. Kembang kempis hidungnya terbau wangian yang seperti pernah dia hidu.

Trisya hanya menggeleng kepala lalu lolos ke dalam lif. Punat lif ditekan. Sebentar kemudian ia kembali terbuka. Trisya melangkah menuju ke keretanya. Dalam beberapa minit, kereta yang dipandu mula bergerak. Jarinya menyentuh skrin yang berada di tengah kereta. Nombor telefon Haq dihubungi.

"Haq, awak dah sampai di sana?"

"Saya dekat nak sampai ni, Cik Trisya."

"Parkir awak punya kereta jauh sikit. Nanti naik sekali dengan saya."

"Hah?" Haq tidak faham. Siang tadi dia menerima arahan yang berbeza.

"Cik Trisya?"

"Kejap, lagi dua minit saya sampai." Trisya memutuskan talian. Kakinya terus menekan minyak lalu kereta yang dipandunya menderum kuat.

Haq terpinga-pinga. Akur dengan arahan, dia menghentikan keretanya di bahu jalan berdekatan dengan sebuah warung. Tali pinggang keselamatan ditanggalkan. Dia melangkah keluar dari kereta. Jam di tangannya dikerling. Panjang lehernya mencari kelibat Trisya.

Telefonnya dikeluarkan. Kedudukan Trisya yang sedang menuju ke arahnya diperhati. Silau cahaya lampu dari kenderaan itu membuatkan Haq memicingkan sedikit mata dan berpaling ke arah lain.

Simbol kedudukan Trisya pada telefon menunjukkan ia hanya berada berdekatan. Haq pasti, Audi yang berwarna merah cili itu kepunyaan majikannya. Tekaannya tepat apabila dia dapat melihat nombor pendaftaran kereta tersebut.

Cermin tingkap diturunkan. Trisya yang kelihatan sungguh cantik itu memberi isyarat supaya Haq segera masuk ke tempat pemandu. Sementara dia mula bergerak ke tempat duduk penumpang di sebelah kiri. Haq pantas menuruti kehendak Trisya.

"Okey tak saya pakai macam ni?"

Haq menoleh sekilas. "Cantik. Sangat cantik."

Trisya senyum. "Nanti jangan bukakan pintu untuk saya. Dan jangan sesekali panggil saya Cik Trisya di sana."

"Habis tu, saya nak panggil apa?" Dahi Haq berkerut.

Trisya menjongket bahu. "Sayang?"

Haq tidak sengaja tertekan brek secara mengejut. Terdorong kedua-duanya ke hadapan sebelum melantun semula ke belakang.

"Eh, awak bawak kereta apa macam ni?" Berang Trisya.

"Maaf, Cik Trisya. Saya terperanjat. Eh, segan saya nak panggil Cik Trisya macam tu!" Haq kalut.

"Honey?"

"Errr... Cik Trisya, saya..."

"Kalau tak nak, panggil saya beauty. Noktah!"

Haq mengangguk berat. Makin menghampiri pintu pagar Vila Idaman, makin dia merasakan seluruh tubuhnya kejung. Entah apa yang majikannya itu mahu lakukan, dia tidak tahu. Yang pasti dia resah menanti detik seterusnya yang terpaksa dia hadapi.

"Bagi awak punya dompet."

"Cik Trisya nak buat apa? Nak kad tadi, ya? Maaf-maaf! Saya lupa nak pulangkan."

Haq meraba belakang poket seluarnya. Dompetnya dikeluarkan. Terkial-kial dia hendak membukanya.

"Bak sini!" Selamba Trisya merampas. Sekeping kad diselitkan di celah ruang kosong beg kulit itu.

Haq hairan. Trisya tidak mengambil semula kad yang diberikan siang tadi sebaliknya menambah lagi sekeping kad yang lain. Dalam kegelapan malam, dia tidak pasti kad apakah yang diletakkan oleh gadis itu.

Lima buah kereta mewah kelihatan berjujukan memasuki ke halaman kediaman yang gah itu. Haq mula memperlahankan kelajuan.

"Parkir kat luar aje. Senang nak blah nanti."

Trisya turun dari kereta. Sempat dia mengerling banglo yang bertentangan dengan Vila Idaman. Matanya bertembung dengan Pian yang kebetulan baru sahaja keluar dari pagar kediaman tersebut. Trisya membetulkan pakaiannya yang terselak.

"Hipokrit!" gerutu Pian sewaktu melintasi gadis itu.

Trisya merasakan dia terdengar sesuatu tetapi kurang jelas. Haq perasan Pian memandangnya kurang senang. Agaknya tidak suka dengan kedatangannya pada malam ini.

"Tas tangan Ci... sayang tertinggal dalam kereta." Haq menghampiri Trisya. Nasib baik dia sempat menyembunyikan kesilapannya.

Pian yang sudah mendahului Trisya beberapa langkah di hadapan, tergamam. 'Sayang?'

"Thanks, hubby." Trisya melunakkan suara. Bibir dan matanya merenung ke dalam mata Haq seolah-olah api cinta sedang membara dalam hatinya.

Haq meneguk liur. Dia dapat merasakan jantungnya berdegup lain macam. Mahu putus nafasnya mendengar perkataan hubby.

Pian terbuntang tidak percaya dengan apa yang didengarinya. Mustahil Trisya bercinta dengan pengawal peribadi. Akalnya tidak mampu menerima. Dia mula memasang telinga.

"Hati-hati melangkah tu, sayang. Kang tersepak batu. Kain tu nampak sempit. Takut jatuh nanti."

Terbit rasa seronok melakonkan watak kekasih. Haq sembunyi senyum. Bukan selalu dia dapat peluang sebegini. Gadis secantik Trisya itu sesiapa pun ingin menjadikannya pasangan.

Trisya menelan liur. Haq menyebut batu tetapi yang didengari adalah hantu. Pantas dia memaut lengan jejaka itu rapat ke sisi tubuhnya. Liurnya diteguk. Lengan Haq diheret supaya segera melangkah memasuki ke kawasan Vila Idaman. Berbulu mata Pian melihat Trisya yang pada pandangannya seperti sengaja mempamerkan kemesraan itu.

Wajah Haq berona merah. Liurnya seperti tidak tertelan. Nasib baik dia berlengan panjang. Kalau tidak tentu kulit lengannya itu dapat merasa kelembutan fabrik yang dipakai oleh Trisya.

Kaki Trisya memberat. Kuat hatinya mendesak supaya dia pergi sahaja dari situ. Kembali ke Vila Idaman umpama menambah robek pada luka lama yang masih lagi berdarah.

'Tok wan!' Trisya menoleh memandang Haq. Dia mahu melupakan amarahnya pada keluarga Ungku Omar untuk seketika. Supaya dia boleh membatu di situ sehingga majlis pembacaan wasiat itu selesai.

"Temankan saya masuk," bisik Trisya perlahan. Sekurang-kurangnya dia tidak berseorangan di dalam sana nanti.

Haq serba salah mahu menurut. Dia bukannya tidak faham dengan jelingan ahli keluarga majikannya itu. Mereka memandang seperti mahu menelannya hidup-hidup.

"Pengawal peribadi pun takkan nak bawak masuk ke perjumpaan famili?" Pian menyindir. Dia cemburu. Sepanjang dia mengenali Trisya, belum pernah walau sekali pun dia menyentuh gadis itu. Bahkan belum sempat dia hendak menyentuh Trisya, gadis itu sudah menjerit bagai singa lapar memarahinya.

"Dia pengawal peribadi hati aku. Memanglah kami tak boleh berpisah. Kan, hubby?" Trisya menyentuh rambut Haq yang terpacak.

Serius! Malam ini Haq merasakan Trisya seperti disampuk. Menjalar sahaja tangan gadis itu.

"Assalamualaikum..." Pian masuk ke dalam vila.Dia bersalaman dengan semua tetamu. Rozalia yang hanya memakai gaun tanpa tali menghampiri Pian.

"Lama Lia tak jumpa abang. Abang sihat?"

"Alhamdulillah. Lia sihat?"

"Lia sihat. Cuma... Hati ni tak sihat. Lia WhatsApp abang, abang buat tak tahu aje. Abang sibuk sangat ke sampai tak ada masa untuk Lia?"

Trisya yang memegang lengan Haq, tidak sengaja mencengkam lengan jejaka itu. Sakit hatinya melihat Rozalia yang menggerak-gerakkan tubuhnya ketika sedang bercakap dengan Pian. Gedik terlebih.

Dengan dahi berkerut, Haq memandang Trisya. Anak mata gadis itu mencerlung ke arah Pian. Tajam. Tangan kanan Haq menggaru pipi. Mustahil majikannya itu sedang cemburu. Setahunya, Trisya gadis dingin dan berhati batu. Pernah dia beranggapan bahawa Trisya itu lesbian kerana tidak menyukai lelaki. Malah gadis itu tidak pernah mempunyai teman lelaki meski usianya mencecah 30 tahun.

Munirah menyiku Puteri. Terkocoh-kocoh kedua-duanya mendekati Pian. "Abang Pian!"

"Ya, adik-adik abang. Macam mana belajar, okey?"

Rozalia memeluk tubuh sendiri. Tidak suka adik-adik sepupunya itu mengacau perbualannya bersama Pian.

Trisya menjatuhkan tangannya seraya berjalan ke arah sofa di ruang tamu. Dia hanya bersalaman dengan Ungku Fiona kemudian terus duduk di sebelah wanita itu. Tindakannya mengundang rasa tidak puas hati daripada saudara-mara yang lain. Bagi mereka, tingkah Trisya itu sungguh biadab.

"Kami ni bukan mak saudara kau ke?" bidas Ungku Naimah.

Trisya memekakkan telinga. Jarinya jijik untuk menyalami sesiapa pun di situ selain daripada Ungku Fiona dan Qaidir. Dikelilingi oleh kaum kerabat Ungku Omar itu cukup menguji kesabarannya. Ikutkan benci, dia mahu ke dapur mencari pisau pemotong daging dan menghunus terus ke jantung mereka lantas diberi makan kepada anjing. Itu pun belum cukup untuk menghapuskan bara dalam hatinya.

Trisya membelek e-mel. Laporan harian mengenai Double B Scarf dibaca dengan penuh khusyuk.Tiba-tiba Ungku Fiona mencuit Trisya. Dia mencipta pelbagai soalan semata-mata tidak mahu Trisya janggal berada dalam kalangan mereka.

Pian pula mencari kelibat Trisya walaupun sedang berbual. Bibirnya tersenyum apabila melihat Trisya mesra berbual dengan Ungku Fiona.

Puteri, Munirah dan Rozalia mencari siapakah yang mampu membuat jejaka kesayangan mereka itu tersenyum. Ketiga-tiganya mengetap gigi apabila melihat manusia itu adalah Trisya.

Rozalia menarik muka. Dulu bukan main lagi Pian menjadi ketua. Mengajak rakan-rakan yang terdiri daripada jiran tetangga supaya membuli Trisya habis-habisan.

"Assalamualaikum." Wardah yang berada di muka pintu menyapa mesra.

Suasana yang hingar bingar menjadi sepi dengan tiba-tiba. Masing-masing tidak sabar mendengar apa yang peguam peribadi keluarga mereka itu mahu sampaikan.

"Waalaikumussalam." Suara Trisya sahaja yang kedengaran kuat.

Haq berdiri di belakang sofa yang diduduki oleh Trisya. Kedua-dua tangannya diletakkan di belakang badan.

"Sebelum kita mula, Lia nak tanya, kenapa Trisya punya pengawal peribadi ada kat sini?"

Saudara-mara yang lain mula bercakap sesama sendiri. Pada pendapat mereka, Trisya terlalu paranoid sehingga memikirkan bahawa mereka akan mengapa-apakannya sekiranya gadis itu tidak ditemani oleh pengawal peribadi.

Pian menjeling Haq. Punggungnya dilabuhkan di atas kerusi bertentangan dengan Trisya. Sengaja dia memilih kedudukan sebegitu. Senang dia mahu mencuri-curi pandang ke wajah gadis yang berjaya melarikan hatinya itu.

Wardah meletakkan begnya di atas meja. Sekeping fail dikeluarkan. Dia memegang fail tersebut lalu memandang ke arah semua orang sambil tersenyum mesra.

"Hari ni, genap dua tahun pemergian Datin Paduka Dahlia. Marilah kita membaca al-Fatihah dan berdoa supaya Almarhumah Datin Paduka ditempatkan bersama orang-orang beriman."

Masing-masing mula menadah tangan dan membaca al-Fatihah. Usai mengaminkan bacaan tersebut, Wardah memulakan majlis.

"Bismillah... Maaf mengganggu kalian semua pada malam ini. Sebenarnya, Almarhumah ada meninggalkan wasiat..."

Ungku Hazifah bersuara. "Kenapa baru sekarang kamu datang? Bukan selalunya kalau anak guam meninggal, terus peguam datang membacakan wasiat?"

Ungku Naimah menokok, "Itulah! Puas kami desak tapi kamu berkeras meminta kami menunggu selama dua tahun!"

Mereka yang lain mula melontarkan pandangan masing-masing. Wardah membalas dengan mudah.

"Saya diamanahkan oleh Almarhumah. Sekiranya kalian tidak mahu mendengar apa yang saya ingin katakan, saya boleh pulang." Wardah berpura-pura mahu bangun.

Panik semua jadinya. Trisya hanya tersenyum sinis. Dia tidak hairan sekiranya Wardah mengugut mahu pulang. Sebaliknya dia bangun berdiri. Semua mata memandang ke arahnya.

"Cik Trisya?" Wardah hairan.

Ungku Fiona hanya memerhati. Sejak Trisya datang tadi, dia sudah mengamati tingkah gadis itu. Ternyata Trisya yang dikenali selama ini sudah berubah 360 darjah. Sorot mata gadis itu sudah tiada lagi rasa hormat kepada sesiapa melainkan hanya kepada dia dan suaminya.

Ungku Fiona mencebik dengan tidak semena-mena. Sungguhpun Trisya mahu menunjuk boikot, dia tidak mahu ambil peduli. Selagi Trisya tidak mengancam dia dan keluarga, dia tidak akan campur tangan.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen2U.Pro